Dakwat di tangan PM

Dakwat di tangan PM

KUASA menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membubarkan Parlimen bagi diadakan PRU15 kini berada di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) setelah mendapat persetujuan barisan jemaah Kabinetnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN)Johor memperlihatkan kembalinya sokongan pengundi putih UMNO kepada Barisan Nasional (BN) sehingga membawa kemenangan tidak terjangka lebih majoriti dua pertiga. Isyarat jelas ini adalah terjemahan manifestasi rakyat yang mengundi mengikut kecenderungan dan harapan mereka terhadap parti yang memimpin dan membentuk kerajaan.

Selepas tumbangnya BN pada 9 Mei 2018, rakyat ditadbir oleh tiga kerajaan berbeza iaitu Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) 1.0 dan PN 2.0. Rakyat mengalami sendiri pengalaman ditadbir urus tiga kerajaan berbeza.

Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memperlihat pelbagai trend di pilihan raya kecil (PRK) dan terkini adalah tiga PRN iaitu di Sarawak, Melaka dan Johor. Suka tidak suka dan mahu tidak mahu, rakyat sudah memilih. Keputusan ketiga-tiga PRN ini sangat menarik untuk ditakrifkan memandangkan gaya rakyat memilih sudah jauh berbeza dari terdahulu.

Setiap parti sudah pastinya membuat analisis terperinci daripada keputusan yang diperoleh dan keyakinan rakyat sudah mula berubah kepada tiga segmen. Pertama, segmen pengundi tegar parti. Kedua, pengundi atas pagar dan ketiga, pengundi muda seawal 18 tahun. Pengundi tegar parti telah mula kembali memilih untuk menyokong dan memilih parti masing-masing demi kelangsungan kemenangan parti yang bertanding.

Pengundi atas pagar pula kini bukan lagi terhasut dengan sentimen ataupun kebanjiran isu semasa di media sosial. Tetapi mereka kini lebih cenderung untuk memilih berdasarkan calon yang diketengahkan untuk mewakili mereka. Segmen pengundi muda pula mengundi berdasarkan ikutan rakan sebaya, trending media sosial dan kuasa viraliti di semua platform.

Kehangatan kini semakin terasa. Desakan ini semakin hari semakin terasa bahangnya. Namun, kita perlu memahami ekosistem menyeluruh bagaimana PRU dapat dipanggil dan siapa pemegang taruh utamanya.

Desakan rakyat, parti politik pemerintah, Kabinet, Perdana Menteri (PM) dan terakhirnya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Ini adalah ekosistem lengkap bagaimana sesebuah PRU itu dapat dijalankan. Persoalannya, adakah kesemua peringkat yang disebutkan bersedia?

Rakyat sudah memukul gendang mahukan pilihan raya bagi memilih sebuah kerajaan yang stabil. UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi sebahagian kerajaan juga telah membuat ketetapan untuk mendesak agar pembubaran Parlimen dibuat. Namun, adakah PM dan Kabinet sebulat suara bersetuju?

Seperti mana kita melihat keterbukaan dan kesediaan Sultan Johor juga memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, apakah juga Seri Paduka memperkenan, seterusnya menterjemahkan hasrat rakyat?

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini kuat kedengaran daripada ahli akar umbi yang mahukan UMNO menarik balik sokongan dan memberikan jalan untuk membolehkan PRU. Namun, benarkah juga terdapat gerakan terutamanya dari kem PM tidak mahu atau mahu melengahkan penterjemahan ahli akar umbi UMNO itu sendiri?

Episod seterusnya adalah rakyat benar-benar menanti apa tindakan selanjutnya yang UMNO akan ambil sekiranya PM dan jemaah Kabinet tidak bersetuju untuk mengadakan PRU. Khabarnya memang usaha sedang giat dijalankan untuk melanjutkan pentadbiran kerajaan yang ada sekarang hingga tamat tempoh.

PAGOH

Kerajaan pimpinan PM hari ini sangat kuat dibayangi kekuatan Yang Berhormat Pagoh. Mengapa dan apakah yang telah termeterai di antara mereka berdua, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui.

Tindakan tegas Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak cadangan Pagoh untuk dijalinkan kerjasama, sekali gus untuk mengangkat Pagoh sekali lagi sebagai PM ke-10 bolehlah dianggap satu tindakan yang baik. Sudah ditikam dan mahu sekali lagi diberi keris?

Mata juga tertumpu hari ini kepada Menteri Kewangan yang seakan-akan tidak mendengar denyut nadi kesusahan rakyat, malah pengeluaran RM10,000 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja itu bolehlah dianggap kemenangan kepada perjuangan UMNO yang sangat konsisten dari awal lagi.

Andai ada perbincangan awal untuk mewujudkan khemah lebih besar antara PN dan BN sekalipun, pasti ramai ahli UMNO akan memboikot dan hanya senyap pada saat dan ketikanya PRU15 nanti.

Berita penghijrahan pulang beramai-ramai ‘katak’ ke pangkuan UMNO sekarang bertiup sangat kencang. Dan kerana itu juga sahutan YB Pengerang untuk membawa usul reformasi politik yang tidak benarkan ahli Parlimen yang dipilih melompat.

Dakwat ada di tangan PM untuk dinoktahkan pembubaran kerana segala fakta dan nombor haruslah meyakinkan beliau untuk diluluskan Kabinet dan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam hierarki politik hari ini, tidak kira sama ada dari UMNO mahupun pembangkang, kepimpinan negara secara lazimnya akan diperakukan melalui parti dan dicadangkan untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka. Namun, keputusan PRN Johor baru-baru ini menyebabkan situasi berubah dan berkemungkinan besar boleh juga berlaku di Pusat. Bagaimanapun, biarlah esok kelak kita menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk memilih yang terbaik dalam kalangan terbaik demi Malaysia.

Dr. Mahathir dan Pagoh sudah boleh berhenti bermain catur dan berilah seluas-luasnya kepada generasi baharu untuk mencorakkan politik Malaysia melalui parti-parti yang mereka sertai.

Tamparan paling hebat adalah berlakunya perebutan di antara Dr. Mahathir dan Pagoh untuk siapa yang lebih layak bergelar panglima perang untuk menghadapi PRU15.

UMNO juga tidak kurang hebatnya. Siapakah yang paling layak untuk dipasarkan sebagai pertaruhan poster boy untuk menambat hati rakyat? Cukuplah order lain, barang sampai lain seperti mana di Johor. Ia akan menyebabkan rakyat rasa tertipu jika berterusan modus operandinya sebegitu rupa.

Sepatutnya semua telah pun bersedia kerana Mei ini cukup empat tahun berlalunya PRU14. Empat tahun yang menyaksikan ketidaktentuan politik yang menjejaskan ekonomi negara.

Sekali lagi ditegaskan, gelora PRU15 ini adalah tersengit dalam sejarah politik negara. Percaturan dari dalam rumahtangga UMNO sehingga membawa kepada cabaran PM dan barisan jemaah Kabinet sehinggalah meyakinkan Yang di-Pertuan Agong akan peri pentingnya memulangkan semula hak memilih kerajaan ini kepada rakyat.

Kuasa menasihati Seri Paduka kini berada di tangan PM setelah mendapat persetujuan barisan jemaah Kabinetnya. Andai benar-benar PM meletakkan kepercayaan rakyat dan partinya melebihi segala kepentingan peribadi, saya yakin jalan itu adalah yang terbaik apatah lagi PM pastinya akan bertanding dalam PAU yang dijadualkan tahun ini juga.

Saya yakin, percaturan dan pertaruhan PM tidak akan tersalah langkah dan strategi. Dakwat pena di tangan PM. Fikirkanlah semasak-masaknya. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN