Saksama Bersama rapat jurang gender

Saksama Bersama rapat jurang gender

RINA HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

SAMBUTAN Hari Wanita untuk tahun ini cukup bermakna dan bererti bagi Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, DATUK SERI RINA HARUN.

Selama dua tahun berturut-turut, Hari Wanita disambut secara dalam talian di mana banyak acara dan program terpaksa ditangguhkan disebabkan pandemik Covid-19.

Kali ini bertemakan Saksama Bersama, ia disambut penuh meriah secara fizikal tetapi terkawal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula kelmarin sehingga hari ini.

Dalam sesi soal jawab dengan pihak media, Rina melahirkan keyakinan bahawa sambutan pada tahun ini menjadi pemangkin ke arah usaha mengemilangkan dan memartabatkan lagi pemerkasaan wanita yang menjadi salah satu misi penting kementeriannya.

Berikut huraian lanjut beliau.

Boleh Datuk Seri jelas lebih lanjut tema sambutan kali ini?
Rina: Tema Saksama Bersama dipilih untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh masyarakat tentang ketaksamaan terhadap wanita seterusnya menggalakkan segenap lapisan memainkan peranan dalam merapatkan jurang ketaksamaan tersebut.

Perkataan saksama sinonim dengan adil, bermaksud meletakkan sesuatu pada haknya. Bersama pula merujuk kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang memberi tumpuan kepada penstrukturan semula ekonomi, merapatkan jurang besar antara golongan kaya dan sangat miskin.

Berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020, pencapaian wanita telah melebihi lelaki dalam sub-indeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.059. Sub-indeks Kesihatan dan Kehidupan mencatatkan skor 0.956, diikuti sub-indeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi (skor 0.738).

Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah iaitu 55.3 peratus pada 2020 jika dibandingkan negara Asia Tenggara lain seperti Singapura (69.7%) dan Thailand (66.8%). Secara amnya, KPTB wanita bagi negara membangun melebihi 60 peratus.

Penguasaan politik mencatat skor terendah iaitu 0.1 yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan ahli Parlimen.

Apa usaha Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memperkasa golongan wanita?
Wanita membentuk 48.5 peratus daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia. Melihatkan kepada laporan-laporan berkaitan jurang gender dalam negara dan perbandingan dengan negara-negara luar, banyak lagi perlu kita perjuangkan. Sebagai contoh, skor keseluruhan di bawah Global Gender Gap Index yang dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2020, didapati Malaysia berada di tangga ke-104 daripada 153 negara dan di tangga kesembilan dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Sepanjang 2021, sebanyak 1,906 program khusus untuk wanita melibatkan 856,323 orang dilaksanakan. Antaranya Pusat Aktiviti Wanita (PAW), Klinik Undang-Undang, E-Rezeki, Young Women Bootcamp, Skuad Waja (EVAW), Wanita dan Kepimpinan serta Klinik De Stress.

Selain itu, program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad dan program TemanNita dengan kerjasama Tekun Nasional. Program ini menawarkan inisiatif bimbingan, latihan dan peluang pembiayaan perniagaan kepada wanita.

Bagaimana untuk tahun ini?
Kementerian akan memperjuangkan agenda untuk mengangkat lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan. Dalam hal ini, kementerian menggunakan strategi men as allies.

Walaupun statistik wanita sebagai pembuat keputusan di sektor awam melebihi sasaran 30 peratus dengan angka 37.3 peratus pada 2020 tetapi ia tidak harus terhenti di situ.

Di sektor swasta pula menunjukkan hanya 17.2 peratus wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan perkara ini perlu diberikan perhatian.

Seruan untuk memastikan peningkatan wanita sebagai pembuat keputusan ini bukanlah sebagai halwa mata yang melihat kepada peningkatan angka. Tetapi beberapa kajian membuktikan penyertaan wanita boleh menyumbang kepada tadbir urus organisasi yang lebih baik. Paling penting, wanita boleh menyuntik diversiti dalam proses membuat keputusan bagi memastikan keperluan wanita di lapangan diambil kira.

Kementerian juga akan terus meningkatkan bilangan wanita berkerjaya termasuklah dengan menerapkan kepentingan shared responsibility antara pasangan suami isteri. Kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh adalah 55.6 peratus berbanding 80.8 peratus lelaki. Fakta ini wajar kita berikan perhatian bila mana ia tidak selari dengan enrolmen kasar wanita dalam semua peringkat pendidikan sama ada rendah, menengah dan tertiari yang lebih tinggi berbanding lelaki tetapi angka ini menurun dalam kadar penyertaan pasaran buruh.

Dalam hal ini, peranan semua pihak sama ada di sektor awam dan sektor swasta amat diperlukan termasuklah memastikan kemudahan di tempat kerja yang menyokong motherhood kerana kajian menunjukkan rata-rata wanita tidak terlibat dalam sektor pekerjaan selepas bersalin kerana memberikan tumpuan kepada penjagaan anak.

Tidak kurang juga yang mendedikasikan waktunya menjaga ahli keluarga yang sakit dan berusia.

Apa perkembangan Skuad Waja (EVAW)?
Skuad Waja merupakan inisiatif KPWKM untuk melindungi golongan yang sering menjadi mangsa keganasan terutama wanita. Semua ahli dibimbing melalui Modul Skuad Waja yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dengan kerjasama Institusi Sosial Malaysia (ISM). Sehingga 3 Februari lalu, seramai 123,721 orang mendaftar sebagai ahli Skuad Waja terdiri daripada 12,360 lelaki manakala 111,361 wanita.

Bagaimana impak program Wanita Bangkit?
WanitaBangkit@KPWKM membantu golongan wanita menjana pendapatan bagi memperkukuhkan sistem sokongan terutama dalam bidang ekonomi, menghubungkan wanita dengan peluang pekerjaan yang ada (sektor formal) dan mendedahkan serta menghubungkan wanita kepada peluang perniagaan dan keusahawanan (sektor informal).

Program ini menyasarkan 2,000 wanita dapat menjana pendapatan melalui peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi tempoh 100 hari bermula 1 September 2021 sehingga 31 Disember 2021. Seramai 5,135 wanita berjaya dibantu di mana 4,541 orang mendapat peluang menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan/keusahawanan manakala 594 orang ditawarkan pekerjaan.

Apa harapan Datuk Seri dalam perjuangan memperkasakan wanita?
Harapan saya sangat menggunung untuk melahirkan lebih ramai kepemimpinan wanita dalam politik dan pelbagai peringkat lain khususnya sektor korporat dalam proses membuat keputusan. Inilah masanya, waktunya, proses pemerkasaan wanita diberikan perhatian mendalam.

Kita juga ingin melihat lebih ramai wanita mampu berdikari dari segi kewangan tanpa mengharapkan bantuan berterusan daripada kerajaan setelah sudah bersedia untuk mara ke depan. Selain itu, saya juga ingin mengajak semua lelaki untuk sama-sama berganding bahu dalam menyokong pemerkasaan wanita kerana di antara mereka inilah juga ibu, isteri, anak, kakak anda. Wanita juga ada hati, perasaan. Kita hargailah peranan, pengorbanan dan perjuangan mereka.

Selamat Hari Wanita 2022. Saksama Bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN