RANTAU PANJANG: Pangkalan haram yang terdapat di sepanjang Sungai Golok disini ditutup operasinya berikutan insiden letupan bom yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, Thailand, tengah malam tadi.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati tiada sebarang aktiviti lintas sempadan Malaysia-Thailand dilihat berlaku di kawasan berkenaan.
Seorang pengusaha penambang yang mahu dikenali sebagai Yie, 40, berkata, buat sementara waktu aktiviti lintas sempadan dibekukan atas faktor keselamatan.
“Buat masa ini keadaan masih tegang di sana (lokasi kejadian) dan tidak selamat untuk lintas sempadan.
“Pihak berkuasa Thailand turut dilihat mempertingkatkan rondaan di sepanjang Sungai Golok dan akan terus membuat pemeriksaan jika akan pergerakan yang mencurigakan,” katanya.
Yie memberitahu, dia berharap situasi ini tidak kekal lama dan kembali pulih seperti sedia kala.
Media sebelum ini melaporkan, Empat anggota polis di Balai Polis Sungai Golok, Wilayah Narathiwat di Thailand cedera dalam kejadian letupan bom dan berbalas tembakan tengah malam tadi.
Menurut sumber, keempat-empat anggota polis itu stabil meskipun mengalami kecederaan susulan kejadian tersebut.
Katanya, difahamkan, pihak berkuasa di Thailand sedang mengesan individu atau suspek yang terlibat dalam insiden tersebut.-UTUSAN










