Borak-borak raya…bila pilihan raya

Borak-borak raya…bila pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK ‘kepala’ dalam merangka strategi pilihan raya boleh bikin kacau dibuatnya. Sedangkan kemenangan dikatakan sudah dalam genggaman. Harapkan burung terbang tinggi, punai di tangan dilepaskan.

Kalau diperhati dalam setiap parti politik negara ini, pasti ada kem dan cainya. Kem si polan-polan, kem si anu anu. Ada strategi tersendiri, sendiri-sendiri.

Dengan inflasi yang mendatang, cukup merisaukan. Kenaikan harga barang kini menyeluruh. Tidak sekadar barang makanan tapi bersekali kelapa sawitnya dan bahan binaan. Itu belum lagi kesan penurunan ringgit. Awal tahun ini sudah hampir 4, sekarang naik ke 4.3. Ringgit kini merudum iaitu satu dolar Singapura jadi RM3.17 – satu petanda tidak baik kepada kita.

Faktor luaran pun sama, kesannya kepada kita. Perang Russia-Ukraine dan impak China. Bahkan populariti Presiden Indonesia, Jokowi sudah menurun kerana kenaikan harga. Tahun 2020/2021 orang bengang dengan Perdana Menteri (PM) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan

Diperketatkan (PKPD)-nya. Kini, PM dari UMNO, ada pula dari parti berkenaan bercakap, “kena buat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) awal (daripada menunggu mandat berakhir 16 Julai 2023), kalau tak, susah partinya untuk menang.” Tetapi siapapun yang jadi PM sudah tentu ada impian mahu kekal lama. Itu haknya.

KENAIKAN HARGA

Maka kalau dalam bisnes hari ini pun boleh rasai kemelutnya, yang beli barang makanan lagilah terasa. Seorang ahli perniagaan import eksport berkongsi dengan saya semalam yang dia sebenarnya ada cukup keyakinan ekonomi negara akan berkembang seperti mana diramalkan. Tapi sekarang sudah masuk Mei. Berharap telahannya betul, namun berdasarkan kenaikan harga, dengan pembayaran tunai yang lambat dibayar, seolah satu petanda pula kemelesetan ekonomi akan bermula.

Sebelum ini katanya, pembayaran daripada kontrak kerajaan dibuat sebelum hari raya lagi, tapi kali ini tidak begitu akibat kesan aliran tunai. Kebiasaan kerajaan selalunya hujung tahun (2021) perlahan-lahan akan buat pembayaran kepada syarikatnya. Tapi sekali lagi, sudah masuk Mac/April (2022), ada yang sangkut-sangkut.

Bukan sahaja bab ekonomi, isu semasa juga sudah jadi bahan kecaman. Kes dua pegawai kanan diarah balik ke tanah air dari Dubai tempoh hari mengundang rasa kecewa jengkel pegawai kerajaan. Ada yang bercakap, untuk urusan diplomatik, sepatutnya mesti ada hubungan tidak rasmi yang kuat, baru lancar hubungan dua hala. Macam menteri luar dan duta ke Amerika kita yang lepas, contact person kuat. Mesti ada ‘prosedur’ semacam ini. Isu Dubai mencetuskan persepsi cuak penjawat awam kepada kerajaan.

Belum lagi reda, sudah masuk pula isu hakim yang dikatakan menghakis keyakinan imej kehakiman. Khabarnya, menggamit perhatian kelas pertengahan sehingga dimomokkan ‘dia pula dapat simpati.’ Dan kata mereka ini kalau dibuat survey hari ini dengan andaian tidak dikendalikan isu dengan baik, mustahil keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor diulangi dalam PRU nanti.

Dakwa mereka ini lagi, bolehkah ekonomi kembali stabil bila mana ada anggota Kabinet tidak sekepala? “Sebilangannya ada agenda, lepas berperang ‘saling menikam antara satu sama lain’ dalam empat PRN, masuk ke mesyuarat macam tidak ada apa yang berlaku. Tidur sebantal, tapi mimpi lain-lain.

Bila muncul satu dua isu berkepentingan akhir-akhir ini, kejayaan-kejayaan yang diraih termasuk dalam PRN tiba-tiba merudum. Feel-good factor tidak ada lagi. Apatah lagi ‘khemah besar’ sedang dirancang serius untuk direalisasikan.

Seorang dua diplomat asing ada yang mula bercakap sehari dua ini, oleh kerana Malaysia belum ada kestabilan politik, maka susah hendak dapat keputusan. Pelaburan langsung asing dikhuatiri terencat separuh jalan. Jadi, untuk pastikan kerajaan yang stabil, hanya PRU jawapan terbaik pengakhiran kemelut politik ini.

KEMELESETAN EKONOMI

Ketika ini risiko untuk ekonomi dunia meleset boleh mencapai 50 peratus.

Perang di Ukraine, diberi amaran oleh Presiden Bank Dunia, David Malpass suatu malapetaka kepada dunia kerana menyekat pertumbuhan ekonomi.

Kesan ekonomi daripada peperangan itu akan turut memberi kesan kepada negara-negara lain, manakala peningkatan harga bahan api global secara khususnya selain inflasi akan paling teruk menjejaskan negara-negara miskin. Harga makanan juga meningkat akibat perang. Ini masalah sangat nyata di negara-negara miskin.

Russia dan Ukraine merupakan negara pengeluar makanan utama dunia dengan Ukraine adalah pengeluar minyak bunga matahari terbesar, diikuti Russia. Kedua-dua negara merangkumi 60 peratus daripada penghasilan global minyak tersebut.

Kata firma pelaburan JP Morgan, Russia dan Ukraine menyumbang sebanyak 28.9 peratus daripada eksport gandum global. Bekalan Russia bagi komoditi itu bagaimanapun kini terbatas disebabkan sekatan meluas yang menyukarkan negara-negara lain untuk membeli produknya.

Sementara bekalan dari Ukraine pula dihentikan ekoran perang menyebabkan pelabuhan-pelabuhan negara itu ditutup. Sekatan yang dikenakan ke atas Russia juga akan menjejaskan bekalan tenaga kepada Eropah Barat.

Kira-kira 39 peratus tenaga elektrik yang digunakan oleh Kesatuan Eropah dibekalkan dari stesen-stesen jana kuasa yang membakar bahan api fosil. Russia adalah sumber terbesar bagi minyak dan gas tersebut.

Pada masa sama, jika lonjakan kes jangkitan Covid-19 luar biasa tidak berjaya dikekang di China ketika ini – skala yang tidak pernah dilihat sejak pandemik itu bermula di bandar Wuhan akhir 2019 – impak lockdown di negara itu boleh merebak menjadikan ekonomi dunia meleset.

Jadi, adakah pilihan terbaik kukuhkan ekonomi dan pentadbiran terlebih dahulu, kemudian baru dikemukakan secara spontan soal bubar Parlimen dan penetapan tarikh PRU15? Ada golongan mahu secepat mungkin dilakukan konon kerana ada kaitan kumpulan mahkamah. Padahal, mahkamah patut dibiarkan berjalan mengikut jadual perbicaraannya.

Hal-hal yang saya sentuh, kupas tadi pasti menjadi topik hangat borak-borak waktu hari raya di kampung nanti.

Soal sama ada PRU15 akan dipercepatkan bergantung kepada pertimbangan Perdana Menteri.

Dengan jadual rasmi yang padat silih berganti termasuk lawatan kerja ke luar negara dalam waktu terdekat serta simposium-simposium penting bakal disempurnakan Ismail Sabri, agak sukar untuk membaca fikiran beliau akan sentimen PRU – biarpun telah dicanang menjadi poster boy dan bakal PM10. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya