UMNO waspada ideologi politik kusam

UMNO waspada ideologi politik kusam

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMNO sebulat suara memutuskan calon Perdana Menteri ke-10 daripada parti itu sekiranya diizinkan memerintah adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini perkembangan menarik kerana UMNO yang terkenal dengan sifat konservatif sudah mula drastik dalam pendekatan progresif. Kombinasi yang diumumkan presiden parti dalam Perhimpunan Agung UMNO tempoh hari adalah jelas – presiden menjaga parti dan Ismail Sabri memimpin negara.

Ini sebuah senario politik baharu yang segar dan mendepani arus buat UMNO. Perkara ini sudah tentunya memberikan impak sangat positif kepada pengundi dan rakyat.

Melihat kepada Ismail Sabri, sekali gus mengimbau sekitar Mei 2013 ketika pembangkang terbesar di Indonesia, Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) diketuai pengerusinya, Megawati Soekarnoputri mencari alternatif selain muka-muka lama untuk mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Presiden 2014.

Sasaran PDI-P adalah tokoh-tokoh muda dalam parti itu termasuklah Gabenor Jakarta, Joko Widodo (Jokowi). Malah satu kajian oleh Pol-Tracking Institute waktu itu juga menamakan Jokowi sebagai calon presiden paling popular. Ini disebabkan banyak liputan negatif media terhadap tokoh-tokoh politik lain.

Hanya setelah tewas dalam dua pilihan raya sebelum itu, baru Megawati sedar beliau perlu menetapkan pendiriannya demi survival parti. Dan kesediaannya memberi laluan kepada Jokowi membuahkan hasil amat lumayan. Bukan sahaja untuk PDI-P tetapi kepada Indonesia yang semakin agresif kemajuan ekonominya di bawah Jokowi, hari ini.

Apabila parti politik memilih seseorang tidak berjawatan penting sebagai perdana menteri atau presiden kerajaan, ia menyelamatkan banyak keadaan luar jangka. Ini sekali gus mengasing atau membezakan antara parti dan kerajaan. Ertinya, kerajaan tidak dikuasai oleh parti. Ketelusan lebih terjamin. Seandainya pemimpin utama parti terpalit salah laku moral dan penyelewengan, perdana menteri tetap bersih imejnya di mata rakyat. Sekalipun pembunuhan karakter dirancang terhadap pemimpin parti, sekurang-kurangnya masih terselamat perdana menteri parti itu daripada adu domba terbabit.

Begitupun berbanding UMNO, berbeza pula senarionya di pihak Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Kedua-dua parti ini seakan-akan masih lagi mempertahankan ideologi politik kusam demi mempertahankan kuasa. Dakwaan yang dibongkar baru-baru ini dalam peristiwa PasLeak memberi gambaran menyeluruh tentang percaturan Pas yang sangat terdesak mengatur kepentingan dan kuasa mereka.

Sama ada benar ataupun tidak perkara yang didedahkan, itu perkara kedua. Namun dengan sikap Pas mutakhir ini, ramai yang sangat tidak terperanjat. Malah ramai membuat kesimpulan ia betul.

Pas melalui banyak peringkat dan zaman sejak 2018. Sebagai pembangkang, sebagai kerajaan dan hari ini kekal sebagai pemerintah. Sudah tentunya sukar untuk menerima atau kembali ke zaman yang sukar seperti sebelumnya. Perkara inilah yang sedang menjadi perhatian tiga parti utama yang akan berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Teori dalaman UMNO sendiri masih berbalah dengan isu sama ada kekal bersama Perikatan Nasional (PN) atau bergerak solo. Dalam ribut-ribut menuju ke PRU15, asas kepada perkara ini perlu dimuktamadkan terlebih dahulu, baru parti bersama ahli boleh bergerak ke hadapan.

Dan kerana itu juga Pas sangat terdesak dalam betul-betul mencari jalan berkepentingan untuk mereka paut dan rebut. Ini merupakan satu petanda bahawa asas kepada perkara ini adalah sangat utama.

RAKUS

Kerakusan pemimpin Pas juga terserlah bila mereka di tampuk kuasa. Asas perjuangan juga berubah sekerap pimpinan Pas mencari dalil menghalalkan tindakan. Walaupun presiden tidak mempunyai jawatan di dalam Kabinet, namun tidak nampak pengasingan kuasa presiden parti dan kerajaan. Tiada pendirian parti berbeza dengan kerajaan tidak seperti UMNO yang jelas banyak perjuangan berbeza dengan kerajaan hari ini. Mungkin pendirian Pas selari dengan usaha pengekalan kuasa atau matlamat menghalalkan cara.

Bersatu tiada hala tuju dan prinsip perjuangan. Pemimpinnya hanya rakus kepada kekuasaan dan jawatan. Pendirian politiknya kusam kerana sering berubah-ubah bagi memastikan mereka berada di tampuk kuasa. Oleh itu, tidaklah sesuatu yang pelik bila presidennya mengilhamkan ‘khemah besar’ untuk menentang Barisan Nasional (BN), bukannya untuk perjuangan rakyat. Lihatlah siapa pemimpin-pemimpin di dalam Bersatu, majoritinya mempunyai sejarah pengkhianatan. Adakah parti-parti lain masih percaya dengan perjuangan parti ini?

UMNO perlu berani dan konsisten dengan meletakkan kepentingan kuasa di belakang. Mahu tidak mahu, UMNO perlu memikirkan sedalam-dalamnya keputusan akhir yang akan dibuat. Kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diviralkan baru-baru ini seolah-olah menggambarkan Bersatu mengajak seluruh parti yang ada melawan UMNO dan BN menerusi khemah besar.

Ini merupakan tindakan dan sikap yang sangat tidak realis. Mana mungkin sebuah parti yang pernah dengan sengaja mengkhianati kerjasama khemah besar dalam membentuk kerajaan, tiba-tiba dipujuk untuk rujuk balik dan kembali bersama?

Bukan yang mengajak sahaja kurang cerdik, tetapi yang menerima sahutan itu dalam segenap segi lagi sangat kurang akalnya. Ketidaktentuan kerajaan hari ini dicipta oleh Bersatu. Bersatu bertanggungjawab kepada kehancuran sebuah stabiliti.

Dan Pas mula menghidu dan nampak perkara ini. Kerana itu barangkali mereka sudah panas punggung dan mencari jalan apa cara sekalipun untuk berdamping hanya dengan yang terkuat.

Justeru, UMNO harus belajar daripada ketidakikhlasan Pas ini. Usahlah lagi digadaikan perasaan dan harga sebuah persahabatan kepada parti yang hanya datang bila terdesak dan pergi bila sudah mendapat kesenangan.

Realitinya politik tanah air pada ketika ini tidak sama seperti sebelum ini. Semua parti utama pernah berada di tampuk kekuasaan. Kenikmatan memperoleh kuasa mengatasi perjuangan. Matlamat memperoleh kuasa lebih penting daripada perjuangan untuk rakyat. Duduk di kerusi empuk menteri lebih menjadi keutamaan. Oleh itu, idea khemah besar hanyalah helah untuk memegang kuasa. Namun, adakah ini akan menjamin kestabilan atau akan mengundang peristiwa 22 bulan? Politik kusam akan berterusan! – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN