UMNO usah tunduk sandiwara Pas - Utusan Malaysia

UMNO usah tunduk sandiwara Pas

SAMPAI bila Pas mahu main dua kolam untuk terus mengukuhkan MN dan memperkasa PN sebagai agenda utama parti? – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEAKAN nampak ‘kecewa berbaur amarah’ bila mana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang asyik menyebut ‘itik yang patah kaki’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tempoh hari.

Tetapi siapa sebenarnya yang sanggup tikam belakang terlebih dahulu? Bukankah semasa Pas duduk molek-molek bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) pada awalnya, secara tiba-tiba Pas berubah 360 darjah. Ketika MN mula bertatih, kemudian bangkit untuk memecut menerusi kejayaan yang dicapai berdikit-dikit dalam pilihan raya kecil, Pas cabut lari pula tinggalkan UMNO terkial-kial berseorangan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020 nampak benar ‘tembelang’ Pas yang tidak mahu lagi bersama UMNO. Apa lagi cabut larilah bila sudah masuk dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan ditawarkan jawatan macam-macam. Walaupun dinafikan hak untuk calon Pas bertanding di Sabah, kepimpinan Pas macam ‘buat tak kisah.’ Ada, ada, tiada, tiada, biarpun sudah menjadi rahsia umum Pas menoleh kembali kepada UMNO untuk menagih kerusi, tapi sayangnya nasi sudah jadi bubur.

Konon pendirian Pas yang dikeluarkan Abdul Hadi itu akan terus mengukuhkan MN dan memperkasa PN sebagai agenda utama parti, tapi sampai bila Pas mahu terus main dua kolam?

Tindak tanduk Pas sedemikian rupa di ambang PRN Johor memperlihatkan suasana rapuh hubungan dan talian mereka di dalam PN. Dalam situasi sebeginilah telah membuka sisi Pas sebenar yang kelihatan sebuah parti oportunis, tidak berpendirian dan diperlihat sebuah parti yang hanya mahu meraih keuntungan.

Kerana itu UMNO Johor usah tunduk dan terpedaya dengan permainan Pas ketika ini. Kelak boleh membawa rebah jika termakan dengan permainan halus Pas di Johor.
Datuk Ir. Hasni Mohammad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor harus bijak menilai dan mengelakkan daripada terperangkap dengan permainan licik Pas ini. Apakah Hasni masih tidak nampak dan tidak sedar lagi perangkap yang bakal menjerat?

Kali ini bukan lagi masa untuk berunding. Masa menguji kesetiaan dan ukhuwah telah tamat kerana Pas terang-terang gagal dalam mengurus sebuah pertalian yang terbina daripada air mata ahli parti iaitu MN.

Namun, kerana rakus ‘memunggah’ kuasa dan dikuasai dengan beberapa penasihat bertaraf profesional, Pas hari ini dilihat sebuah parti yang terdesak untuk meraih laba keuntungan.

MUSLIHAT

Malah, dilihat hari ini DAP mahupun PKR pula lebih berprinsip dan tidak teragak-agak dalam membuat sebarang ketetapan dan pendirian walaupun mereka telah kalah dalam beberapa siri pilihan raya.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga kini diambang kehancuran. Ia disebabkan oleh sikap pemimpin mereka sendiri. Tidak setia, penuh muslihat dan menikam persahabatan yang terjalin.

Kepada Hasni, ini bukan masanya untuk menambat hati musuh. Ini bukan masa untuk menjual popularitinya sendiri. Ini adalah masa untuk melihat kematangan Hasni mengemudi jentera perang di lapangan sebagai penyelaras PRN Johor di sisi Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengarah PRN negeri. Askar-askar parti akan melihat tindak tanduk Hasni nanti selaku sifatnya akan berjuang di medan paling hadapan.

Usah Hasni gentar. Ramai akan bersama UMNO Johor dalam memperjuang kemenangan calon-calon BN dalam PRN nanti sehingga benteng terakhir.

Pada masa sama, UMNO perlu perkuatkan jentera parti. Saf perjuangan mesti bergerak sederap. Benar kata Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN, jentera parti itu jangan pandang enteng PRN kali ini.

“Saya dan rakan-rakan akan berbincang strategi dan taktikal. Seperti saya sebut, PRN Johor ini penting dan tak semudah disangka,” katanya selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA, kelmarin.

Dan kepada pimpinan tertinggi yang terpalit dengan kes mahkamah atau ada dalam kalangan anggota keluarga rapat seperti anak atau menantu yang terpalit dengan isu, anda perlu direhatkan atau bercuti.

Ini semata-mata agar parti tidak terpalit atau menanggung liabiliti atas masalah peribadi atau keluarga mereka. Parti can’t effort dengan liabiliti seumpama itu.

Utamakanlah parti daripada kepentingan ego sendiri.

 

Jangan kita cuba bersembunyi di sebalik wajah yang ‘tenang’, seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Padahal hari ini maklumat di hujung jari sahaja.
Jangan lagi kita cuba meremehkan rakyat khususnya golongan muda yang akan menjadi penentu kedudukan undi dalam PRU15.

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN