Kejatuhan Ringgit hanya sementara

Kejatuhan Ringgit hanya sementara

NILAI eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM2.1 bilion pada Julai 2023. - GAMBAR HIASAN,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERDASARKAN trend kedudukan Ringgit Malaysia (RM) berbanding negara-negara lain antaranya dolar Amerika Syarikat (AS), terdapat penyusutan ketara kedudukan RM sejak pertengahan April ini. Namun, dalam tempoh beberapa bulan lalu, trend menunjukkan kedudukan RM ada pasang dan surut berbanding dolar AS.

Sebagai contoh, pada awal 2022, kedudukan RM berbanding dolar AS adalah sekitar RM4.67 bagi AS$1. Namun, ketika ini berada pada paras melebihi RM4.30 bagi AS$1.

Kejatuhan RM ini juga mempunyai kaitan rapat dengan kejatuhan mata wang Yuan disebabkan China merupakan salah satu daripada rakan dagang utama Malaysia.

Walaupun sedikit sebanyak memberikan kesan kepada ekonomi negara kita, namun ia dilihat lebih bersifat sementara.

Kejatuhan RM ini tidak semestinya memberikan kesan negatif kepada semua pihak di dalam negara. Tatkala nilai RM menyusut maka sebahagian sektor ekonomi menerima manfaat dan tentunya sebahagian lain menerima tempias negatif.

Sebagai contoh, pengeksport negara akan menerima manfaat dari segi hasil eksport mereka yang lebih tinggi dalam nilai RM atau peningkatan dalam permintaan bagi barangan buatan Malaysia. Namun, kesan negatifnya amat ketara dan lebih besar impaknya kepada negara yang mana ia boleh menyebabkan berlaku kenaikan harga termasuk barangan yang diimport dari luar negara.

Negara akan mengeluarkan nilai wang yang lebih tinggi untuk membeli barangan tersebut disebabkan oleh nilai tukaran RM yang menyusut. Selain itu, ia juga berpotensi untuk melonjakkan kadar inflasi negara.

Ada beberapa faktor yang boleh diambil kira bagi meningkatkan semula prestasi RM berbanding mata wang lain di pasaran wang dan secara tidak langsung akan meningkatkan ekonomi negara.

Antara faktor yang boleh meningkatkan kembali RM adalah dengan memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi negara dengan mempertingkatkan pertumbuhan sektoral dan mereformasi struktur, mempertingkatkan inovasi serta penerimagunaan teknologi terkini, selain menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat serta pihak yang memerlukan.

Sektor dijangka berkembang dan dapat meningkatkan taraf ekonomi negara melalui teknologi, perindustrian dan pengguna. Seterusnya ia juga akan dapat menggalakkan pelabur untuk meningkatkan pelaburan dan memeriahkan pasaran mata wang dan juga saham.

Seperti kita sedia maklum bahawa pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) pada 2021 meningkat sebanyak 83 peratus (di mana RM50 bilion adalah pelaburan langsung asing) berbanding tahun sebelumnya, 2020 di mana FDI hanya RM14.6 billion.

Pertumbuhan ekonomi pada 2021 pula meningkat kepada 3.1 peratus berbanding pertumbuhan ekonomi -5.6 peratus sebelum itu. Dengan peningkatan pelaburan ini, adalah dijangkakan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang antara lima ke enam peratus pada 2022.

MOTAC

Selain itu, pengenalan Aspirasi Pelaburan Negara (APN) juga bersedia untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dalam bidang pertumbuhan baharu yang membawa kepada kesan limpahan ekonomi. Faktor lain yang boleh diambil kira adalah tadbir urus korporat. Tadbir urus yang lebih telus juga akan meningkatkan keyakinan pelabur terutama pelabur asing yakin untuk melabur di Malaysia.

Perkara lain yang tidak kurang pentingnya dalam membantu memulihkan mata wang RM adalah pembukaan sektor pelancongan secara menyeluruh kepada pelancong antarabangsa yang akan memberikan impak positif kepada mata wang dan ekonomi negara secara keseluruhannya.

Terbaharu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengunjurkan potensi kemasukan kira-kira dua juta pelancong dari luar negara ke Malaysia pada tahun ini dengan jangkaan pendapatan sebanyak RM8.6 bilion. MOTAC juga menyasarkan penjanaan pendapatan pelancongan antarabangsa antara RM47 hingga RM77 bilion pada 2025 dengan jangkaan kemasukan seramai 16 hingga 22 juta pelancong antarabangsa.

Unjuran ini juga selepas pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April lalu yang merancakkan semula sektor pelancongan yang amat terjejas disebabkan oleh Covid-19.

Selain itu, terbaharu, jumlah perdagangan negara juga mencatatkan peningkatan signifikan yang mana perdagangan bagi suku pertama 2022 berkembang sebanyak 23.6 peratus kepada RM624.86 bilion berbanding suku sama 2021, eksport meningkat 22.2 peratus kepada RM344.97 bilion dan import naik 25.2 peratus kepada RM279.89 bilion, manakala lebihan dagangan bertambah 10.9 peratus kepada RM65.08 bilion.

Aktiviti dalam pasaran mata wang RM juga dilihat kekal teguh apabila purata dagangan tukaran asing dalam pesisir harian ialah AS$12.6 bilion berbanding AS$11.3 bilion pada 2021 dengan purata turun naik 3.9 peratus (purata 2021: 4.6 peratus).

Melalui beberapa indikator positif ini maka ia sedikit sebanyak bakal memberikan kesan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berpotensi berkembang pada tahap lima ke enam peratus bagi tahun ini.

Kesan daripada peperangan Rusia dan Ukraine menyebabkan baru-baru ini Bank Dunia menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia untuk 2022 kepada 5.5 daripada 5.8 peratus sebelumnya. Namun, unjuran 5.5 peratus ini masih lebih tinggi daripada KDNK negara yang dicapai bagi 2021 iaitu 3.1 peratus.

Selain itu, berdasarkan unjuran IMF World Economic Outlook baru-baru ini, jangkaan inflasi Malaysia pada 2022 adalah sekitar tiga peratus dan ia dijangka lebih rendah daripada negara Asia Tenggara lain iaitu Indonesia (3.3%), Singapura dan Thailand (3.5%) dan Filipina (4.3%). Tambahan pula pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mengenai kadar inflasi bagi Mac 2022 yang kekal pada kadar sama dengan Februari iaitu 2.2 peratus.

Mengambil kira semua faktor ini, dapat disimpulkan bahawa kedudukan RM yang jatuh ketika ini dijangka bersifat sementara dan berpotensi untuk kembali kukuh pada suku tahun ketiga 2022 dan seterusnya dapat kembali bersaing dengan mata wang lain.

Hal ini disebabkan oleh negara kita baharu sahaja membuka semula sempadan negara pada 1 April lalu dan perlu mengambil sedikit masa untuk menerima impak positif dan akhirnya tentu sekali bakal memberikan kesan positif kepada RM.

Kesan positif yang diharapkan ini juga banyak bergantung kepada selama mana berlakunya ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan global yang diharapkan dapat berakhir dengan kadar segera. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed dan Profesor Madya Dr. Nazrul Hisyam Ab. Razak ialah Pensyarah Kanan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×