MUKADIMAH
NAMA DATUK SERI RAJA NONG CHIK RAJA ZAINAL ABIDIN bukan asing bagi warga kota. Beliau suatu ketika menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar serta turut bergiat aktif dalam politik sebagai Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai.
Setelah dua kali kalah bertanding merebut kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 2013 dan 2018, akauntan bertauliah yang juga bapa saudara kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memutuskan untuk tidak memegang apa-apa jawatan dalam politik.
Dalam bual santai dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL malam kelmarin di ibu negara, beliau yang kini berusia 69 tahun ada pesanan kepada ketua-ketua UMNO bahagian yang seangkatan dengannya. Nong Chik turut bercakap tentang cabaran UMNO di Lembah Pantai termasuk kekuatan saingannya, PKR.
UTUSAN: Kenapa memilih untuk tidak lagi bergiat di peringkat UMNO Bahagian Lembah Pantai?
RAJA NONG CHIK: Jika ketua bahagian tidak bagi laluan, susah orang lain hendak naik. Sebab sistem itu, dengan kuasa pelantikan dan kemudahan lain, maka kekal orang lama. Saya fikir-fikir, saya tahun ini sudah umur 69 tahun dan pilihan raya sebelum ini sudah tidak berjaya, jadi bagi orang lain. Dari belakang saya sokong, khususnya dari segi program-program kebajikan sebab ramai saya kenal.
Saya kira-kira dekat 40 tahun di Lembah Pantai. Dulu Lembah Pantai besar, termasuk tempat saya duduk di Taman Tun (Dr. Ismail) Kuala Lumpur. Jadi itulah fikir-fikir, lama juga saya terlibat kerana saya mula 1984.
Tetapi saya hubungan ada lagi. Seperti malam inilah, saya dapat (hadir) program kuliah sempena kedatangan Ramadan yang dianjurkan oleh penduduk dengan UMNO di Masjid Abdullah Hukum.
UMNO masih ada ketua-ketua bahagian lama?
Ya, kawan-kawan saya, tengok ada lagi. Pilihan raya pun ada (yang) sudah kalah dan tiada peranan dalam UMNO tetapi hendak pegang jawatan lagi. Saya tengok ada lagi walaupun diberi peluang berkali-kali bertanding selepas itu. Bila masa sampai (bersara) mereka tidak mahu give up (mengalah) walaupun sudah berumur dan banyak penggal (bertanding atau memegang jawatan).
Sepatutnya bagi laluan kepada orang yang dilatih. Struktur dalam UMNO, dia ada timbalan, ketua wanita, ketua pemuda, jadi hendak pilih pengganti tiada masalah. Jadi, memang memberi ruang orang muda tiada masalah.
Kita bernasib baik (menang) pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor sebab pembangkang lemah. Jika mereka bersatu padu sudah tentu tak dapat balik kuasa.
Apa nasihat kepada ketua-ketua bahagian?
Bagi saya sendiri, kena bagi contoh sikit walaupun berada di peringkat presiden dan di peringkat saya sendiri di Lembah Pantai. Kena ubah cara berpolitik iaitu (untuk memberi) perkhidmatan dan bukan sebab hendak jawatan dan duit.
UMNO sebagai parti Melayu paling kukuh. Kalau kita tidak memainkan peranan untuk ubah cara berpolitik, ia akan membuatkan orang Melayu sengsara. Jika berlaku politik wang sebagai satu cara hendak mempertahankan jawatan, itu tidak kena caranya. Jangan fikir duit dan fikir jawatan, lebih daripada memperjuang soal rakyat.
Perlukah diberi ruang kepada orang muda?
Pada saya perlu. Sebab kena bagi (kepada) orang muda berkelayakan. Kalau tidak diberi pendedahan, ia tidak akan didedahkan maka tiada pengalaman dari segi kepimpinan dan pentadbiran selepas dilantik. Macam di Johor apa jadi? Orang muda dilantik sebagai Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi).
Namun kasihan pada Hasni (Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad), dia satu-satunya pemimpin UMNO yang baik, tetapi dia tiada rezeki.
Bagaimanakah cara untuk meningkatkan kekuatan UMNO?
UMNO perlu ubah naratif politik. Kita (kena) bimbing pemimpin muda agar perangai (tidak) lebih teruk daripada tua. Ubah cara berpolitik. Macam saya, walaupun tiada jawatan dalam UMNO Bahagian Lembah Pantai, tetapi masih memberi bimbingan. Sebab itu saya turun beri pandangan dengan harapan dapat membimbing. Tidak boleh nafi ada orang cari projek sebab nak cari rezeki, tetapi biarlah berpada.
LEMBAH PANTAI KEMBALI KE UMNO
MUNGKINKAH Parlimen Lembah Pantai boleh kembali ke pangkuan UMNO?
Ini memang tempat UMNO. Namun tertakluk pada calon. Walaupun kita nampak pembangkang berpecah, tetapi di sini kawasan bandar dan kawasan kerusi panas dari dahulu. Kita kena ada calon setanding, muda dan ada pelajaran, sebab mewakili penduduk bandar.
6O peratus pengundi Melayu, 25 peratus Cina, 15 peratus India dan lain-lain. Ada yang berpendapatan yang tinggi misalnya di Bangsar dan Pantai Hillpark. Ada berpendapatan rendah di Pantai Dalam dan Sentosa ada bercampur. Kalau calon tidak dipilih dalam kalangan mempunyai kelayakan sama dengan Fahmi (Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dari PKR), maka susah juga.
Walaupun kata mereka berpecah, bila pilihan raya nanti bertembung isu nasional dan soal tempatan, ini akan menjadi penentu kepada pengundi. Pengundi di Lembah Pantai ada pendapatan tinggi dan berpelajaran, tetapi ada juga miskin. Jadi kena tumpu kepada calon.
Bagi UMNO, kita mungkin pertahan (undi) pengundi Melayu. Kalau PN (Perikatan Nasional) bertanding mungkin ada perpecahan. Jika PN tidak bertanding pun, tidak boleh terlalu yakin jika tiada calon muda dan berkelayakan.
Fahmi saya nampak dia lagi rajin daripada Nurul Izzah Anwar (bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai). Nurul Izzah (menang) atas nama bapa dia. Itu cabaran dan kena ada calon muda dari UMNO yang setanding Fahmi. – UTUSAN