Semua kebaikan bermula dari rumah

Semua kebaikan bermula dari rumah

MURID mesti berambut pendek sudah termaktub dalam peraturan sekolah yang perlu dipatuhi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, tular dalam media sosial berkenaan hantaran seorang warganet berkenaan tindakan seorang guru menggunting rambut pelajar kerana tidak mengikut peraturan sekolah dari segi kekemasan rambut ataupun berambut panjang.

Hantaran tersebut mendapat perkongsian yang tinggi sehingga menyebabkan ia menjadi medan perdebatan para warganet berkenaan dengan hantaran tersebut. Hantaran terbabit seolah-olah menyalahkan pihak sekolah atau guru kerana memotong rambut pelajar tersebut dengan tidak kemas.

Dalam hantaran berkenaan ada dicadangkan supaya tukang gunting rambut dibawa ke sekolah agar rambut pelajar yang dipotong menjadi kemas dan rapi. Malah, pelajar tersebut perlu membayar upah kepada tukang gunting yang dibawa.

Dalam pada itu, ada warganet mempersoalkan kenapa hanya pihak sekolah sahaja yang perlu disalahkan ataupun hanya guru sahaja yang dipersalahkan sedangkan cikgu hanya menjalankan tugas dan mengikuti peraturan yang ditetapkan.

Hantaran tersebut mendapat reaksi pelbagai individu termasuk seorang warga pendidik yang juga aktivis sosial, Mohd. Fadli Salleh. Reaksi cikgu tersebut amat tepat dan kenyataan yang dilontarkannya mendapat liputan media dan portal-portal berita.

PERATURAN TETAP PERATURAN

Adalah perlu diingatkan, setiap sekolah dan institusi mempunyai peraturan yang perlu diikuti dan dipatuhi. Jika kita ingkar dan melanggarnya maka kita akan menerima hukuman ataupun kesan daripada tindakan kita yang ingkar kepada peraturan.

Isu berkaitan rambut panjang, ia adalah termaktub dalam peraturan sekolah, jadinya ibu bapa dan pelajar perlu akur. Jika di bangku sekolah lagi anak-anak muda kita tidak akur dengan peraturan dan disiplin, bagaimana pula jika mereka memasuki dunia luar yang lebih mencabar dan banyak lagi peraturan yang mereka perlu patuh.

Hal tersebut bukan sahaja terpakai di sekolah. Malah, di peringkat pengajian tinggi juga termaktub berkaitan dengan kod dan etika pemakaian serta kekemasan. Apabila memasuki alam pekerjaan, ia juga mempunyai peraturan dan kod etika yang perlu dipatuhi.

ASUHAN BERMULA DARI RUMAH

Semuanya adalah bermula dari rumah. Ibu bapa dan penjaga perlu memantau kekemasan anak-anak mereka untuk ke sekolah. Kekemasan dan kebersihan adalah amat dituntut agar anak-anak akan berasa yakin dan selesa untuk belajar dan tidak ke sekolah dengan keadaan yang tidak sempurna kekemasannya.

Apabila dari rumah sudah kita asuh dan didik dengan baik maka ia akan menjadi amalan dan ikutan serta amalan yang baik sedari anak-anak kecil sehinggalah dewasa kelak.

FPK

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ini digubal pada 1988 oleh pakar-pakar dalam bidang pendidikan. Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Ini untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat serta negara.

Oleh itu, di dalam FPK sendiri sudah menyatakan ia adalah salah satu cara untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berketerampilan atau mempunyai persona berkepimpinan dan berakhlak mulia yang baik untuk masa depan negara.

Jadinya, jika sejak di bangku sekolah lagi pelajar tidak mempunyai daya berketerampilan dengan baik, bagaimana untuk mencapai kesejahteraan diri yang mana mereka adalah pelapis dan harapan kepimpinan negara pada masa hadapan.

SEJAHTERA

Apa yang boleh dikaitkan dari FPK, ia akan membentuk satu kesejahteraan apabila sudah mula diasuh sejak kecil lagi. Ia juga akan melahirkan insan yang sejahtera dalam pelbagai aspek dan setiap bidang yang diceburi. Sejahtera membawa maksud baik yang meliputi sihat, tenang, damai dan membahagiakan.

Jadi langkah-langkah dan peraturan yang ada di setiap institusi adalah salah satu cara advokasi dan mendidik anak-anak atau pelajar supaya kelak nanti mereka mempunyai nilai-nilai sejahtera.

Sebagai penjaga kita tidak perlu untuk menuding jari dan menyalahkan sesetengah pihak secara terus. Setiap peraturan yang dibuat ada nilai-nilainya dan mempunyai tujuan yang tertentu. Utamanya ialah untuk mendidik masyarakat tentang sesuatu hal. Ibu bapa, penjaga dan pelajar perlu akur dengan segala ketetapan atau peraturan yang telah ditetapkan.

Penulis suka memetik satu analogi mudah yang disampaikan oleh Mohd. Fadli melalui satu hantaran di laman Facebooknya:

“Jika kita menggunakan kenderaan yang tidak patuh undang-undang, seperti cermin gelap, pengubahsuaian yang melampau serta cukai jalan tamat tempoh. Kemudian ditahan pihak berkuasa.

“Adakah apabila kenderaan tersebut ditahan ketika sekatan jalan raya, perlukah pihak berkuasa memanggil pemilik kedai aksesori untuk bersama-sama menyertai operasi sekatan jalan raya untuk mengubah kembali keadaan kenderaan yang diubah suai supaya mengikut spesifikasi yang ditetapkan?”

Sebagai penutup, undang-undang dan peraturan apa sekalipun yang dibuat dan digubal adalah untuk kesejahteraan kita bersama dan ia perlu dipatuhi.

Langkah itu demi mewujudkan satu tamadun yang boleh kita banggakan bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara seperti masyarakat Jepun. – UTUSAN

PENULIS ialah Pegawai Tadbir, Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN