MUKADIMAH
SETELAH lebih sembilan bulan, draf Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti melalui pelbagai proses perbincangan dan pendebatan, ia akhirnya telah dimuktamadkan.
Dalam wawancara bersama media di Putrajaya baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), DATUK SERI DR. WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR buat kali pertama mendedahkan draf undang-undang itu selepas dimuktamadkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan beliau dan dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama bulan Julai ini bagi membolehkan RUU ini dibentangkan,” katanya dalam wawancara itu yang disertai wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR.
UTUSAN: Apakah elemen RUU Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang bakal dibentangkan di Parlimen akan datang?
WAN JUNAIDI: Jika dahulu ada cadangan tiga elemen undang-undang lompat iaitu orang lompat parti ke satu parti lain, ahli Parlimen Bebas masuk parti lain dan orang dipecat daripada parti.
Namun, soal ahli Parlimen dipecat oleh parti menjadi kontroversi besar sehingga tidak disetujui oleh semua pihak.
Selepas mengambil kira pelbagai pandangan, maka undang-undang itu kelak nanti mempunyai dua elemen utama iaitu ahli Parlimen keluar parti dan wakil rakyat Bebas menyertai mana-mana parti manakala satu lagi elemen iaitu ahli Parlimen dipecat parti yang merupakan draf asal tidak dimasukkan.
Maknanya undang-undang lompat parti hanya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan sahaja?
RUU ini hanya melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan tiada undang-undang luar digubal untuk perkara ini. Maka pembentangan RUU itu nanti juga menyaksikan tiga pindaan Perlembagaan Persekutuan dan satu penggubalan perkara baharu di bawah undang-undang tertinggi negara itu.
Yang pertama kita akan pinda Perkara 10 yang membabitkan aspek kebebasan berpersatuan, seterusnya Perkara 48 (kehilangan kelayakan ahli Parlimen) di mana wakil rakyat melompat parti boleh bertanding dalam pilihan raya seterusnya.
Selain itu, Perkara 160 berkenaan tafsiran parti politik dan Jadual Lapan iaitu bidang kuasa negeri bagi memberi ruang kepada kerajaan negeri memperkenalkan undang-undang lompat parti.
Selain itu, kita akan menggubal satu undang-undang baharu iaitu Perkara 49 yang memperincikan butiran dan proses berlaku selepas ahli Parlimen melompat parti.
Ini bermakna draf RUU ini sudah dimuktamadkan?
Ya. Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bilangan enam tahun 2022 telah bersetuju dan memuktamadkan draf RUU ini untuk dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.
Dalam hal ini, lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun lalu, telah diulas dan dijawab oleh jawatankuasa ini. Maklum balas ini akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen ini juga secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama bulan Julai 2022.
Secara umumnya, jawatankuasa ini telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April lalu. Terdahulu pada sidang khas 11 April sebelum ini, ramai tidak bersetuju dengan pembentangan itu.
Maka pada pagi pembentangan sidang khas April lalu, satu perbincangan berlangsung di Pejabat Perdana Menteri di Parlimen melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang, akhirnya cara terbaik diserahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Semua bersetuju untuk buat jawatankuasa ini.
Bagaimana proses seterusnya jika ahli Parlimen melompat parti?
Yang Dipertua Dewan Rakyat diberikan tempoh selama 20 hari untuk memastikan kekosongan berlaku kerana ahli Parlimen melompat parti.
Sepanjang tempoh itu, Speaker Dewan perlu memastikan wakil rakyat melompat parti seperti menyemak dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan sebagainya.
Selepas disahkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen setelah bekas wakil rakyat disahkan melompat parti.
Misalnya, ahli Parlimen itu bertukar parti atau bagi wakil rakyat Bebas sertai parti lain, maka SPR perlu mengadakan pilihan raya selepas disahkan Speaker Dewan.
Bagaimana kedudukan negeri atau Dewan Undangan Negeri (DUN) terhadap RUU ini nanti?
Adakah ini terlaksana di negeri? Ini persoalan yang perlu kita jawab menerusi pindaan Jadual Lapan untuk membolehkan kerajaan negeri menggubal undang-undang supaya negeri boleh menerima sistem dilaksanakan ini.
Tetapi penerimaan hanya boleh dilaksanakan selepas Yang di-Pertuan Agong berbincang dengan sultan, raja dan Yang Dipertua Negeri barulah dilaksanakan. Ada negeri sudah ada seperti Kelantan, Sarawak dan Pulau Pinang serta tiada masalah untuk negeri terima.
Selain itu, untuk maklumat, undang-undang itu terpakai bagi ahli Parlimen secara individu melompat parti dan bukan secara blok parti. Contohnya parti A menyokong parti B untuk pembentukan kerajaan selepas pilihan raya maka undang-undang ini tidak terpakai. – UTUSAN










