MALAYSIA gagal mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran daging lembu. Pelbagai penyelidikan dan kajian lapangan pengeluaran daging dilakukan sejak beberapa dekad lalu, namun tidak membuahkan hasil.
Pada 2020, Malaysia mengeluarkan 23 peratus keperluan daging. Jabatan Perangkaan mencatatkan negara pada tahun itu terpaksa mengimport daging dengan nilai RM2.2 bilion.
Kini Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melancarkan pula Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara (2021-2025). Selain itu, Lembaga Ruminan Negara diwujudkan untuk memastikan industri ruminan berdaya saing, mampu memenuhi permintaan daging, susu dan produk berasaskan susu.
Persoalannya, setelah hampir 65 tahun mencapai kemerdekaan dan pelbagai dasar sekuriti makanan diperkenalkan sejak 1984, mengapakah Malaysia masih mengimport 70 peratus daging dari luar negara? Pernahkah kita bertanya persoalan ini secara jujur, mengapa kita gagal?
Dengan keluasan 330,000 kilometer persegi, Malaysia mempunyai tanah pertanian yang luas untuk menternak lembu. Pelbagai jenis rumput dan kekacang hidup subur di negara ini seperti rumput signal, guinea, napiar, brachiaria mutica, humidicola, centro, stylo, calapo dan petai belalang.
Di seluruh negara, terdapat Pejabat Veterinar Daerah yang menempatkan pegawai dan segala macam kemudahan untuk memajukan penternakan lembu dan kambing, namun amat mengecewakan.
Sejak 1970-an lagi, ladang-ladang besar komersial untuk membangunkan penghasilan baka, fidlot dan susu ditubuhkan seperti FIMA Feedlot di Johor, ladang daging dan tenusu Majuternak di beberapa negeri, Pahangbif, Darabif, Makmur dan First Dairy Farm serta Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC). Namun, syarikat-syarikat ini turut mengalami pelbagai masalah dan dihentikan operasi.
MAFI adalah antara kementerian yang diberikan peruntukan belanjawan tinggi setiap tahun untuk memainkan peranan menggerakkan 13 agensi di bawahnya berfungsi dengan cekap dalam memastikan sekuriti makanan negara terpelihara. Bagaimanapun, nilai import makanan negara terus meningkat dari setahun ke setahun.
Pada 2012, Malaysia mengimport RM36.09 bilion makanan. Pada 2020, meningkat kepada RM55.48 bilion iaitu pertambahan RM19.39 bilion dalam masa lapan tahun.
Selain mengimport daging, pada 2020 dan 2021 Malaysia mengimport 24,958 ekor lembu dari Thailand sempena Hari Raya Aidiladha.
Bernama melaporkan pada 22 April lalu, Pengarah Bahagian Kerjasama Antarabangsa Ternakan, Jabatan Pembangunan Ternakan Thailand, Dr. Wacharapon Chotiyaputta menyatakan negaranya mempunyai kemudahan, kapasiti dan bekalan mencukupi untuk mengeksport lembu ke Malaysia.
Mengapakah Thailand lebih maju daripada Malaysia dalam penternakan lembu sedangkan iklim kedua-dua negara hampir sama? Asian-Australasian Journal of Animal Sciences (AJAS) terbitan Julai 2018 menyebut, terdapat 4.9 juta lembu di Thailand, sejuta ekor disembelih setahun.
Di Malaysia, menurut Perangkaan Agromakanan MAFI, pada 2018 terdapat 676,686 ekor lembu. Bilangan penternak ialah 24,279 orang.
DEFENSIF
Malaysia ketinggalan jauh daripada Thailand dalam penternakan lembu. Banyak aspek penternakan dapat dipelajari daripada Thailand bukan sahaja dengan mengadakan lawatan tetapi juga melalui tulisan dan kajian ilmiah yang diterbitkan.
Beberapa langkah perlu dilakukan oleh MAFI dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk memajukan sektor ternakan ruminan sekali gus meningkatkan keuntungan industri dan golongan penternak kecil di seluruh negara.
Pertama, pejabat daerah JPV di seluruh negara dinaik taraf dengan diketuai oleh pegawai Gred 52. Hanya pegawai yang dikenal pasti dan terbukti cemerlang dan berprestasi tinggi dipilih.
Di daerahlah pelaksanan dasar dan pelan yang dirangka teruji sama ada berhasil atau perlu penambahbaikan dilakukan.
Kedua, kebanyakan inisiatif kerajaan dalam industri ruminan berasaskan orientasi program, bukan orientasi keberhasilan. Bantuan pinjaman dan geran tidak akan membantu penternak untuk jangka masa panjang. Yang diperlukan penternak ialah bantuan kepakaran teknikal sebab menternak lembu bukan seperti menanam sayur.
Banyak cabaran yang terpaksa dihadapi bagi memastikan ternakan sihat.
Ketiga, surat dan aduan permasalahan serta pandangan penternak hendaklah diterima secara positif oleh MAFI dan JPV. Sikap defensif mempertahankan pegawai tanpa memberikan penyelesaian masalah secara munasabah tidak membawa kemajuan.
Keempat, JPV perlu memastikan sumber makanan tempatan berkualiti ditanam dan mudah diperoleh oleh penternak daripada bergantung kepada makanan import yang mahal. Rundingan hendaklah dibuat dengan para pekilang kelapa sawit supaya penternak memperoleh makanan lembu dalam bentuk palet.
Kelima, memastikan ratusan padang ragut di bawah seliaan JPV di negeri-negeri diurus dengan cemerlang. Hanya penternak yang menunjukkan minat tinggi dan berusaha memajukan diri ditawarkan menternak di kawasan itu.
Keenam, JPV hendaklah memastikan jadual penyelenggaran padang ragut dan bantuan lazim lain kerajaan kepada penternak diberikan secara adil mengikut tata cara ditetapkan.
Ketujuh, memastikan semua pegawai JPV didedahkan secara terperinci Laporan Audit Dalam dan Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun supaya kelemahan dan kecuaian kepimpinan, pengurusan dan pelaksanaan projek tidak berulang.
Kelapan, MAFI hendaklah mengatasi kerenah birokrasi terutama membabitkan isu pemberian insentif, subsidi, perolehan, khidmat nasihat serta tempoh menunggu yang dikesan mengganggu usaha penternak lembu.
Industri penternakan lembu di Malaysia mempunyai potensi besar untuk maju sekali gus meningkatkan pendapatan penternak kecil. JPV hendaklah keluar dari kepompong bekerja dan bertindak cara yang tidak sesuai lagi pada abad ke-21.
Sikap menganggap cara operasi seperti biasa sekarang adalah terbaik kepada JPV akan merugikan rakyat dan negara yang mengharapkan untuk menikmati daging dan susu yang berkualiti pada harga patut. – UTUSAN
PENULIS ialah peladang di Perak.











