Polisi ekonomi kita jelas, jangan dikelirukan - Utusan Malaysia

Polisi ekonomi kita jelas, jangan dikelirukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA pihak yang mempersoalkan bagaimana kerajaan boleh memberitahu bahawa pertumbuhan ekonomi negara meningkat kukuh dan mampan sedangkan terdapat banyak rungutan rakyat mengenai kenaikan kos sara hidup, kenaikan kadar inflasi, masalah bekalan makanan dan sebagainya.

Sebenarnya terdapat dua perspektif bertentangan dalam membicarakan soal ekonomi negara.

Perspektif yang pertama ialah soal pertumbuhan ekonomi negara meningkat kukuh dan mampan yang kebanyakannya adalah benar kerana ekonomi negara memang sedang memulih.

Perspektif yang kedua ialah ekonomi isi rumah dan pengguna dengan isu-isu seperti kesejahteraan, kos sara hidup, inflasi, sekuriti makanan dan sebagainya- kenyataan ini juga adalah benar.

Apa yang perlu kita fahami sebenarnya ialah kemajuan dan prestasi baik ekonomi negara tidak semestinya akan menghasilkan ekonomi isi rumah dan pengguna yang baik juga. Ia bergantung kepada polisi kerajaan sama ada lebih mesra rakyat atau lebih mesra perniagaan.

Contohnya, statistik menunjukkan setiap nilai-tambah yang terjana dari kegiatan ekonomi, hanya 37 peratus pulang kepada pekerja, selebihnya pulang kepada pemodal.

Kadar pengangguran kita memang rendah tetapi ramai yang dari kalangan mereka yang terkurang kerja kerana misalnya graduan terpaksa mengambil pekerjaan berkemahiran rendah.

Kadar inflasi juga antara yang paling rendah, iaitu 2.5 peratus, sedangkan kadar inflasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah adalah sekitar 7.5 – 8.5 peratus, namun kita dikaburi dengan subsidi yang terlalu banyak sehingga menjadikan kemampuan bersaing menjadi tumpul dan produktiviti menjadi beku.

Masalah sekuriti makanan pula timbul kerana fenomena inflasi yang sukar dikawal buat masa ini dan dibimbangi fenomena inflasi ini akan menjadi lebih serius serta seterusnya akan menjejaskan bekalan makanan yang akan menyebabkan harga makanan kelihatan naik mencanak.

Justeru, masalah sekuriti makanan elok dilihat dari perspektif inflasi terlebih dahulu. ‘Self-sufficient level’ (SSL) untuk bahan-bahan makanan utama seperti beras, daging, sayuran dan seumpamanya adalah jauh rendah dari 100 peratus. Tambahan lagi dengan imbangan dagangan makanan yang negatif, bil import makanan terus-terusan meningkat saban tahun.

Cadangan menambah bekalan makanan dengan meningkatkan pengeluaran melalui penyediaan tanah baharu, pengenalan benih-benih berhasilan tinggi, mekanisasi pertanian dan sekatan eksport untuk menambah bekalan domestik merupakan langkah yang relevan dalam jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu sekuriti makanan.

Begitupun, penyelesaian jangka masa pendek mengenai ketidakcukupan bekalan dan ketidakmampuan pengguna membeli makanan hanya boleh dilakukan dengan penguatkuasaan undang-undang anti pencatutan, akta kawalan bekalan dan harga serta akta anti persaingan. Ini boleh ditambah dengan skim subsidi dan bantuan sosial.

Masalah inflasi yang sedang melanda Malaysia adalah bersifat global ekoran dari fenomena global pada permintaan agregat yang naik mendadak (demand-pull type of inflation) dan oleh kenaikan kos (cost-push type of inflation) bahan api dari harga minyak mentah yang naik tinggi.

Peningkatan permintaan agregat merupakan rangsangan yang dilaksanakan untuk melawan kelembapan ekonomi sebaik-baik sahaja kita mula membuka semula ekonomi untuk menjana pertumbuhan. Patutkah kita hentikan usaha rangsangan ini agar inflasi lebih terkawal?

Inflasi buat masa ini sukar dikawal kerana puncanya adalah pelbagai. Kalau kita mengawal permintaan agregat secara berlebihan, maka pertumbuhan ekonomi akan terbantut menyebabkan kita akan menghadapi suasana inflasi beserta dengan kelembapan ekonomi. Suasana sedemikian, yang sering dipanggil sebagai ‘stagflation’, sangat digeruni.

Inflasi tolakan kos oleh peningkatan harga minyak mentah dunia juga tidak dapat kita bendung dengan quantum kenaikannya yang sangat tinggi. Di peringkat sistem pengeluaran barangan dan perkhidmatan domestik, bahan api yang dihasilkan dari minyak mentah mempunyai jaringan input-output yang sangat erat sehingga kesan tidak langsung dari kenaikan harga bahan api boleh dikatakan lebih kuat dari kesan langsungnya. Kesan tolakan kos ini akhirnya menjadi sangat kuat. Kita tidak akan dapat mengawal inflasi tolakan kos global ini.

Masalah inflasi ini bersifat global yang mana sebagai negara yang sangat terdedah dengan perdagangan antarabangsa, Malaysia mudah terkesan. Kita tidak akan dapat mengawal inflasi import kerana kos pengeluaran semakin tinggi di peringkat global sedangkan kita tidak boleh tidak mengimport makanan dan bahan makanan yang sudah pun tinggi harganya sekarang ini.

Penambahkan lagi tekanan ini, kita terpaksa menukarkan mata wang ringgit (RM) kepada USD dengan kadar tukaran yang tidak memberikan kelebihan kepada negara.
Kita rasa lebih apabila inflasi memukul dengan lebih teruk kerana memberi kesan kepada item yang lebih tinggi nisbah kepada pendapatan yang dibeli oleh golongan bawahan, iaitu makanan dan minuman serta pengangkutan.

Perlu diingat, inflasi bersifat ‘cyclical’, yang mana ada ketikanya ia naik dan ada ketikanya ia turun. Kita terpaksa menuruti gerak naik-turun kuasa pasaran ini kerana tidak dapat mempengaruhi permintaan dalam jangka masa pendek.

Dalam jangka masa panjang kita boleh menambah bekalan barangan dan perkhidmatan, memperbaiki teknologi pengeluaran atau meningkatkan persaingan pasaran domestik untuk melunakkan sedikit kesan negatifnya.

Dalam jangka masa pendek pula kita tidak boleh mengganggu perjalanan pasaran tetapi melunakkan kesan negatif ke atas isi rumah, iaitu mempertahankan tahap kebajikan pengguna, terutama golongan bawahan, agar ia tidak jatuh dengan teruk sekali. Ini kita lakukan dengan pemberian subsidi sama ada secara langsung di dalam bentuk bantuan sosial atau secara tidak langsung dalam bentuk harga kawalan.

Polisi dalam perancangan ekonomi kita telah jelas dan tidak perlu diulang-ulang lagi kerana akan menimbulkan polemik yang mengelirukan. Apa yang sangat kita perlukan ialah pemimpin yang jujur, tegas, berhemah, berperibadi mulia dan berwibawa untuk menjadikan ekonomi Malaysia kembali berprestasi tinggi.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Zakariah Abdul Rashid ialah bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×