Vaksinasi: Kejayaan, cabaran

Vaksinasi: Kejayaan, cabaran

MALAYSIA adalah antara negara yang dapat memberikan vaksin dalam masa cepat dan capaian menyeluruh.–- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA puas hati sekali dengan kejayaan kerajaan mengawal pandemik Covid-19 yang menjurus kepada kestabilan negara dan dalam masa sama merancang pelan jangka sederhana dan jangka panjang khususnya supaya kita beralih kepada fasa endemik dengan cepat dan selamat.

Dan penting bagi kita untuk kekal yakin dengan kemampuan kerajaan sedia ada dan dalam masa sama kita memberikan sumbangan. Sumbangan kita sebagai rakyat ini apa yang kita perlu buat ialah patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).

Dari sudut kesihatan, perkara paling saya berpuas hati dilakukan oleh kerajaan ialah ketelusan dalam bentuk perkongsian data Covid-19 berbanding amalan kerajaan sebelum ini yang hanya mengumumkan data dalam sidang akhbar dan sebagainya. Kita dapat lihat sekarang, data terperinci seperti kes harian, bilangan kematian, kadar vaksinasi negara mengikut peringkat umur, status vaksin pesakit yang mendapat Covid-19 termasuk di sekolah dalam kalangan murid dan guru boleh kita puji.

Sebenarnya perkongsian data ini adalah satu perkara amat penting bagi semua untuk membuat rancangan dan persiapan awal. Ini bukan sahaja penting di peringkat pembuat dasar, pemerintah dan sebagainya tetapi dalam kalangan orang-orang biasa juga.

Kalau kita tengok dalam kalangan pemandu bas sekolah misalnya, mereka tentunya inginkan sesi persekolahan dibuka dengan selamat. Jadi, kita kena tengok data berkenaan dengan peringkat umur dan sebagainya, sekolah menengah ataupun sekolah kebangsaan.

Antara cabaran besar dihadapi kerajaan ialah pelaksanaan program imunisasi bagi remaja kerana keperluan untuk meyakinkan ibu bapa berikutan anak-anak di bawah 18 tahun tidak boleh memberikan kebenaran sendiri. Jadi, ibu bapalah yang menentukan perkara ini.

Jadi, kesinambungan daripada program-program imunisasi yang kita mulakan sejak Februari 2021 berjaya menutup tirai mass vaccination dengan kejayaan besar.

Sekarang ini kita masih ada vaksinasi tetapi kebanyakannya dibuat untuk booster (penggalak).

Justeru, Malaysia adalah antara negara yang dikatakan dapat memberikan vaksin dalam masa cepat dan capaian menyeluruh termasuk di kawasan-kawasan pedalaman yang hampir tidak dapat ditembusi oleh jalan darat, dihubungkan dengan jalan sungai ataupun udara. Ada lokasi mencapai 5,000 vaksinasi sehari, contohnya di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), malah di tempat saya sendiri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kita berjaya mencatatkan rekod 3,000 vaksinasi sehari.

BAGUS

Salah satu lagi langkah penting walaupun tidak popular oleh kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 pada 18 Oktober 2021 adalah mewajibkan pegawai dalam perkhidmatan awam mendapatkan vaksin lengkap. Malah, mana-mana pegawai dalam perkhidmatan awam yang gagal mendapatkan vaksin lengkap boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja. Ini adalah langkah baik yang perlu dijalankan supaya kita dapat beralih ke fasa endemik dengan segera.

Pada masa sama, langkah ini menjamin perkhidmatan awam dapat beroperasi dengan bagus tanpa gangguan kerana kalau kena jangkitan misalnya, dia boleh merebak kepada orang lain dan orang yang sama ada kalau tidak terkena jangkitan pun terpaksa dikuarantin. Jadi, makin ramai yang terkena jangkitan maka makin ramai terpaksa dikuarantin. Ini pada akhirnya boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan itu sendiri.

Kita lihat langkah sama juga diambil oleh sektor swasta seperti syarikat-syarikat minyak, perkapalan dan sebagainya, malah banyak premis sebenarnya mewajibkan pekerja mereka mendapatkan vaksin. Jika tidak, mereka juga boleh dibuang kerja.

Pada masa sama, kita tengok pengunjung-pengunjung pusat beli-belah, premis-premis kerajaan, swasta, kedai makan dan sebagainya mewajibkan mereka yang lengkap divaksinasi sahaja boleh berada di dalamnya.

Setelah diuji dengan pandemik yang sangat menggetirkan, di mana ia sedikit reda walaupun mutakhir ini kadar jangkitan meningkat kembali oleh varian Omicron tetapi ada pengumuman baharu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ia adalah pelancaran Pelan Halatuju Pembangunan Vaksin serta Institut Genome dan Vaksin Malaysia pada 1 Oktober 2021 untuk meningkatkan keupayaan dalam sektor kesihatan khususnya dalam penghasilan vaksin untuk memastikan negara kita sentiasa bersiap siaga.

Langkah ini amat bertepatan untuk menjamin bekalan vaksin yang mencukupi dengan menjadi negara pengeluar. Bukan sahaja kita terlibat secara langsung dalam penyelidikan pembangunan vaksin bahkan kita menyediakan satu pelan perlindungan dalaman untuk negara ini.

Jika berlaku lagi pandemik ini atau pandemik lain pada masa hadapan, kita akan lebih bersedia untuk menghadapinya tanpa perlu bergantung kepada teknologi luar dan negara luar di mana sebelum ini banyak masalah kita terpaksa hadapi untuk mendapatkan vaksin. Kalau kita tengok sebelum ini, vaksin datang agak lewat jika dibandingkan negara-negara pengeluar vaksin kerana mereka memberikan keutamaan kepada negara mereka sendiri dan negara lebih kaya yang membayar nilai lebih tinggi.

Dengan penghasilan vaksin sendiri, dapat memastikan kita mampu menyediakan satu perlindungan khusus untuk negara dan pada masa sama menyumbang dari segi pencegahan penyakit di peringkat antarabangsa.

Mutakhir ini kadar jangkitan meningkat kembali oleh varian Omicron tetapi kebanyakannya kes tidak serius. Contohnya, daripada 25,099 kes harian yang dilaporkan pada 21 Februari, hanya 100 kes (0.4 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 (serius) manakala 24,999 kes (99.6 peratus) lagi kategori 1 dan 2 (tidak serius).

Cabaran kerajaan seterusnya adalah meningkatkan pemberian dos penggalak kerana mereka yang menerimanya adalah paling terlindung. Sehingga 21 Februari lalu, sebanyak 14,078,456 dos penggalak diberikan kepada individu dewasa yang layak (59.8 peratus). Adalah diyakini usaha berterusan kerajaan dalam hal ini dan kerjasama semua golongan rakyat akan membuahkan hasil. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani ialah Pakar Kesihatan Awam di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya