KONTROVERSI hukum menghadiri dan menyertai festival Bon Odori yang akan diadakan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai nanti heboh diperkatakan dan dibahaskan dalam kalangan masyarakat.
Polemik ini timbul kerana terdapat larangan kepada masyarakat Islam menyertai festival Bon Odori yang mempunyai unsur dan ritual keagamaan lain. Namun, terdapat juga pandangan lain bahawa perayaan tersebut hanyalah program kebudayaan dan harus bagi masyarakat Islam untuk hadir merayakan.
Bon Odori adalah adat penganut agama Buddha di Jepun bagi menghormati roh nenek moyang mereka dengan pulang ke kampung halaman untuk melawat kediaman atau kubur. Tradisi popular ketika perayaan ini adalah Bon Odori yang merujuk kepada satu tarian dipersembahkan ketika acara itu.
Masyarakat Jepun juga menganggap perayaan ini adalah peluang untuk pulang ke kampung halaman dan meluangkan masa bersama keluarga selain membersihkan kubur nenek moyang dan menyalakan tanglung.
Secara asasnya, Islam menegah masyarakat Islam menyertai perayaan agama lain. Para ulama sepakat menyatakan hukum haram menyertai perayaan agama lain, sama ada dengan ucapan atau tindakan pada pakaian, makanan atau minuman yang dikhususkan sekiranya bertujuan untuk mengagungkan.
Malahan, majoriti ulama berpandangan, boleh jatuh kufur sekiranya individu Muslim mengagungkan syiar-syiar agama lain manakala individu Muslim yang tidak berniat untuk mengagungkan adalah berdosa, namun tidak sampai ke tahap kufur.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.” (Surah al-Furqan: 72)
Dalam ayat di atas, terdapat kalimah al-zur yang ditafsirkan oleh para ulama sebagai hari perayaan orang musyrik. Justeru, jelas bahawa Allah SWT memuji sikap dan pendirian masyarakat Islam yang tidak menghadiri perayaan orang musyrik.
Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka. sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.” (Surah al-Maidah: 51)
TEMAN RAPAT
Para ulama menjelaskan maksud ‘teman rapat’ yang terdapat dalam ayat di atas adalah menyerupai (tashabbuh) dan membesarkan hari perayaan mereka.
Terdapat garis panduan berkaitan orang Islam merayakan hari kebesaran orang bukan Islam yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005.
Pertama, majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Kedua, tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak. Ketiga, tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
Sewajarnya, garis panduan tersebut dijadikan rujukan masyarakat Islam di Malaysia dalam menyelesaikan isu festival Bon Odori sekiranya jelas wujud amalan ritual yang bercanggah dengan prinsip Islam serta mengagungkan syiar agama lain agar tidak membawa fitnah kepada agama Islam.
Berikutan terdapat polemik pandangan lain yang mengharuskan kehadiran dan menyertai festival Bon Odori berkemungkinan berasaskan situasi semasa iaitu sejajar dengan peredaran zaman, penganjurannya mula berubah dan dilihat sebagai perhimpunan sosial bagi merasai budaya dan hiburan Jepun. Namun, jika festival ini benar-benar mempunyai unsur keagamaan, maka perlu diselidiki lebih mendalam dan pihak beautoriti perlu membuat ketetapan khas dari sudut pandangan agama.
Sebaliknya, jika festival ini jelas hanya sebagai perhimpunan sosial bagi merasai budaya dan hiburan Jepun, masyarakat Islam tetap wajib mematuhi hukum-hakam syarak dalam menghadiri sesuatu majlis atau tempat perayaan yang dianjurkan.
Demikianlah, isu ini perlu diberi perhatian pihak berautoriti agama supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam. Bahkan, hubungan antara mufti, jabatan agama dan Raja-raja Melayu perlu diperkasa dari semasa ke semasa. Sikap berlapang dada dalam perbincangan perlu dizahirkan sekiranya wujud percanggahan pendapat dan pandangan. Mufti, ilmuwan dan pendakwah perlu bersikap lebih proaktif dengan membuat kajian terhadap sesuatu isu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.
DR. Azri Bahari ialah Pensyarah Kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM).










