DALAM kita berusaha keras untuk menjadikan bahasa Melayu bahasa antarabangsa, kita sebetulnya perlu bukan sahaja mengetahui, tetapi memahami takrifan sebenar bahasa antarabangsa agar langkah yang kita ambil akan tepat menjurus kepada usaha itu.
Sehubungan ini, bahasa antarabangsa ialah bahasa yang mempunyai peranan penting dalam komunikasi antarabangsa. Dengan kata lain, ia bahasa yang digunakan oleh banyak pihak di dunia untuk berhubung antara satu sama lain, khususnya untuk tujuan rasmi dalam ranah antarabangsa.
Dalam hal ini, bahasa Inggeris hendaklah dirujuki kerana ia satu-satunya bahasa antarabangsa dalam erti kata yang sebenar-benarnya. Sehubungan ini, belum ada mana-mana bahasa yang dapat menandinginya sebagai bahasa antarabangsa terulung di dunia.
Walaupun begitu, mana-mana bahasa yang ingin berperanan sedemikian, meskipun secara sebahagian sahaja, perlu meneliti keberadaannya di arena antarabangsa. Ini penting agar usahanya bukan sahaja tidak jauh tersasar, tetapi tidak sia-sia pula.
Sebenarnya usaha kita yang sudah lama dimulakan itu lebih menjurus kepada fenomena penyebaran bahasa, iaitu proses mengembangkan bahasa Melayu di luar tanah watannya.
Ini yang antaranya dilakukan melalui penubuhan ratusan Pusat Pengajian Melayu yang ikut mengajar bahasa Melayu pada peringkat pendidikan tinggi di hampir seluruh dunia.
Dengan ini, bahasa Melayu dipelajari sebagai bahasa asing, atau lebih baik sedikit sebagai bahasa kedua di hampir semua benua di dunia ini. Namun dengan cara ini sahaja, bahasa Melayu tidak mampu menjadikan bahasa antarabangsa meskipun nilai keantarabangsaannya tinggi kerana digemari warga dunia untuk menekuninya.
Untuk bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa, sekurang-kurangnya sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN, ia bukan sahaja harus berusaha menjadi penting dalam ranah antarabangsa di peringkat Asia Tenggara, ia harus bermula dengan kita mereka cipta kepentingan itu.
Dalam hal ini, kepentingan itu tidak sesekali akan datang daripada pendidikan yang ditawarkan di institut pendidikan tinggi, waima ia banyak bertambah sekalipun.
Ini kerana ia langsung bukan penanda kepada kepentingannya untuk komunikasi antarabangsa peringkat rasmi, walaupun banyak digunakan sesama mereka yang mempelajarinya dan secara merentas benua pula.
Oleh itu, kita harus mula memikirkan cara untuk menjadikan bahasa Melayu penting di Asia Tenggara dengan meneliti ranah antarabangsa yang boleh dan patut kita tekuni untuk merealisasi hasrat kita itu agar bahasa Melayu amat diperlukan di rantau itu.
Sehubungan ini, terdapat beberapa subranah penting yang harus diberi perhatian serius. Antaranya ialah ekonomi, diplomasi, sains dan budaya.
Ekonomi tidak dapat disangkal adalah subranah terpenting. Ini dapat dilihat pada bahasa Inggeris dalam kalangan penutur jatinya, bermula di United Kingdom dan kemudiannya diteruskan di Amerika Syarikat, yang secara umum memiliki kekuatan ekonomi pada abad 19 dan 20.

HOLLYWOOD
Dengan ini, perdagangan antarabangsa rata-ratanya dikendalikan dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa terpenting untuk komunikasi antarabangsa bagi bidang ekonomi seluruh dunia.
Dalam bidang diplomasi, bahasa Inggeris ikut mendominasinya. Sehubungan ini, diplomat di seluruh dunia dilatih untuk bukan sahaja mengetahuinya dengan baik, tetapi menguasainya pada tahap tinggi kerana kepentingannya yang amat sangat dalam urusan antarabangsa.
Dengan ini, kesemua teks perjanjian antara negara di dunia menggunakan bahasa Inggeris, walaupun ia bukan bahasa rasmi negara yang terbabit.
Ini kerana ia bahasa diplomasi terutama untuk seluruh dunia.
Untuk sains, sebahagian besar penerbitan saintifik dalam bahasa Inggeris menjadikannya amat penting untuk komunikasi antarabangsa dalam bidang itu.
Sehubungan ini, didapati bahasa lain menjadi terhad penggunaannya dalam bidang ini dan hanya wujud untuk komuniti bahasa masing-masing. Malah ada sesetengahnya yang mula beralih kepada bahasa Inggeris.
Bahasa Inggeris juga amat berpengaruh dalam bidang budaya. Ini antaranya dapat dilihat pada subbidang perfileman. Sehubungan ini, bahasa Inggeris melalui filem Hollywood mendominasi tidak kurang daripada 80 peratus pasaran filem dunia.
Walaupun filem berbahasa Inggeris selalu diiringi sari kata dalam bahasa lain, pengaruh kuat bahasa Inggeris dalam ranah antarabangsa akan terus signifikan untuk satu jangka panjang.
Setelah meneliti ranah antarabangsa yang perlu dizahirkan dalam bentuk komunikasi antarabangsa, bahasa Melayu boleh dan patut dirancang rapi untuk berperanan penting dalam subranah tertentu yang kita mampu pada masa ini dan akan datang.
Inilah caranya untuk meletakkan bahasa Melayu di persada dunia sebagai bahasa antarabangsa. Sebaliknya cara kini dan yang disenaraikan untuk masa hadapan sebenarnya akan menjadikan bahasa Melayu tersebar luas sahaja.
Ini kerana cara begini tidak sesekali boleh menobatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penting dalam komunikasi antarabangsa secara agregat, antaranya rata-rata digunakan secara rasmi dalam majlis antarabangsa, khususnya yang penting lagi berprestij.
Harus bukan sahaja diakui, malah disedari mana-mana bahasa bahawa peranan komunikasi antarabangsa yang mahu dimainkan itu, kini boleh bersifat hanya di kawasan tertentu dan untuk sesuatu tujuan sahaja kerana kekuasaan bahasa Inggeris yang terlalu kuat.
Dengan ini, sudah boleh dianggap kejayaan besar apabila bahasa Melayu diterima sebagai bahasa rasmi kedua ASEAN bermula dengan keunggulan budaya dahulu yang kemudiannya amat perlu disusuli kekuatan ekonomi. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











