PERJUANGAN memartabatkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa semakin kuat digesa setakat ini. Upaya itu dipertegas kembali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berkaitan dengan itu, Pejabat Perdana Menteri telah menganjurkan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur dari 22 hingga 24 Mei lalu.
Para pakar tak kurang dari 17 negara telah menjadi pembentang makalah dalam simposium bermartabat tinggi itu. Kesemua pembentang sangat menyokong pengantarabangsaan bahasa Melayu kerana secara ilmiah ia memang layak diangkat sebagai bahasa antarabangsa.
Tiada sesiapa pun boleh menafikan bahawa bahasa Melayu berkedudukan sangat istimewa di Nusantara. Keistimewaan itu disebabkan oleh persebarannya sangat luas di Asia, khususnya di Asia Tenggara sejak abad ketujuh, yakni masa kerajaan Sriwijaya.
Kejayaan itu terus berlanjut sampai masa Kesultanan Melayu Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu lainnya di Asia Tenggara, Riau-Lingga-Johor-Pahang, dan bagi Indonesia berpuncak di Kesultanan Riau-Lingga.
Khasnya di Indonesia, bahasa Melayu telah dimartabatkan menjadi bahasa nasional dengan nama bahasa Indonesia sejak 28 Oktober 1928, dijadikan bahasa pemersatu bangsa dan alat perjuangan melawan penjajah Belanda dan Jepun.
Keistimewaannya yang menyebabkan bahasa Melayu boleh menjadi satu dari lima bahasa yang memiliki jumlah penutur terbanyak di dunia. Bahasa Melayu telah lama dikenal dan memainkan peranan istimewanya sebagai bahasa diplomasi, perniagaan, agama, sains dan bahasa perhubungan luas di Nusantara. Oleh itu, bahasa Melayu juga telah lama diakui menjadi bahasa antarabangsa oleh bangsa asing.
Faktor apakah yang boleh mempercepat bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa? Jawabnya adalah bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dan atau bahasa Indonesia, baik sebagai bahasa ibu (bahasa pertama) mahupun sebagai bahasa nasional dan bahasa negara (bahasa kedua), harus yakin dan berpandangan positif terhadap bahasanya.
Mereka adalah bangsa yang besar dan memiliki bahasa yang besar pula dalam perjalanan sejarahnya lebih dari 1,500 tahun. Masyarakat dunia menaruh harapan besar terhadap bahasa Melayu dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu, yang jumlah penuturnya lebih dari 300 juta orang.
Itu belum lagi dihitung jumlah pemakainya sebagai bahasa asing di seluruh dunia. Fakta itu tak boleh diabaikan. Ia harus dimanfaatkan bagi memartabatkan kembali bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Kesemuanya itu memiliki alasan yang cukup kuat.
Setakat ini ada 219 perguruan tinggi (universiti) di 96 negara di dunia, di luar negara yang menggunakan bahasa Melayu, melaksanakan pembelajaran bahasa Melayu atau bahasa Indonesia sebagai bahasa kedua atau bahasa asing.
Hal itu menunjukkan bahwa bangsa asing menaruh minat yang sangat besar dalam mempelajari bahasa Melayu. Dengan demikian, daya tarik negara-negara ASEAN dan kawasan Melayu akan menyokong percepatan terwujudnya pengantarabangsaan bahasa Melayu.
SOKONGAN
Adakah pembelajaran bahasa Melayu melalui sistem pendidikan di negara-negara asing itu merupakan bentuk sokongan nyata pemerintahnya bagi pengantarabangsaan bahasa Melayu? Walau belum ada pernyataan rasmi dari pemerintah negara-negara tersebut, dengan mencermati gejala positif yang terjadi, dapat diprediksi bahawa jalan ke arah itu sudah sangat terbuka.
Apatah lagi, sokongan yang sangat bermakna dalam kalangan ahli akademik negara-negara luar itu tentu diperhitungkan oleh para pemimpin mereka kerana berdasarkan pemikiran ilmiah. Faktor yang paling menentukan dalam upaya murni ini adalah rakyat dan pemerintah pemilik bahasa Melayu.
Jika kita bersungguh-sungguh, sokongan dari pelbagai pihak akan segera mengalir. Pasalnya, masyarakat dunia pun sangat mengharapkan peningkatan peranan bahasa Melayu seperti yang pernah dialaminya pada masa lampau.
Di negara-negara pemilik bahasa Melayu upaya (usaha dan ikhtiar) yang harus dilakukan adalah meningkatkan penguasaan dan kemahiran berbahasa Melayu di kalangan warganegaranya sendiri. Mutu pendidikan dan pembelajaran bahasa Melayu di lembaga-lembaga pendidikan dari tangga terendah (taman didikan kanak-kanak) sampai dengan pendidikan tinggi pun selayaknya ditingkatkan.
Dengan demikian, pemikiran masyarakat yang terus berkembang sesuai dengan zaman yang terus berubah tertampung dengan bahasanya.
Jika mutu pembelajaran bahasa Melayu meningkat, warganegara akan terbiasa menggunakan dan memahami pemikiran canggih yang disampaikan dengan bahasa Melayu yang semakin canggih pula.
Oleh itu, kualiti pendidikan dan pembelajaran bahasa Melayu untuk meningkatkan pengetahuan bahasa, kemahiran berbahasa, dan sikap positif (rasa cinta) terhadap bahasa Melayu harus diupayakan dengan bersungguh-sungguh.
Yang juga mustahak adalah peningkatan mutu pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Ini bagi pelajar asing yang belajar di negara berbahasa Melayu atau pun bagi mereka yang belajar di negara masing-masing. Semakin mudah mereka mempelajarinya, akan semakin tertarik mereka terhadap bahasa Melayu.
Kesemuanya itu akan membuka jalan yang semakin lebar bagi upaya pemercepatan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa. Sesungguhnya, masyarakat dunia tak sabar menanti bahasa Melayu, satu di antara bahasa besar dunia ini, akan dimartabatkan menjadi bahasa antarabangsa.
Oleh itu, upaya murni Ismail Sabri selayaknya mendapat sokongan positif dari semua kalangan. Sesiapa pun yang membantah akan kebaikan upaya ini bagai tak hidup di dunia nyata. Bukankah bahasa yang menunjukkan bangsa? – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. H. Abdul Malik ialah Ketua Senat Fakultas Keguruan dan Ilmu Pendidikan, Universitas Maritim Raja Ali Haji, Tanjungpinang, Indonesia.










