MUKADIMAH
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan pertembungan sengit kalangan parti-parti senior mahupun yang baharu muncul. Pelaksanaan Undi18 yang julung kali pula mencetuskan dimensi terkini yang memerlukan corak pendekatan berbeza untuk menarik sokongan pengundi baharu.
Barisan Nasional (BN) tidak terkecuali menempuh cabaran getir ini. Itu antara faktor parti itu mengetengahkan sehingga 70 peratus muka baharu di samping 85 peratus mempunyai kelayakan akademik dan profesional yang tinggi.
Kelmarin 26 Februari, hari penamaan calon PRN Johor berjalan lancar. Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan JUANI MUNIR ABU BAKAR serta jurufoto RAJA JAAFAR RAJA ALI, Pengerusi BN Johor, DATUK SERI IR. HASNI MOHAMMAD yang ditemui di Johor Bahru selepas mengesahkan pencalonannya di Benut, menjelaskan perlunya kestabilan di Johor.
Ini demi meneruskan agenda pembangunan yang tergendala sebelum ini. Hasratnya untuk menjayakan usaha ini begitu tinggi. Apatah lagi hari ini 28 Februari, genap dua tahun Hasni menjadi menteri besar. Berikut huraian beliau.
TIADA SABOTAJ
Pada awal pagi tadi (Sabtu 26 Februari), saya mendapat laporan liason officer daripada bilik operasi lima zon jentera pilihan raya BN. Saya dapat maklumat calon-calon BN telah hadir ke penamaan, masing-masing tepat pada masa, persiapan tersusun. Semua calon berada dalam mood ceria. Itu gambaran awal walaupun kita tahu apabila bercakap soal calon bukan satu perkara yang diterima secara mudah oleh mereka. Ini khususnya yang merasakan terlepas pilih kali ini.
Kita bersyukur ramai tokoh dan calon yang layak. Kita pilih yang terbaik daripada kalangan terbaik. Cuma di atas persefahaman itu, dalam dua tiga hari lepas mungkin kita dengar berita mereka tidak dapat jadi calon, mungkin terasa hati dan sebagainya.
Tetapi awal pagi tadi (kelmarin), suasana di pusat penamaan calon tidak menggambarkan wujud sabotaj atau sebarang kurang meriah persiapan di pusat-pusat penamaan calon. Itu satu petanda yang baik.
Sebaik sahaja pusat penamaan dibuka untuk menerima borang calon, semua 56 calon BN diterima borang mereka.
KELAYAKAN AKADEMIK
Kalau kita belajar di PRN Melaka dan Sarawak, jelas pengundi berkehendakkan muka-muka baharu. Jadi, di Johor, BN bukan hanya ketengahkan muka baharu tetapi golongan atau peratus calon mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi melebihi 85 peratus daripada calon yang kita tampilkan.
Maka gandingan calon-calon berpengalaman dan mempunyai kelayakan akademik yang baik, itu saya kira satu gandingan seimbang untuk keperluan Johor. Apatah lagi kita lihat dalam konteks kepelbagaian kaum, yang ada demografi kawasan-kawasan pengundian. Demikian juga kalangan calon MCA ini terdiri tokoh-tokoh muda. Ada daripada mereka mempunyai latar belakang dan kelulusan akademik yang baik.
Kita yakin mereka mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik, maka gunakan bakat kepimpinan itu untuk dekati pengundi. Saya yakin mereka menyantuni pengundi dengan baik. Insya-Allah akan dapat sokongan pengundi di kawasan masing-masing.
KERUSI MARGINAL
Seperti mana kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti Melayu, kita letakkan calon bukan Melayu. Dan begitu juga dahulunya calon bukan Melayu tetapi hari ini digantikan calon daripada UMNO walaupun itu kawasan marginal. Gandingan antara parti-parti bertanding ini dalam keadaan itu selalu perlu dilihat dari segi keadaan keseluruhan.
Kelemahan yang ada walaupun calon muda dan sebagainya, ia dibantu dan dilihat sebagai satu pasukan. Walaupun calon MCA sebagai contoh di Mengkibol pada usia begitu muda tetapi apa juga kekurangan dari segi pengalaman, dari segi memenuhi kehendak masyarakat, (tetapi) ia dapat ditampung oleh parti itu sebagai sebagai sebuah gerakan.
Ia tidak bergantung kepada individu, lebih-lebih lagi calon UMNO. Oleh kerana kita ditaklimatkan oleh kepimpinan parti bahawa kesedaran kita bertanding bukan atas nama kita, bukan dipilih kerana Hasni, dipilih oleh kerana orang perseorangan tetapi mewakili parti, maka ini bererti bahawa parti yang bertanding.
Jadi, kekuatan, kekurangan, kelebihan yang ada pada parti, pada calon, ia semua disebatikan menjadi satu kekuatan yang kita persembahkan kepada pengundi dan masyarakat. Semuanya ada parti di belakangnya.
WATIKAH
BN kalau kita tengok dari segi watikah diberikan pada kita antara lain pertama, kebenaran menggunakan lambang atau lencana dacing itu. Itu tidak bererti tidak tertera bahawa kelulusan kita atau latar belakang kita, tidak. Ia kebenaran menggunakan lambang dacing. Lambang parti itu memberikan kita kelayakan untuk menjadi calon pilihan raya. This always team parti yang bertanding, jadi kita hanya mewakili parti.
MAKNA KESTABILAN
Kestabilan ini tentunya adalah impian dan cita-cita semua bentuk organisasi. Kalau berpersatuan, kita hendak yang stabil dan boleh ada perancangan jangka panjang.
Boleh mengolah hala tuju organisasi berkenaan.
Apatah lagi sebuah kerajaan. Kalau kita lihat mungkin kita terlepas pandang bahawa keabsahan sesebuah kerajaan negeri itu, berasas kepada majoriti mudah 29-27. Tetapi apabila kekosongan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menjadikan 28-27 itu bila ketika kita bersidang ia 28-27 kerana speaker bukan datang daripada parti kerajaan.
Maka di mana letaknya keabsahan, kalau kerajaan ada 28 tetapi di pihak pembangkang ada 27 dan speaker seorang, dia datang daripada parti pembangkang? Di mana kekuatan kerajaan boleh sandarkan untuk menjadikan kerajaan kukuh dan stabil?
Yang lebih pentingnya bila kita bercakap soal kedudukan DUN, DUN ini adalah jantung. Kalau jantung kita berhenti maka matilah kita. Tetapi kalau mungkin di peringkat Exco kerajaan negeri ia tidak berfungsi, tubuh badan masih bergerak lagi, masih hidup lagi.
Jadi, untuk memastikan kelangsungan kepimpinan negeri, lebih-lebih lagi Johor, kalau kita hayati bersungguh-sungguh negeri ini cukup berpotensi, cukup strategik kedudukannya. Sejarah yang begitu subur dengan pelbagai pencapaian walaupun sehari pun sepatutnya bukan patut kita sia-siakan.
Johor harus ke hadapan. Pengalaman mengajar kita dari 2013 hingga 2018, lima tahun berturut-turut menerima pelaburan tertinggi dalam negara. Sejak itu, Johor tidak boleh menoleh ke belakang tetapi infrastruktur dilaburkan dengan projek dibawa ke Johor, sepatutnya dipacu jauh ke hadapan.
KETINGGALAN
Tetapi bila berlaku Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan keadaan begitu, ia memperlihatkan betapa Johor terhenti buat seketika. Ya, betul kita berhadapan pandemik Covid-19, tetapi dua minggu selepas saya ambil alih kepimpinan negeri, terpaksa berdepan Perintah Kawalan Pergerakan dan sebagainya. Itu tidak menghalang kerajaan untuk terus merencana.
