Hati lemah, akhlak runtuh - Utusan Malaysia

Hati lemah, akhlak runtuh

SEBAGAI rakyat Malaysia yang mendukung kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara, sewajarnya lebih ke hadapan dalam aspek spiritual. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN hari kita dihidangkan dengan berita tentang rasuah, buli, buang anak, kemalangan jalan raya dan pelbagai lagi masalah sosial. Kita seakan lali dengan masalah ini sehingga merasakan inilah antara elemen budaya dan unsur kemodenan yang perlu ada dalam kehidupan masa kini.

Pelbagai cadangan dan buah fikiran dikemukakan demi membantu menyelesaikan masalah ini.

Sebagai umat Islam yang menerima Islam sebagai panduan hidup, ditambah pula rakyat Malaysia yang meletakkan kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara, kita tiada pilihan melainkan perlu berbalik kepada ajaran agama dengan memerah keluar nilai yang ada untuk dijadikan asas dalam apa jua tindakan atau perbuatan.

Namun, bagaimanakah pendidikan nilai seharusnya berlaku? Di manakah lahirnya nilai dan apakah nilai ini sebenarnya?

Untuk menjawab soalan ini, kita perlu kembali melihat kepada kejadian kita sebagai manusia yang terdiri daripada tiga komponen utama iaitu fizikal (jasad), intelektual (minda atau mental) dan spiritual (rohani). Kefahaman kepada komponen kejadian kita dapat membantu menyelesaikan pelbagai masalah sosial.

Kegagalan untuk mengenali diri kita sendiri mengakibatkan seseorang memberi makanan yang tidak tepat kepada komponen itu. Sekiranya komponen itu sakit, kita gagal untuk memberi ubat yang terbaik.

Kesannya, komponen tersebut terus berada dalam kesakitan. Malangnya kesakitan yang dihadapi tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kesannya mampu dirasai dan dilihat dengan mata kasar.

Hati merupakan organ bersifat metafizik yang berada dalam komponen spiritual, salah satu daripada tiga komponen manusia yang utama, iaitu fizikal dan intelektual. Hati mempunyai peranan untuk mengeluarkan nilai-nilai yang diperlukan dalam kehidupan kita seperti kasih sayang, hormat-menghormati, jujur, amanah, empati, kesungguhan dan keghairahan untuk berusaha dan lain-lain.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, dalam diri manusia ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut, baiklah seluruh anggotanya dan sekiranya rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging tersebut adalah hati.

Allah SWT juga ada berfirman dalam surah Ara’d: 11 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sehinggalah seseorang itu mengubah apa yang ada dalam diri mereka.”

Apa yang dimaksudkan dengan merubah dari dalam diri ini ialah perubahan pada hati. Hati yang merupakan raja segala anggota perlu dijaga, diberi makan.

Kegagalan seseorang untuk menjaga dan memberi makanan yang sepatutnya itulah yang akan mengakibatkan hati tersebut sakit.

Dalam hal ini, makanan untuk hati ialah apa jua aktiviti atau perbuatan yang menghubungkan diri dengan Tuhan, sama ada ibadah yang dilakukan secara khusus seperti solat, puasa dan lain-lain atau ibadah yang dilakukan melalui hubungan sesama manusia atau hubungan dengan alam didiami.

Jika dilihat kepada mereka yang terlibat dengan masalah sosial tersebut, kita boleh nyatakan mereka sering dikaitkan dengan orang Melayu.

Persoalan mungkin timbul, bagaimana lagi untuk berbalik kepada ajaran agama jika dilihat dari segi amalan, memang rata-rata telah mengamalkan ajaran Islam seperti mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan, mengerjakan haji ke Baitullah dan lain-lain?

KHUSYUK

Dalam perkara ini, perlu diingatkan amalan yang diwajibkan seperti solat meskipun anggota fizikal yang melakukannya, namun anggota atau organ yang utama berperanan dalam perbuatan ini ialah hati.

Selagi solat yang dilakukan ini tidak meletakkan hati sebagai anggota utama untuk berperanan, khususnya melalui nilai khusyuk, iaitu fokus hanya kepada Allah SWT, selagi itulah peranan solat sebagai pencegah kepada perkara keburukan dan kebobrokan gagal mencapai matlamatnya.

Tidak dapat dinafikan bahawa semua agama mengajak penganutnya untuk melakukan kebaikan. Untuk melakukan kebaikan, aspek nilai perlu terlebih dahulu dihidupkan. Di sinilah peranan agama yang menentukan apa yang baik dan tidak.

Tanpa ada nilai, tidak mungkin akan lahir suatu tindakan mulia atau disebut sebagai perbuatan beretika, beradab atau berakhlak.

Dengan kata lain, pendidikan nilai bukan sekadar menyampaikan pengetahuan tetapi ia perlu dihayati, dicernakan dan diterjemahkan melalui perbuatan. Sebagai contoh, sekiranya seseorang tahu kepentingan untuk memiliki perasaan kasih dan sayang.

Tanpa keupayaan individu tersebut untuk menterjemahkan kasih sayang dengan sikap penyayang, tolong-menolong antara satu sama lain, jujur dan amanah pada setiap pekerjaan yang dilakukan, selagi itulah nilai tersebut kekal sebagai pengetahuan dan tidak memberi apa-apa hasil yang sepatutnya diperoleh daripada perbuatannya.

Sebagai kesimpulan, pendidikan nilai yang sangat berkaitan dengan pendidikan hati yang berada dalam komponen spiritual menjadi keperluan mendesak pada hari ini lantaran isu-isu yang kita depani adalah isu yang telah sekian lama berada dalam masyarakat.

Nilai perlu dilahirkan dan untuk melahirkannya, pastinya hati yang berada di domain spiritual atau rohani perlu terus dijaga, dibelai dan diberi makanan yang sepatutnya.

Kegagalan untuk menjaganya inilah yang akan menjadikan hati lemah dan gagal untuk mengeluarkan nilai yang diperlukan dalam tindak-tanduk yang boleh dikira beradab atau berakhlak. Ini seiring dengan tujuan kedatangan Rasulullah SAW iaitu untuk menyempurnakan akhlak manusia.

Sehubungan dengan ini juga, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam agenda Pembangunan Mampan telah mula melihat keperluan untuk menekankan aspek spiritual sebagai usaha untuk memastikan kejayaan agenda ini.

Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa aspek spiritual yang merupakan aspek terpenting dalam pendidikan nilai ini telah mula diberi perhatian.

Justeru, kita sebagai rakyat Malaysia yang memang mendukung Kepercayaan kepada Tuhan sebagai prinsip pertama dalam Rukun Negara, sewajarnya lebih ke hadapan dalam hal ini kerana agama sangat mementingkan penjagaan komponen spiritual kerana di sinilah letaknya hati yang berperanan mengeluarkan nilai.

Hanya hati yang baik atau saleem yang mampu menerbitkan nilai dan sebaliknya hati yang sakit akan mengeluarkan sifat-sifat yang negatif yang dizahirkan dalam tindakan seperti rasuah, buli, buang anak dan lain-lain yang akhirnya mendatangkan masalah kepada masyarakat secara keseluruhan. – UTUSAN

DR. Ratna Roshida Ab. Razak ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×