‘Khemah besar’ langgar BN - Utusan Malaysia

‘Khemah besar’ langgar BN

AHMAD Zahid Hamidi berucap pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 28 Mac 2021.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUKA saya petik ungkapan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad tempoh hari:

“Sehari pun jangan dipersia,” merujuk betapa ruginya rakyat jika masih menunggu dari hari ke hari tarikh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sehingga mandat Pusat mentadbir berakhir 16 Julai tahun depan.

Dan kata-kata Hasni terbukti. Barisan Nasional (BN) menang lebih majoriti dua pertiga, 38 kerusi menjangkau ke 40 kerusi 12 Mac lalu.

Ketika ekonomi negara masih terawang-awang, majoriti menahan tiang kerajaan masih sipi-sipi bergantung satu dua kerusi serta pakatan pembangkang terus ketandusan isu dan sangat lemah, bukankah ini masa terbaik dilangsungkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)?

Adakah Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lum­pur tempat bersidang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 sepanjang empat hari ini akan gegak-gempita dengan gesaan dipercepatkan PRU?

Perlukah ditunggu sampai tamat tarikh matang memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kerajaan-pembangkang pada 31 Julai, baru dilangsungkan PRU? Lebih lama lagi pula mahu nantikan mandat penggal pentadbiran Pusat berakhir 16 Julai 2023?

Kalau ikut taktikal perang, ketika inilah gerak gempurnya parti yang sudah mencatat hatrik ke atas pembangkang khusus dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) – Melaka, Sarawak dan Johor.

Ketika tarikh PRU15 dipercayai menjadi agenda utama PAU selain kerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) akan dirungkai status quonya, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) difahamkan sedang berkira-kira untung nasib dan survival masing-masing.

Khabarnya, satu ‘khemah besar’ bakal didirikan bersama oleh dua gabungan politik musuh ketat ini – PH dan PN – untuk berdepan BN dalam PRU kelak.

Tapi andai kata PN dikepalai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai PH, mahukah Pas buat perkara sama?

Kelak wal hasil balik asal pula kembali berkawan dengan DAP macam dulu-dulu. Jika benar Bersatu memilih ‘jalan itu’, ke mana pula hala Pas selepas ini? Mahu bersama UMNO semula? Mengarut.

Yang hairannya dalam PRN Johor khususnya, kenapa semua parti mahu menghapuskan UMNO? Semua parti marah, menyerang UMNO.

Bukankah Presiden Pas sendiri, Tan Sri Abdul Hadi Awang melabelkan UMNO umpama ‘itik patah kaki’. Kalau UMNO sudah lemah, mengapa mahu diserang pula?

Tika Pas menyerang UMNO, tragisnya pula pemimpin kanan mereka iaitu Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali keluar meninggalkan parti.

Kata Khairuddin punca beliau berbuat demikian: “Budaya politik matang sejahtera (BPMS) yang menjadi dasar Pas selama ini sudah dibuang jauh ke dalam Laut China Selatan.

“Budaya penafian dan menyapu sampah ke bawah karpet jika terus dibiarkan akan membunuh parti satu hari nanti.”

LETAK JAWATAN

Difahamkan, ada beberapa lagi ahli Parlimen akan ikut jejak Khairuddin dan usaha memujuk mereka jangan meneruskan sedang berlaku.

Pas sedang dalam tekanan supaya Abdul Hadi berundur selepas kalah teruk di Melaka dan Johor termasuk gagal bertapak di Bumi Kenyalang.

Dan ketika Pas mengatakan orang UMNO gila kuasa, hairannya dalam tempoh presidennya berkuasa, sudah tiga kali rupanya presiden UMNO bertukar.

Dari Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kepada Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak), dan dari Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) kepada Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) yang bertindak sebagai pemangku presiden.

Malah, rakan sekutu Abdul Hadi iaitu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya menawarkan diri meletak jawatan setelah kalah teruk di Johor.

Sedangkan Najib selepas BN tumbang dalam PRU14 tidak tawar diri, tetapi terus letak jawatan. Siapa sebenarnya gila kuasa?

Jadi, apa pasal Muhyiddin tanya orang lain ‘saya bersedia pada bila-bila masa (melepaskan jawatan) kalau ahli parti fikirkan begitu’? Kalau betul-betul berintegriti, letak je la jawatan sebagai Presiden Bersatu.

Lebih 5,000 perwakilan UMNO yang akan dan sedang bersidang di Kuala Lumpur waktu ini perlu diperingatkan akan dua keputusan penting yang perlu dibuat semasa penutup PAU lusa. Iaitu:

 PRU15 perlu diadakan sebelum atau selepas pemilihan parti?

 Memutus atau meneruskan kerjasama dengan Pas (setelah apa yang berlaku di PRN Sabah, Melaka dan Johor).

Hasil daripada mesyuarat persidangan 191 bahagian UMNO di seluruh negara, beberapa bulan lepas, antaranya kemukakan usul-usul berikut:

 Memohon PRU15 diadakan sebelum pemilihan parti = 42% bahagian.

 Menyerahkan kepada Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) menentukan tarikh PRU15 = 44% bahagian.

 Memohon pemilihan parti sebelum PRU15 = 3.26% bahagian.

Hanya enam bahagian sahaja tidak senada – berkehendakkan PRU15 selepas pemilihan parti.

Data tadi rasmi, sekali gus menjadi pemangkin untuk para perwakilan UMNO membuat keputusan semasa PAU nanti. Ayuh, gendang perang PRU15 telah bermula. – UTUSAN

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN