Sokonglah langkah menghormati BM - Utusan Malaysia

Sokonglah langkah menghormati BM

GAGASAN bahasa Melayu sebagai bahasa negara hendaklah dipupuk seawal yang boleh secara formal dengan menjadikannya sebahagian daripada kurikulum dalam sistem pendidikan negara. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUNGGUHNYA usul Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada kerajaan untuk mengenakan denda maksimum RM50,000 dan hukuman penjara kerana tidak menghormati bahasa Melayu selaku bahasa negara berupa dilema, iaitu pilihan sukar kerana tidak disenangi.

Dari satu segi, denda dan pemenjaraan itu boleh dianggap melampau. Ini kerana kesalahan ini disamakan dengan jenayah berat. Dalam pada ini, ia sangat perlu kerana bahasa negara sebenarnya adalah antara unsur terpenting pada kedaulatan Malaysia.

Akan tetapi dari satu segi lain, tindakan terpaksa dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati tidak menghormatinya. Ini kerana gejala ini sudah lama berlarutan tanpa diendahkan langsung walaupun berkali-kali diberi teguran.

Oleh itu, dengan hanya cara menghukum ini, sikap buruk terhadap bahasa Melayu dapat bukan sahaja dicegah, tetapi dibendung. Ia dilakukan atas dasar perbuatan tidak hormat itu sebagai melakukan kesalahan kepada negara.

Malang sekali untuk kita menggubal perundangan sedemikian bagi memaksa rakyat sendiri agar menghormati bahasa negara yang sepatutnya mereka lakukan dengan penuh kemegahan dan secara sukarela pula.

Perundangan ini juga mengaibkan negara. Ini kerana tidak terdapat mana-mana negara lain di dunia yang rakyatnya sendiri rata-rata tidak menghormati bahasa negara mereka. Oleh itu, ia perlu dilakukan di Malaysia kerana rakyat kita rata-ratanya tidak mempunyai sikap terhadap bahasa Melayu yang positif meskipun dalam peranannya sebagai bahasa negara.

Dalam hal ini, sikap positif didapati tidak wujud walaupun kita sudah sekian lama menubuhkan negara dan membina negara bangsa. Oleh itu, selain mengenakan hukuman sebagai langkah segera dan jangka pendek selaku hanya caranya, pada masa sama kita hendaklah mencari jalan bagi memupuk sikap positif terhadap bahasa Melayu dalam kalangan rakyat untuk jangka masa panjang.

Walaupun perincian kesalahan tidak menghormati bahasa negara belum diumumkan lagi, ia boleh dijangka meliputi beberapa sisi. Antaranya penghormatan, pertimbangan dan pematuhan.

Untuk penghormatan, bahasa Melayu hendaklah diiktiraf, disanjungi selain dihargai sebagai bahasa terpenting di negara ini. Bagi pertimbangan pula, ia hendaklah selalu diberi perhatian utama dalam ranah rasmi negara berdasarkan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Untuk pematuhan pula, ia hendaklah pada setiap masa akur kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 tentang pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam kerana ia bahasa yang ditetapkan untuk bidang tadbir urus negara.

Hukuman yang diusulkan itu dikatakan bertujuan untuk memupuk semangat cintakan negara. Ini tepat sekali kerana bahasa Melayu adalah identiti nasional untuk negara ini dan identiti budaya bagi rakyatnya.

Oleh itu, ia harus dihormati dan disanjungi dalam konteks nasionalisme, iaitu rasa bangga kepada negara dan nasionaliti, yakni rasa keterikatan kepada tanah air.

PENDIDIKAN

Sebenarnya usul ini dibuat dengan niat yang baik, iaitu bagi tujuan pembangunan negara yang telah sekian lama mengabaikan peranan bahasa Melayu walaupun berupa bahasa negara. Dengan ini, ia seharusnya tidak sesekali menimbulkan apa-apa jua isu.

Sebaliknya, ia hendaklah diterima baik agar bahasa Melayu berada pada tempat yang sewajar selaku bahasa negara, iaitu dihormati seadanya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Tidak dapat dinafikan bahawa penggubalan perundangan ini adalah ekoran daripada manifestasi kegagalan kita dalam sesetengah sisi pembinaan negara bangsa. Antaranya rakyat yang rata-ratanya tidak bangga, sayang, apatah lagi setia kepada bahasa negara.

Yang menyedihkan lagi ialah ia tidak dihormati etnik Melayu sendiri selaku penutur jati bahasa Melayu yang sepatutnya menjadi teladan kepada yang bukan Melayu. Oleh itu, kita harus membina semula negara bangsa yang gagal itu melalui usul DBP itu.

Sehubungan pembinaan semula ini, gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara hendaklah merupakan sebahagian daripada kurikulum dalam sistem pendidikan negara.

Perasaan menghormati bahasa negara ini hendaklah dipupuk seawal yang boleh secara formal agar identiti nasional dan identiti budaya bukan sahaja tertanam kuat, tetapi terpamer seragam oleh setiap rakyat dalam kehidupan nasional khususnya.

Ini penting kerana bahasa negara menghubungkan rakyat kepada Malaysia bukan semata-mata sebagai negara sahaja, tetapi sebagai tanah air yang tercinta.

Dengan nasionalisme linguistik bahasa Melayu begini, ia tidak sesekali mengkesampingkan kepelbagaian yang menjadi pegangan kita, iaitu kewujudan pelbagai budaya lain secara bersama-sama dengan aman damai, selain secara saksama berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan ini, bahasa Melayu kita junjung tinggi-tinggi, manakala yang lain-lain kita dukung erat-erat. Dalam semangat linguistik begini, semuanya penting dalam ranah masing-masing selain saling melengkapi antara satu sama lain.

Bermula dengan sikap positif terhadap bahasa Melayu, identiti nasional Malaysia dan identiti budaya rakyatnya dalam konteks nasionalisme linguistik ini boleh dipupuk dengan mudah.

Ini kerana ia boleh dimanfaatkan secara langsung daripada sebilangan lambang negara yang sudah sedia wujud termasuklah bahasa Melayu melalui pelbagai pengaruh sosialnya, antara yang terpenting ialah sistem pendidikan negara.

Mudah-mudahan dua identiti ini yang penting dalam kehidupan nasional, ikut menjadi identiti peribadi rakyat jelata dalam kehidupan domestik dan komuniti mereka. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN