Ingat jadi pegawai, rupanya scammer

Ingat jadi pegawai, rupanya scammer

scammer
ADA rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket tawaran kerja palsu di luar negara dipaksa melakukan penipuan seperti pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan love scam. – GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK kebelakangan ini kita banyak mendengar tentang kes mangsa scammer (penipuan dalam talian) kerja di luar negara membabitkan rakyat Malaysia. Walaupun insiden seperti ini bukan perkara baharu, namun apabila melibatkan jenayah merentasi sempadan dan pemerdagangan manusia, ia sudah tentu memerlukan perhatian semua pihak. Lebih-lebih lagi apabila Kementerian Luar Negeri melaporkan trend scam kerja di luar negara semakin meningkat.

Baru-baru ini, sekumpulan 16 rakyat Malaysia diselamatkan dan dibawa pulang dari Kemboja selepas dipaksa menjadi anggota sindiket scammer yang membuat penipuan dan terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian. Rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket seumpama ini di negara-negara lain juga dipaksa melakukan penipuan seperti pelaburan palsu, perlombongan bitcoin dan love scam.

Wisma Putra dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan lebih ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa scam kerja berdasarkan laporan-laporan yang diterima daripada kedutaan dan konsulat Malaysia di Thailand, Laos, Myanmar dan Kemboja.

Modus operandi sindiket scam kerja ini kebanyakkanya menggunakan media sosial untuk memperdaya mangsa dengan iklan pekerjaan menarik dan gaji lumayan, tempat tinggal selesa serta segala kos perjalanan ditanggung syarikat di luar negara. Keinginan untuk mengecap kehidupan lebih baik dan mengubah nasib keluarga terutama selepas mengharungi keperitan hidup berikutan Covid-19 boleh dieksploitasi oleh sindiket seperti ini sekiranya tidak berhati-hati.

Dalam kes mangsa-mangsa yang diselamatkan di Kemboja, mereka dipaksa melakukan pekerjaan yang berbeza seperti diiklankan (pegawai khidmat pelanggan), dokumen perjalanan dan telefon dirampas sebaik sahaja tiba, pergerakan dikawal ketat sepanjang masa dan dikurung. Polis juga melaporkan mangsa tidak dibenarkan kembali ke negara asal selagi tidak mencapai sasaran sindiket terbabit. Bagi mereka yang berkeras hendak pulang, mereka diminta membayar ganti rugi dianggarkan berjumlah RM30,000 hingga RM50,000 setiap orang.

Nasib mangsa scam kerja boleh menjadi lebih buruk seperti pepatah, sudah jatuh ditimpa tangga sekiranya mereka terlibat dalam pekerjaan atau aktiviti yang melanggar undang-undang negara terbabit. Mereka mungkin perlu menjalani hukuman setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Kementerian Luar Negeri melaporkan, seramai 2,742 warganegara Malaysia ditahan di luar negara atas pelbagai kesalahan pada 2020.

Dalam kes-kes seperti ini, mereka sekurang-kurangnya dapat dikesan oleh pihak berkuasa tempatan negara terbabit dan kedutaan Malaysia ketika berurusan dengan proses undang-undang. Namun bagi yang terperangkap dengan sindiket yang bertindak menyembunyikan maklumat lokasi keberadaan, ada kemungkinan mereka boleh ‘hilang’ tanpa dapat dikesan buat selama-lamanya.

Justeru, mereka yang ingin bekerja di luar negara disaran berwaspada dengan sebarang tawaran diberikan. Beberapa perkara boleh dilakukan untuk mengetahui sama ada sesuatu tawaran itu benar atau palsu. Antaranya, hubungi pejabat Kedutaan Malaysia atau pihak berkuasa tempatan negara yang dituju untuk mengetahui kesahihan peluang pekerjaan dan kewujudan syarikat yang membuat tawaran.

E-MEL

Semakan terhadap nombor telefon dan e-mel yang diterima harus dilakukan untuk mengetahui kesahihannya. Mereka juga boleh melayari laman sesawang bakal majikan.

Orang ramai juga dinasihatkan menghubungi kenalan atau saudara-mara di negara yang akan dituju untuk membuat semakan latar belakang syarikat seperti maklumat pendaftaran perniagaan, jenis perniagaan dan lokasi.

Mereka yang berminat bekerja di luar negara juga perlu ambil maklum bahawa bakal majikan selalunya menguruskan proses permohonan permit kerja dan hanya akan membenarkan pekerja melakukan perjalanan selepas mendapat permit kerja yang sah. Majikan juga selalunya menguruskan perjalanan pekerja ke negara yang dituju menggunakan laluan perjalanan sah. Justeru, sekiranya ada majikan yang meminta pekerja melakukan perjalanan tanpa dokumen sah atau menggunakan laluan perjalanan tidak sah, maka seharusnya menolak tawaran seperti ini.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak percaya kepada ejen pekerjaan yang meminta bayaran tidak masuk akal sebagai pendahuluan, juga jika proses dilalui amat mencurigakan. Bakal pekerja juga perlu memastikan mereka telah meneliti dokumen kontrak yang memperincikan terma dan syarat pekerjaan serta jumlah gaji dan faedah-faedah berkaitan yang bakal diterima. Majikan yang sah dan berdaftar selalunya menyediakan kemudahan perlindungan insurans pekerjaan kepada pekerja asing mereka. Justeru, perkara ini juga perlu diambil kira sebelum menerima sebarang tawaran kerja di luar negara.

Sejurus tiba di negara asing, dinasihatkan tidak membenarkan sesiapa pun memegang pasport mereka sepanjang bekerja di luar negara. Ketiadaan pasport pada diri boleh menyebabkan mereka terdedah kepada risiko dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Tanpa dokumen diri yang sah, mereka juga kemungkinan menjadi pendatang asing tanpa izin dan perlu berhadapan tindakan undang-undang negara terlibat yang boleh merumitkan lagi keadaan.

Bakal pekerja yang akan ke luar negara juga seharusnya menyimpan wang secukupnya untuk membuat perjalanan kembali ke negara asal sekiranya berlaku perkara-perkara tidak diingini. Ramai tidak dapat kembali ke negara asal walaupun sedar telah ditipu oleh sindiket scam kerja disebabkan tiada wang untuk membiayai perjalanan pulang menyebabkan mereka terus bergantung kepada pihak yang telah menipu mereka demi kelangsungan hidup.

Kita juga ada mendengar kes-kes wanita diperdagangkan seperti dijual kepada sindiket pelacuran dalam situasi seperti ini. Rakyat Malaysia juga diingatkan sentiasa berhubung dengan ahli keluarga sepanjang berada di luar negara. Lokasi keberadaan dan nombor boleh dihubungi perlu sentiasa dimaklumkan kepada keluarga agar tindakan mengesan dapat dilakukan segera sekiranya mereka tidak dapat dihubungi untuk tempoh lama. Mereka juga perlu menyimpan nombor pihak berkuasa tempatan dan pejabat Kedutaan Malaysia untuk dihubungi sekiranya memerlukan bantuan.

Adalah penting untuk memastikan tawaran kerja luar negara adalah benar-benar sahih sebelum memulakan perjalanan agar kita tidak tertipu dan menjadi mangsa scam kerja yang semakin berleluasa. Kita risau tawaran-tawaran seperti ini mungkin bersifat indah khabar dari rupa dan apabila terperangkap, nasi sudah menjadi bubur. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. S.R. Subramaniam ialah Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×