Arab Saudi negara prihatin, rakan sejati Malaysia - Utusan Malaysia

Arab Saudi negara prihatin, rakan sejati Malaysia

ARAB Saudi menerusi Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman menyumbang sebanyak 4.5 juta peralatan perubatan Covid-19 bernilai AS$5 juta (RM22 juta) kepada kerajaan Malaysia. – FACEBOOK HISHAMMUDDIN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK hampir dua tahun berkongsi kisah-kisah menarik tentang dunia luar bersama para pembaca setia Utusan Malaysia, ini merupakan kali pertama saya mengangkat pena untuk menulis tentang sebuah negara yang kerap terpalit dengan pelbagai kontroversi, Arab Saudi.

Tidak lagi perlu diperkenalkan secara terperinci, Arab Saudi, sebuah negara yang memegang amanah besar dalam melindungi dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah yang turut diberkati dengan limpahan minyak yang banyak.

Tidak keterlaluan, saya berani katakan bahawa Arab Saudi merupakan rakan sejati Malaysia. Hubungan ini dapat diterjemahkan dengan bantuan dan sumbangan yang tidak terkira banyaknya.

Sewaktu dunia dilanda badai Covid-19, Arab Saudi menerusi Pusat Bantuan Kemanusiaan Raja Salman menghantar sebanyak 4.5 juta peralatan perubatan yang dianggarkan bernilai AS$5 juta (RM22 juta).

Sumbangan tersebut berupa sejuta vaksin Covid-19, empat juta pelitup muka, 250 ventilator, 150 katil elektrik dan 500,000 sarung tangan.

Ia merupakan satu jumlah yang cukup besar. Meskipun begitu, masih terdapat warga Malaysia yang mentohmah negara di Asia Barat ini dengan pelbagai tuduhan tidak berasas yang wujud disebabkan terpedaya dengan permainan media.

Antara yang menjadi perhatian ramai adalah perubahan ketara Arab Saudi dari sudut sosial dan kehidupan masyarakat ala Barat.

Sebenarnya kalau dikaji lebih mendalam, kita dapat perhatikan bahawa Arab Saudi sedang menuju ke arah sasaran utama mereka, iaitu Visi 2030 yang telah dilancarkan pada 2016.

Wawasan ini mencakupi pelbagai pelan transformatif yang bercita-cita untuk menyediakan potensi negara lebih besar dengan mewujudkan sebuah negara inovatif, berdaya saing serta dapat menerajui dunia bagi manfaat generasi akan datang.

Dalam erti kata lain, Visi 2030 ini untuk memastikan Arab Saudi tidak lagi semata-mata bergantung kepada sumber alamnya, iaitu minyak tetapi turut menggunakan setiap aset bernilai Arab Saudi seperti kekayaan sejarah, budaya, kedudukan dan peluang perniagaan lainnya dalam merancakkan ekonomi negara.

Terdapat beberapa visi utama yang disasarkan Visi 2030 ini. Antaranya mewujudkan sebuah masyarakat dinamik di mana ia dapat membentuk semula landskap sosial dan budaya mereka dalam mengejar era baharu.

Masyarakat dinamik yang dimaksudkan ini termasuklah dengan memberi lebih banyak hak dan peluang kepada golongan wanita dan belia.

VISI 2030 ini untuk memastikan Arab Saudi tidak lagi semata-mata bergantung kepada sumber alamnya, iaitu minyak.

PERTUNJUKAN FESYEN

Sejak enam tahun visi-visi ini digerakkan, sudah tentu kita dapat lihat sebuah perubahan ketara dalam kehidupan masyarakat Arab Saudi yang saya kira sebagai satu perubahan biasa yang ada pada setiap negara.

Belia Arab Saudi merupakan aset terbesar dan pemacu utama Visi 2030. Lebih separuh daripada warganegara Arab Saudi berumur di bawah 25 tahun yang mewakili daya pemangkin inovasi, idea dan kemajuan negara, suatu kelebihan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Hiburan merupakan antara perkara utama transformasi Arab Saudi untuk menjadikan negara itu sebagai hab hiburan. Dan perkara inilah yang sentiasa menjadi bualan netizen kita.

Transformasi hiburan ini mencakupi pelancaran pawagam, festival muzik, pertunjukan fesyen dan taman tema. Festival-festival yang dijalankan di bumi Arab itu berjaya membawa lebih 28 persembahan antarabangsa dan menarik lebih 400,000 pengunjung.

Selain itu, lebih 2,000 acara sukan, kebudayaan dan sukarelawan yang dijalankan antara 2016 dan 2020 berjaya menarik hampir 46 juta pelancong bahkan membuka ribuan pekerjaan baharu selain meningkatkan pelaburan masuk ke dalam negara.

Dalam masa tiga tahun sahaja, jumlah pusat hiburan meningkat daripada 154 pada 2017 kepada 227 (2020). Pusat hiburan ini bukanlah untuk tujuan festival semata-mata tetapi turut termasuk hiburan sukan dan sebagainya.

Pelbagai jenis dan acara sukan dibawa dan diperkenalkan di Arab Saudi seperti perlumbaan Dakar, Formula E, perlumbaan basikal serta golf. Sukan-sukan ini telah merangsang minat warga Arab Saudi untuk mencuba sekali gus dapat membantu mengekalkan kesihatan dan kehidupan warga.

Pendidikan merupakan antara tumpuan utama kerajaan Arab Saudi. Menurut laporan sumber mereka, lebih AS$51 bilion (RM223 bilion) daripada bajet negara mereka disalurkan dalam pembangunan para pelajar dan infrastruktur akademik.

Banyak biasiswa diberikan kepada pelajar di Arab Saudi untuk menuntut di institusi antarabangsa terkemuka.

Memandangkan sektor pelancongan merupakan antara fokus utama ekonomi Arab Saudi, maka ia telah melatih lebih 100,000 pekerja dalam kemahiran pelancongan.

Terlalu banyak poin-poin menarik tentang Visi 2030 Arab Saudi yang harus dicatatkan. Pada saya, banyak sasaran dan transformasi yang mereka gariskan begitu bermanfaat kepada pembangunan negara.

Saya berharap Visi 2030 ini dapat dijadikan rujukan kerajaan dan ahli akademik di negara kita. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×