Politik bukan tempat mengaku kalah - Utusan Malaysia

Politik bukan tempat mengaku kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIAR mati anak jangan mati adat, Duduk berfikir, tegak berunding. Apabila masyarakat sudah merasai bahawa pentadbiran dan tindak tanduk golongan berkuasa itu sudah tiada lagi mirip kepada kesejahteraan hidup, maka akan berakhirlah kuasa rakyat di tangan pemimpinnya. Apabila perihal dan trend ini sudah tiada, maka hilanglah sokongan itu.

Sejarah biasa membuktikan, lagi lama seseorang itu berkhidmat lagi banyak jasanya. Sementara pandangan ini mengandungi kebenaran, risikonya tetap ada. Lagi lama berada dalam sesuatu jawatan, lagi banyak kesilapan dan masalah yang timbul. Lainlah jika jangka masa yang lama itu diisi dengan khidmat dan jasa cemerlang.

Dalam perbandingan dua pemimpin tertentu contohnya, dapat dinilaikan bahawa masing-masing telah berjaya dalam karier dan tanggungjawab yang dipikul. Cuma dalam kes pemimpin A, beliau ditunggu oleh kekalahan di akhir tenure-nya, sedangkan pemimpin B dunianya masih ‘siang’ lagi lantaran usia yang masih muda.

Dari tenure atau tempoh khidmat pemimpin A dan B, pengajaran yang boleh ditimba ialah seseorang itu jangan terlalu lama berada sebagai pemenang jawatan. Orang keliling mungkin menyanjung saban hari dengan ungkapan seperti “Datuk/Tan Sri hebat…mesti sambung lagi.” Hakikatnya rakyat sudah letih dengan kerenah pemimpin.

Barangkali pengajaran ini juga boleh dipakai oleh semua pemimpin, cuma perbezaannya ialah kebolehan memakmurkan kehidupan rakyat.

Sebenarnya semenjak dunia berkembang dan sejak manusia mengenal pemerintahan melalui politik, fenomena peristiwa ‘kawan jadi lawan’ dan ‘lawan jadi kawan’ ini sudah dialami. Hanya pembanterasan baginya yang masih belum tersua.

Besar kemungkinan ‘ubat’ bagi fenomena ini tidak akan didapati lantaran sifat politik itu sendiri yang terus bersifat dinamik dan berubah-ubah cetusannya. Di antara sebab-sebab yang menimbulkan suasana konflik ini ialah pergeseran personaliti, rasa kecil hati kerana berebut tempat atau rezeki, pertembungan pendapat dan fiil iri hati yang timbul daripada hasad dan dengki.

Sebab itu dunia politik banyak mengandungi perkara yang tidak tersurat. Dalam keadaan beginilah banyak perlakuan melanggar nilai-nilai hidup yang dijulang tinggi.

TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj (kanan) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad (kiri) dalam kalangan Perdana Menteri yang telah tersua banyak peristiwa dan kejadian yang membuktikan falsafah ‘kawan jadi lawan’ dan ‘lawan jadi kawan’ dalam politik itu sebagai kenyataan sejagat. – ARKIB UTUSAN

LOGIK

Agaknya sebab itu ramai orang merumus bahawa mereka memang tidak akan survive dalam dunia politik akibat terlalu banyak benda yang kusut dan boleh dimengertikan. Logik yang diterima secara am kadangkala dalam politik tiba-tiba tidak logik lagi.

Tekanan keadaan yang tidak menentu ini cukup berat atas jiwa yang tidak terasuh dengan ‘huyung-hayang’ politik hari ini. Dan risikonya kepada kehidupan seseorang itu juga tidak kurang dugaannya. Bolehlah dirumuskan secara am bahawa kesusahan dalam politik bukanlah atas apa yang nyata, tetapi apa yang tidak nyata.

Ahli politik yang berjiwa besar tidak mudah menzahirkan perasaan dalam hatinya terhadap orang lain. Bak kata pepatah, lebih elok jika sesuatu itu pecah di perut daripada pecah di mulut. Dalam kilat ada kilau. Terserah kepada orang untuk menduganya.

Daya persepsi dan daya pengamatan seseorang pemimpin itu perlu ditajamkan sentiasa. Ibarat pisau, akan hanya berguna jika tajam. Apabila pisau sudah tumpul dan berkarat, penggunanya tidak memandangnya lagi.

Lantaran itu jugalah ada yang berpendapat, jika hendak terus berguna dan berkesan dalam politik, seseorang itu perlu terus tajam dan terus berkilat. Jika tidak, tamsil pisau berkarat tadi akan menusuk badan sendiri ke dalam arena gelap. Malangnya untuk terus berkilat dan berguna bukan mudah.

Proses itu memerlukan beberapa pembaharuan serta asuhan diri, rela dikritik, tahan kena seksa dan tidak mudah mengaku kalah. Sifat-sifat ini mudah disebut, tetapi sukar dilaksanakan.

Kawan boleh jadi lawan, lawan boleh jadi kawan. Yang kekal hanyalah perjuangan dan isu-isu yang dibawanya. Ada pemimpin telah menempuh segala pahit maung dan saat-saat manis dalam perjuangan. Kata-katanya itu tepat dan ketepatan itu boleh kita perakukan sendiri kerana dia telah tersua banyak peristiwa dan kejadian yang membuktikan falsafah itu sebagai kenyataan sejagat.

Nyatalah pengalaman langsung seseorang pemimpin atau ahli politik itu melengkapkan diri supaya sentiasa dalam keadaan ‘tajam’ dan ‘berkilat.’ Bukan tajam dengan tujuan hendak mengenakan orang tetapi tajam dan berkilat untuk bersedia terhadap apa jua kemungkinan. Penajaman yang paling berkesan ialah memperoleh ilmu.

RETAK TERBELAH

Dalam mencorakkan survival seseorang pemimpin, orang keliling biasanya berupaya sama ada menjerumuskan pemimpin itu atau menegakkannya dengan laporan dan berita yang objektif. Bagaimanapun kebanyakan orang keliling ini hanya memberi puji-pujian yang sering ‘memabukkan’ pemimpin.

Orang keliling yang baik ialah mereka yang berterus terang menyampaikan sesuatu. Cuma setakat mana pemimpin itu berupaya menapis apa yang ditonjolkan oleh orang kita dan orang keliling, lantas menjadi cabaran hidupnya. Menyisihkan yang bersih daripada yang kotor akan hanya ditentukan oleh keupayaan pemikiran yang objektif dan sihat.

Ketika ini orang Melayu berpecah. Yang retak sudah terbelah. Nampaknya presiden parti-parti politik Melayu masih belum begitu berjaya lagi dalam bidang menyatupadukan bangsa Melayu. Mungkin mereka masih mencari-cari formula sesuai.

Ingatlah, Frank Swettenham pernah berkata pada 1905: “When the Malays say no to certain things, they may say yes for their Sultans.”

Dengan itu, sesiapa yang berkenaan beringatlah bahawa jawatan itu adalah sementara. Dan sebagai pemegang amanah tidak harus berlagak sebagai Belanda dapat tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN