KHABARNYA lusa ini YB Zuraida Kamaruddin akan berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kedudukannya dalam Kabinet.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu pada 26 Mei lalu meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, jawatan menteri disandang Zuraida perlu diganti dengan orang Bersatu kerana ahli parlimen Ampang itu daripada parti itu semasa mengisi kedudukan berkenaan. Kalau begitu, yang paling hampir ke jawatan itu adalah timbalan menteri dari Bersatu. Timbalan menteri kepada Zuraida sekarang ialah Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng daripada MCA-BN. Jadi, siapa agaknya timbalan menteri Bersatu yang bertuah itu?
Jika Ismail Sabri menggugurkan Zuraida yang dari cakap ramai, beliau seorang menteri yang berpengalaman luas, ia bermakna julung kali beliau merombak Kabinetnya. Pada 27 Ogos tahun lepas, Ismail Sabri mengumumkan pembentukan Kabinetnya seminggu selepas angkat sumpah Perdana Menteri kesembilan, yang menyaksikan pelantikan 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri. Pada Kabinet lalu di bawah Muhyiddin, jumlah menteri dan timbalan menteri ialah 70 orang.
IMPIAN JADI MENTERI
Ramai berminat menanti apa yang akan terjadi kepada Zuraida. Secara prinsipnya kerusi Zuraida `milik’ Bersatu setelah beliau bersama 10 ahli parlimen PKR keluar parti dan Pakatan Harapan (PH) menerusi Langkah Sheraton 24 Februari 2020, sebelum menyertai Bersatu. Pun begitu, sebarang keputusan kekosongan jawatan menteri terletak di tangan Perdana Menteri. Jika beliau mengemukakan kepada Agong bahawa perkhidmatan Zuraida tidak perlu dilanjutkan, maka takdirnya telah ditentukan.
Menjadi seorang menteri adalah impian setiap ahli politik walaupun mereka mungkin menafikannya atau mengakui hakikat ini secara sukarela. Bagi Zuraida, pasti impian dikekalkan dalam Kabinet disandarkannya. Apatah lagi PBM hanyalah sebuah parti baharu yang memerlukan dukungan dan sokongan dana. Tidak hairanlah PBM awal-awal lagi memohon mahu menjadi parti komponen BN, bukannya sekadar Friends of BN.
Perlukah dirombak Kabinet kerana menjadi seorang menteri baharu hakikatnya memerlukan sekurang-kurangnya tiga bulan jangka masa penyesuaian. Andai kata pilihan raya umum ke-15 berlaku Oktober ini, ngam-ngam sahaja untuk penyandangnya merasa pelantikan itu.

JAWATAN TPM?
Namun jika ada pengumuman luar biasa waktu terdekat ini berkenaan pengisian jawatan Timbalan Perdana Menteri, radar politik negara barangkali berubah 360 darjah. Tarikh mendatangnya PRU mungkin dikira tahun depan sahajalah.
Kekal atau gugur Zuraida akan mengocak sebanyak sedikit politik semasa. Jika dikekalkan Zuraida, adakah Bersatu akan bertindak di luar dugaan?
Untuk pergi sejauh persaingan ‘akuan bersumpah atau SD’ terutama dalam meraih sokongan parti-parti pembangkang yang lain, laluan Bersatu akan penuh berliku. Parut yang ditinggalkan dek Langkah Sheraton akan kembali luka berdarah. Untuk pergi ke PRU waktu ini, ibarat meniti titian usang, setelah tamparan teruk dialami Bersatu di Melaka dan Johor tempoh hari.
Politik adalah jentera penggerak kerajaan. Ia dasar awam, juga bermakna hal-ehwal negara – satu seni untuk memperoleh dan mewujudkan kuasa dan pengaruh dalam memutuskan apa yang terbaik untuk rakyat.
Dan dalam minda mana-mana Perdana Menteri pun akan bermain gambaran populariti beliau. Setiap kali seorang ahli politik berkata bahawa apa yang dilakukannya adalah semata-mata untuk bangsa, agama dan negara – yang menjadi mantera politik – apa yang beliau maksudkan juga adalah masa depan kerajaan beliau atau dalam hal seorang Perdana Menteri, populariti kerajaan beliau.
Kata-kata yang sungguh bijak dalam suatu falsafah merumuskan bahawa: ahli politik hanya memikirkan tentang pilihan raya akan datang, tetapi seorang negarawan memikirkan mengenai generasi yang akan datang.
Semua Presiden dan Perdana Menteri mempunyai fikiran yang sama. Mereka inginkan kemenangan dalam PRU akan datang dan seterusnya memerintah selagi mereka meraih sokongan. Ada kalanya idealisme asal boleh bertukar menjadi idealisme peribadi. Tetapi apabila seseorang itu berada di puncak kekuasaan, perubahan mungkin berlaku hingga timbul persoalan, “siapa yang berani menentang saya?”
Apabila peringkat ini sampai ke pengundi, sama ada dalam PRU atau pemilihan parti, satu rombakan akan berlaku.
Gugur atau kekalkah Zuraida dalam Kabinet adalah ujian awal politik pentadbiran Perdana Menteri kesembilan.-UTUSAN