Kita ada Ibrahim Johor Economic Council, kita mulakan hari pertama mentadbir negeri duduk berbincang dengan pakar-pakar dan tokoh ekonomi untuk datang ke negeri.
Kita berbicara tentang bagaimana untuk kita bangunkan Johor, berhadapan dengan pandemik dan ketidaktentuan dalam banyak perkara.
Maka idea-idea yang dikemukakan, akhirnya lahirkan hasrat mewujudkan pejabat di Singapura. Sebagai contoh, Johor Economic, Tourism and Cultural Office di Singapura.
Hasrat agar untuk memastikan Barter Trade di Batu Pahat perlu dibangunkan menjadi Barter Trade yang betul-betul kerana sebelah Indonesia, selatan Sumatera itu merupakan daerah dalam Indonesia yang akan membangun. Bukan hanya berhenti di Batam, tetapi juga di Bintan dan Pulau Riau itu sendiri.
TERGENDALA
Johor perlu bersedia untuk turut sama berada dalam ruang lingkup kerancakan pembangunan dan ekonomi. Kita perlu pergi sampai ke Muar, Johor ini tidak cukup ada Irda, ada ECER, ada Pagoh Special Economic Zone.
Pelan dah ada, maka kerajaan yang stabil sahaja akan berjaya melaksanakan perancangan tersebut. Kalau kerajaan tidak seimbang, kerajaan tidak menentu ini, hendak buat satu benda yang kecil pun perlu nak ada satu kekuatan lebihan. Padahal Johor ini, apa saja yang tiada. Yang perlu adalah political will, to execute.
Sebagai kerajaan, tidak pernah statik kerana kerajaan sentiasa ada perancangan jangka panjang, jangka sederhana. Itu bererti bahawa pertama adanya perancangan yang tidak dapat disiapkan dalam satu penggal sebagai contoh, sewaktu BN menjadi kerajaan. Banyak program baik-baik diteruskan tetapi kelangsungan terhenti atas sebab mungkin pelbagai sebab.
Tetapi saya boleh katakan ada program yang terhenti, maka ia perlu diteruskan dengan sekiranya secara total atau dengan membuat penyesuaian. Kemudian sebagai kerajaan yang baharu sepatutnya ada program baharu. Ada perancangan, pelan-pelan pembangunan atau pelan tindakan dibuat.
JUAL KEDAULATAN?
Namun malang, apa dilakukan hanyalah boleh dikatakan mengisi masa kepada perkara hilang fokus untuk membangunkan Johor. Saya bagi contoh, bagaimana berlakunya kepimpinan negeri pada waktu itu bertindak di kawasan sensitif. Misalnya, sempadan atau perairan antara Johor dan Singapura yang menimbulkan kebimbangan antara pihak kerajaan negara jiran kita sehingga terhentinya perjumpaan dua pemimpin dua negara berkenaan.
Pembangunan yang tentunya dijadikan kontroversi sebagai contoh Forest City yang boleh sahaja dibangunkan. Ia tidak menggambarkan pembangunan itu boleh mengugat kedaulatan negara yang dikatakan memberi hak milik atau kedaulatan rakyat kepada China atau sebagainya.
Contoh di kota London, banyak sahaja aset-aset dimiliki pemilik-pemilik dari Arab dan sebagainya. Tidak pula orang mengatakan London itu adalah negara Arab atau sebagainya. Jadi, undang-undang Johor, saya kira sesuatu cukup unik di mana undang-undang tubuh itu sendiri memberi satu jaminan kepada kedaulatan Johor.
Jadi, tiada sebab harus kita ditakut-takutkan jika pembangunan Forest City ataupun Danga Bay atau kawasan zon antarabangsa yang dirancang kerajaan negeri itu bererti bahawa kita jual kedaulatan negeri. – UTUSAN