DUNIA Islam wajib untuk terus mengingati serta mengambil iktibar terhadap kezaliman dan penindasan berterusan penduduk Arab-Palestin oleh regim haram Zionis-Israel hasil daripada konspirasi Barat yang dipelopori oleh Britain. Adalah penting bagi umum mengetahui bahawa siri-siri pembantaian yang tidak berperikemanusiaan selama ini tidak mungkin berlaku sekiranya Britain benar-benar memainkan peranannya secara berkesan di Palestin.
Tetapi perkara sebaliknya timbul apabila Britain dalam usaha mendapatkan sokongan Yahudi Zionis terhadap kempen Perang Dunia Pertama (1914-1918) telah mengisytiharkan Deklarasi Balfour pada 2 November 1917. Deklarasi yang disahkan oleh Setiausaha Luar Britain, Arthur James Balfour secara jelas menyokong penubuhan sebuah negara haram Yahudi di Palestin yang ketika itu masih berada di bawah penguasaan dan pentadbiran Empayar Turki Ottoman.
Bagi seorang lagi Setiausaha Luar Britain iaitu Ernest Bevin (1881-1951), Deklarasi Balfour sebenarnya adalah pencetus yang membawa kepada permasalahan berterusan melibatkan konflik Arab-Palestin dan Yahudi-Zionis. Dalam konteks ini, Bevin yang dicap sebagai anti-semitik oleh Pertubuhan Zionis Sedunia mengatakan Deklarasi Balfour adalah tidak lebih berbentuk deklarasi unilateral. Ia langsung tidak mengambil kira orang-orang Arab dan jelas adalah deklarasi kuasa politik semata-mata.
Tanggal 16 Mei lalu secara rasmi menyaksikan 74 tahun berdirinya negara haram Israel yang ditubuhkan secara tipu muslihat dengan bantuan dan sokongan Barat khususnya Britain dan Amerika Syarikat (AS). Ketika ini timbul kembali persoalan berkaitan kedudukan rakyat Arab-Palestin sebagaimana pernah termaktub menerusi Perjanjian Oslo 1993. Apakah nasib mereka berikutan kemasukan beramai-ramai Yahudi Ukraine ke Israel akibat serangan Russia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu?
Secara sepintas lalu, Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada 13 September 1993 adalah detik cukup bersejarah buat negara haram Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Ia menyaksikan pemimpin PLO iaitu Abu Ammar atau lebih dikenali sebagai Yasser Arafat, Perdana Menteri Israel ketika itu, Yitzak Rabin serta Presiden AS, Bill Clinton mencapai kata sepakat bagi menamatkan konflik yang berdekad lamanya sehingga mencapai kemuncak kepada Intifada Palestin 1987.
Namun begitu, Perjanjian Oslo yang merupakan langkah awal kepada penetapan dan penerusan penamatan konflik Palestin-Israel dilihat lebih banyak memberikan kelebihan kepada Israel khususnya dalam meneruskan pendudukan mereka di Palestin. Terdapat sekurang-kurangnya dua faktor utama yang menyebabkan kegagalan Perjanjian Oslo, iaitu pertama, melibatkan pembahagian wilayah Palestin yang merupakan asas utama kepada perjanjian damai berkenaan. Sementara kedua, dapatan hak pelarian Palestin untuk kembali pulang berikutan Nakba 1948 telah dinafikan dengan tidak ada sebarang perbincangan mengenainya. Mereka ini berjumlah 2.5 juta yang berada di Tebing Barat yang dinafikan haknya selain lebih dua juta berada di luar Tebing Barat.
POGROM
Namun, dunia terus diperlihatkan dengan ketidakadilan kepada Arab-Palestin apabila meletusnya serangan oleh Russia ke atas Ukraine. Ia menyaksikan penghijrahan Yahudi Ukraine ke Israel menerusi apa yang dikenali sebagai Aliyah Express.
Sesuatu yang cukup ironik ialah istilah Aliyah Pertama atau Imigran Pertama digunakan pada 1882 apabila berlakunya penghijrahan lebih 6,000 Yahudi Russia menuju Palestin.
Ia adalah kesan daripada tindakan Tsar Alexander III yang menginstitusikan pogrom, iaitu pendekatan ganas terhadap Yahudi yang dibunuh dan petempatan mereka dimusnahkan. Pogrom bermaksud mendatangkan kebinasaan secara ganas.
Aliyah Express 2022 terhasil akibat daripada pelanggaran Russia ke atas Ukraine yang secara langsung membuka peluang kepada Yahudi Ukraine untuk ‘pulang’ ke Israel. Sehingga kini terdapat lebih 2.6 juta pelarian Ukraine yang telah meninggalkan negara mereka. Kebanyakan mereka pergi ke negara-negara jiran seperti Poland, Slovakia, Hungary, Romania, Moldova serta tidak ketinggalan negara haram Israel.
DARAH KETURUNAN
Israel tidak segan untuk menunjukkan sikapnya yang berat sebelah apabila mereka dengan senangnya menerima kehadiran Yahudi Ukraine menerusi pemakaian undang-undang yang dikenali Law of Return. Menerusi undang-undang ini, ia memberikan hak kepada mereka yang mewarisi darah keturunan Yahudi menjadi warga negara Israel.
Sehingga kini terdapat lebih 10,000 warga Yahudi Ukraine tiba di Israel dan 2,800 daripada mereka ini telah pun layak menjadi warganegara.
Malahan Menteri Dalam Negeri Israel, Ayelet Shaked turut menyatakan kesediaan Israel untuk menerima 100,000 pelarian Yahudi Ukraine yang layak diberikan kewarganegaraan mengikut Law of Return. Malahan kerajaan Israel turut memperuntukkan NIS15 juta kepada pelarian bagi menampung mereka bagi tempoh tiga bulan pertama. Selain turut memperuntukkan mereka dengan kemudahan tempat tinggal, makanan, insurans kesihatan serta sokongan moral.
Siapakah yang akan mempersoalkan bagaimanakah pula halnya dengan orang-orang Arab-Palestin yang terus tidak diberikan layanan sebagai manusia yang hak asasinya telah dirobek dan dinafikan oleh kerajaan haram Israel? Jadi, siapa menindas siapa? Apakah dunia akan terus ditipu dan dibelenggu dengan peristiwa Holocaust yang menjadikan orang-orang Yahudi khususnya pendukung Zionis terus dipertahankan? Jawapannya ialah tinggalkan sahaja Barat yang sememangnya tidak boleh dipercayai kerana mereka adalah sekutu kepada Zionis-Israel khususnya AS. Maka perlu dihayati kata-kata Benjamin Disraeli yang merupakan Perdana Menteri Britain (1874-1880) yang juga seorang Yahudi. Kata-kata Disraeli yang cukup mengesankan ialah “jangan sesekali mempercayai kata-kata Yahudi kerana saya lebih mengenali mereka, kerana saya juga adalah seorang Yahudi.” – UTUSAN
PENULIS ialah ahli akademik di Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).











