Duta produk pun boleh jadi scammer - Utusan Malaysia

Duta produk pun boleh jadi scammer

RAMPASAN membabitkan produk kesihatan dan kecantikan yang tidak berdaftar dan beracun sering dilakukan oleh Kementerian Kesihatan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, seorang rakan lelaki memberitahu, dia hampir-hampir ‘terjebak’ untuk membeli ubat melebatkan rambut.
Menurutnya, dia membaca iklan ubat dengan harga mampu milik tersebut di media sosial. Tak sampai RM100 sebotol harganya. Dia yang botak kepalanya terasa begitu teruja mahu mencuba. Manalah tahu, katanya, daripada tak ada rambut, sebulan dua guna tonik rambut tersebut, kepalanya kembali berambut semula!
Tetapi kemudian, ceritanya lagi, dia tidak jadi beli. Sebabnya, tiba-tiba saja dia terfikir. Duta produk tersebut ialah seorang artis yang kacak. Bila masa pula pelakon itu botak? Selama ini pun tak pernah pula dia tak ada rambut. Malah, segak bergaya dengan rambut lebatnya.
“Saya tak jadi beli. Artis itu dari dulu ada rambut lebat sampai sekarang. Macam mana pelakon ini boleh jadi duta ubat botak pula. Biar betul!
“Kalau hendak ambil artis jadi duta produk lebat rambut pun, carilah yang sebelum ini botak, nampaklah kesan tonik tersebut. Barulah boleh sembang kencang,” katanya.
Sebenarnya perbualan kami di dalam pantri itu bermula dengan cerita seorang lagi kawan. Seorang wanita. Dia yang selama ini memang memiliki wajah putih berseri, boleh pula terpengaruh dengan iklan satu produk penjagaan muka. Tetapi itulah, selepas mengambil produk keluaran dari Korea yang popular di dalam media sosial dan dijual oleh ramai orang kita itu, mukanya nampak lain macam. Gelap pula.
Saya pun tegur – baru balik bercuti dari pantai ke ini? Patutlah sudah lama tak nampak. Dia tidak terkejut dengan pertanyaan itu kerana sudah beberapa orang menegur kulitnya yang cerah sebelum ini tiba-tiba bertukar gelap.
Katanya, dia menggunakan produk yang dia jumpa di Twitter dan sekarang ini teragak-agak mahu terus menggunakan produk berkenaan setelah melihat wajahnya semakin gelap. Duit sudah dilaburkan kira-kira RM1,000 lebih untuk produk berkenaan.
Saya hanya boleh menasihatkan, sebelum mukanya bertukar menjadi ‘Dayang Senandung’, lebih baik berhenti daripada menggunakan produk itu. Jangan ambil risiko.
Hakikatnya, pengeluar produk-produk kecantikan dan penjagaan kesihatan ini pun ada juga yang scammer.
Ada yang menjual produk tersebut tanpa kelulusan pihak berkuasa dan yang hairannya ia dijual melalui platform pengendali beli-belah secara online terkemuka yang sepatutnya memastikan hanya barangan yang selamat saja dan disahkan oleh Kementerian Kesihatan dijual di situ.
Penipuan ini sebenarnya secara tidak langsung mengheret sekali artis atau selebriti terbabit menjadi scammer juga. Iyalah, kalau produk itu bermasalah, yang dapat nama busuknya dan dicari tentulah duta produk terbabit.
Berlaku jujurlah. Kalau betul tak ada kesan baik, jangan kata berkesan pula. Tolak saja tawaran menjadi duta itu. Jangan menipu dan bersekongkol.
Jangan biarkan populariti anda digunakan untuk perkara-perkara yang memudaratkan orang ramai. Jangan tunjuk lawa, tampan dan sihat tetapi sebenarnya bukan sebab produk berkenaan. Dia guna produk lain. Jadilah artis yang bertanggungjawab kepada masyarakat. Tak usah layan pengeluar ‘produk-produk sampah’ yang mengaut keuntungan dengan cara ini. Jangan mengkayakan mereka.
Saya pun ada juga terlihat iklan produk penjagaan mata yang kini kerap lalu lalang di media sosial. Produk itu digunakan oleh ramai artis. Bertukar-tukar pula artis dalam iklannya. Atau terfikir juga saya sama ada pengeluar ubat mata itu menggunakan gambar artis-artis berkenaan tanpa pengetahuan mereka?
Menurut iklan tersebut, makan ubat mata itu tak sampai seminggu mata rabun boleh jadi cerah. Tak perlu lagi pakai kaca mata. Macam itu kita tak perlu doktor pakar mata lah di negara ini.
Bila baca komen-komen netizen pada iklan itu, ramai yang komplen sudah beli beberapa botol tetapi tak ada kesan apa-apa pun. Yang jadi mangsa artis-artis dalam iklan itu, teruk dikecam kerana didakwa menipu.
Sebelum ini pun ada produk meninggikan badan dijual di pasaran. Duta produknya juga seorang selebriti. Pelik, kenapa pilih lelaki itu, sedangkan dia tinggi lampai. Bila masa pula dia rendah?
Hakikatnya, testimoni pengguna bukan semuanya betul. Boleh saja disuruh kawan-kawan atau saudara mara menghantar WhatsApp kepada mereka, memuji-muji produk berkenaan kemudian dipamerkan sebagai testimoni untuk mempengaruhi orang ramai agar membeli.
Kementerian Kesihatan pun sentiasa uar-uarkan rampasan ubat tiruan dan kosmetik beracun dalam media sosial yang boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang, sistem saraf dan kerosakan kronik lain. Orang ramai juga digalakkan menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dan penjagaan kesihatan dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my.
Wajah bertukar cantik, putih berseri-seri kononnya setelah mengambil sesuatu produk, boleh saja disunting (edit) menggunakan filter. Bukan tak biasa letak gambar di media sosial yang menggunakan filter. Buang kedut dan kuruskan muka. Ramai saja yang melakukannya. Tak akan itu pun masih boleh tertipu lagi.

PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.