SASTERAWAN yang sentiasa hadir dengan karya baharu dan mengemukakan pemikiran segar tidak perlu bertenggek pada penghormatan atau anugerah. Semua yang menjadi buruan orang lain itu hanya hal luaran yang tidak mengubah keberadaan dalam kesusasteraan.
Mereka diukur daripada gagasan pemikiran yang dititipkan secara berterusan. Bagaimanapun, ini bukan suatu yang mudah dan mampu dilakukan oleh semua orang. Bukan sekadar berterusan malah pemikirannya sentiasa berada di hadapan zamannya.
Sebenarnya tidak banyak sasterawan yang berupaya terus kekal berkarya dan sentiasa berlumba-lumba untuk seiring dengan zaman. Sasterawan perlu sentiasa di depan kerana berkarya itu sendiri sebenarnya proses mengemaskinikan pengalaman yang ada.
Sasterawan Zaharah Nawawi misalnya memperjuangkan gagasan mengangkat kedudukan dan pemikiran wanita. Gagasan ini teranyam kemas, berseni dan berterusan dalam banyak karya yang dihasilkan sepanjang keberadaannya dalam kesusasteraan.
Zaharah menjadi wanita berada di luar kepompong apabila memulakan kerjaya dalam kewartawanan sejak usia muda. Kewartawanan memberikan ruang dan kelebihan membawa Zaharah melihat dunia dari sudut pandang yang luas dan kritis.
Zaharah yang menjadi mentor kepada banyak penulis dan sasterawan muda telah kembali ke pangkuan Ilahi pada Selasa dalam usia 82 tahun. Lahir pada 5 Mei 1940, Zaharah adalah legasi sasterawan – wartawan Utusan Melayu, institusi persuratkhabaran yang sekali gus mendukung kesusasteraan. Zaharah antara wartawan dekad terawal Utusan Melayu di Kuala Lumpur selepas memindahkan operasi dari Singapura pada 1959.
Kepulangan Zaharah adalah kehilangan besar dalam kesusasteraan tempatan khususnya dalam usaha membina pembinaan generasi penulis pelapis. Kalau ditanya cara untuk kita mengingati Zaharah, sudah tentu dengan mengamati karya-karya yang meletakkan wanita sebagai terasnya. Dalam beberapa karya walaupun tidak ditonjolkan, citra emansipasi wanita menjadi keutamaannya.
Walaupun emansipasi wanita menjadi teras banyak karya, Zaharah tidak terperangkap dalam perjuangan feminisme, apa lagi mengikut acuan Barat. Hal ini kerana tidak semua perjuangan mengangkat kedudukan wanita mesti dikaitkan dengan feminisme.
Definisi feminisme dalam konteks Barat banyak bertentangan dengan kedudukan dan aturan-aturan tertentu dalam Islam. Aturan-aturan itu bukan menyekat sebaliknya memuliakan wanita. Ini bertentangan dengan feminisme Barat yang memperjuangkan kedudukan sama rata dengan lelaki.
Kesedaran ini sebenarnya jauh lebih besar berbanding beberapa anugerah yang diberikan sepanjang penglibatan dalam kesusasteraan. Oleh sebab itu, saya tidak memulakan catatan ini dengan mengaitkan Zaharah sebagai penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara pada 1999.
Kalau diperhatikan, banyak watak wanita dalam karya Zaharah adalah pantulan daripada dirinya sendiri – wanita tangkas dan tidak terbelenggu. Watak wanita dalam karyanya bukan bahan ‘airmata’ yang menyerah nasib kepada takdir semata-mata.

HANYA DI DAPUR
Zaharah memberi keyakinan baharu kepada golongan wanita yang terpasung dalam tanggapan tradisional bahawa wanita ‘hanya di dapur’ supaya keluar daripada belenggu. Wanita di tangan Zaharah tampil penuh pragmatik. Malah Zaharah secara peribadi melakukan suatu yang di luar kebiasaan – mengikuti kursus fotografi di Jepun pada 1966.
Pada waktu itu, istilah ‘fotografi’ adalah suatu yang sangat asing. Malah banyak juga yang tidak pernah melihat kamera yang menjadi barang mewah dan lambang status. Bagaimanapun, Zaharah memasuki bidang yang asing itu kerana sudah faham peri pentingnya bidang fotografi.
Penglibatan awal dalam kewartawanan di majalah Mastika, Wanita dan akhbar Mingguan Malaysia menjadi pemangkin mencetus kesedaran untuk membela kedudukan wanita. Kesedaran ini diperlihatkan dalam banyak karya kewartawanan dan seterusnya kesusasteraan.
Zaharah wanita luar biasa. Bukan sahaja mengangkat kedudukan wanita malah terus aktif berkarya ketika wanita lain yang memasuki usia bersara memilih untuk berehat. Novel fiksyen sejarah, Anugerah (1995) yang tebalnya 1,351 halaman, paling tebal dalam sejarah kesusasteraan kita dihasilkan ketika berusia 55 tahun.
Dalam usaha menghasilkan revision itu, Zaharah mengangkat kesedaran dan kebangkitan wanita dalam perjuangan kemerdekaan. Nasionalis Ibu Zain dihidupkan degan sulam seli fiksyen dalam Anugerah menjadi pembawa gagasan Zaharah mengangkat wanita.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memberikan geran kepada Zaharah untuk membuat penyelidikan industri di Grasse, Perancis, sebuah kota minyak wangi terkenal di dunia. Hasilnya, lahirlah novel Haruman Kencana. Satu lagi geran untuk membuat penyelidikan mengenai perjuangan nasionalis Panglima Salleh di Batu Pahat, Johor.
Hasil penyelidikan itu telah melahirkan novel fiksyen sejarah, Panglima Salleh Selempang Merah. Salleh adalah nasionalis yang melawan Jepun dan berjaya menghapuskan komunis di sekitar Batu Pahat, Johor.
Bagaimanapun, Zaharah tidak bergiat untuk dirinya sendiri, malah bertungkus lumus membina kelompok penulis pelapis melalui penganjuran bengkel penulisan merangkumi genre novel, berpen, kritikan sastera dan esei. Berkarya dan membimbing pelapis menjadi satu terapi yang menyeronokan.
Itu adalah antara sumbangan besar Zaharah pada dunia kesusasteraan yang membawa pada penubuhan Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada 1997. Kelab ini mengumpulkan semua penulis baharu yang pernah mengikuti bengkel kendaliannya.
Usaha mewujudkan kelab penulis itu menyakinkan DBP apabila Zaharah diberi tanggungjawab membimbing 23 ahli kelab menghasilkan novel industri. Hasilnya sangat luar biasa, dalam tempoh enam bulan kelab itu dapat menghasilkan 20 manuskrip novel bertemakan industri untuk diterbitkan di DBP.
Saya pernah menawarkan Zaharah menjadi kolumnis di Mingguan Malaysia pada 2005. Tugasnya membuat ulasan semua empat cerpen yang disiarkan pada setiap bulan. Walaupun pada mulanya Zaharah agak keberatan tetapi akhirnya setuju. Untuk kolum itu Zaharah hanya perlu menulis sebulan sekali tetapi tanggungjawabnya agak memenatkan.
Kini walaupun Zaharah sudah tiada tetapi yang ditinggalkan sebaris nama penulis yang pernah dibimbingnya ketika awal penglibatan mereka. Penulis itu sudah berdikari dan memperlihatkan keterampilan sendiri.
Antara mereka, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim, Mohd. Kholid Hamzah, Tiras R, WB Rendra, Ibnu Ahmad Al-Kurawi, Zanazanzaly dan Rozais Al-Anamy. Ini hanya senarai pendek, sebenarnya masih banyak lagi penulis yang mendapat bimbingan Zaharah. Penulis didikan Zaharah ada di mana-mana.
Mereka inilah harta berharga yang ditinggalkan Zaharah untuk dunia kesusasteraan kita selain karya-karya yang mengungkapkan pemikiran pada zamannya.-UTUSAN
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.











