DASAR Kebudayaan Negara (Daken) digubal antaranya untuk mengembangkan pelbagai budaya, warisan selain seni rakyat Malaysia.
Untuk ini, integrasi yang merupakan asas pembentukan negara bangsa kita, ikut menjadi naratif penting dalam bentuk integrasi budaya sebagai antara identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.
Sehubungan ini, Daken yang dilancarkan pada Oktober lalu mempunyai tujuh teras yang didukung oleh tiga unsur, iaitu institusi raja-raja Melayu sebagai lambang negara, bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan dan Islam adalah agama Persekutuan.
Tujuh teras itu bersekali dengan 10 nilai sepunya adalah tunjang penting lain pada Daken. Selain semua ini, Daken dipayungi Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Seperkara lain yang penting ialah Daken mengambil kira prinsip yang terkandung dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.
Untuk Tahun Baharu Cina (TBC) kali ini dan seterusnya, ia hendaklah ikut disambut berdasarkan Daken.
Dengan ini, untuk teras pertama budaya nilai tinggi, TBC hendaklah disambut dengan tatasusila, tatacara dan tahap kecendekiaan yang tinggi untuk memantapkan proses pembentukan negara bangsa.
Untuk ini, nilai budi, muafakat dan kesejahteraan hendaklah didukung. Dalam konteks sambutan TBC, keharmonian masyarakat yang merupakan teras kedua hendaklah dipupuk dari perspektif budaya berteraskan unsur persefahaman, tolak ansur dan hormat menghormati.
Sehubungan ini, budaya Cina hendaklah dipastikan ikut memupuk dan melestarikan perpaduan negara.
Bagi teras tiga pula, iaitu pemeliharaan dan pemulihan warisan budaya, TBC hendaklah disambut bagi memastikan budaya Cina dititip dan diwarisi bagi menjamin keaslian dan kelangsungannya sebagai khazanah negara.
Ini penting untuk memastikan kesinambungan, keunikan dan keasliannya terus terpelihara.
Pembangunan dan pengembangan budaya sebagai teras keempat pula hendaklah menentukan budaya Cina, khususnya semasa perayaan TBC dimajukan dari pelbagai sisi sebagai kebudayaan negara. Antaranya kandungan, modal insan di samping segi fizikal.
Seterusnya pemerkasaan budaya sebagai teras kelima hendaklah memastikan budaya Cina dalam konteks sambutan TBC diperkasa bagi memastikan keunggulan, kehebatan dan kekentalannya.
Sehubungan ini, ekosistem yang terdapat di negara ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi kesedaran, pemahaman dan penghayatan ke arah kecintaan kepada negara.
Teras keenam, iaitu penjanaan ekonomi kebudayaan, yang dalam konteks perayaan TBC hendaklah dimantapkan melalui perubahan dan penyesuaian teknologi terkini untuk meningkatkan mutu dan kapasiti dari pelbagai segi.
Pada masa sama, keaslian dan jati diri seni budaya dan warisan Cina hendaklah dipastikan terus utuh.
NAGA
Kecemerlangan budaya sebagai teras ketujuh semasa menyambut TBC hendaklah bersifat kebolehan dan keupayaan untuk memartabatkan budaya Cina secara menyeluruh dan bersepadu dalam konteks kebudayaan negara.
Dalam hal ini, ia bukan sahaja penting bagi tradisi Cina itu sendiri, ia dapat ikut menyerlahkan peradaban negara.
Kesemua tujuh teras ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai strategi pada setiap sambutan TBC.
Untuk teras pertama, ia boleh dilakukan melalui strategi mengukuh jati diri masyarakat melalui penghayatan budaya nilai tinggi dalam konteks Rukun Negara, khususnya dengan menjadikan prinsip kelima, iaitu kesopanan dan kesusilaan asas pengukuhan jati diri.
Bagi teras kedua, antara strateginya ialah memperluas usaha keharmonian masyarakat dengan mengadakan program berbentuk silang budaya.
Ia boleh dilakukan antaranya dengan mengenakan pakaian etnik masing-masing dalam majlis sambutan TBC.
Teras ketiga pula boleh distrategikan melalui kerjasama dengan pihak swasta dan korporat.
Untuk ini, penglibatan sektor swasta dan korporat digalakkan untuk melindungi khazanah budaya dan warisan negara. Ini boleh dilakukan sebagai tanggungjawab sosial korporat.
Antara strategi untuk teras empat ialah membangun dan memantapkan persembahan seni budaya dan warisan Cina seiring perkembangan teknologi semasa pada perayaan TBC.
Dengan ini, ia bukan sahaja bersifat moden, ia juga menjadi lebih menarik.
Untuk teras kelima pula, ia boleh antaranya dilakukan dengan memberi kefahaman mengenai budaya Cina kepada masyarakat.
Ia boleh berlaku dalam bentuk pameran dan jerayawara (persembahan) di seluruh negara selain promosi meluas dalam media.
Seterusnya untuk teras keenam, mutu persembahan seni budaya dan warisan Cina pada sambutan TBC hendaklah dipastikan bukan sahaja mantap, tetapi diperkukuh agar berdaya saing. Untuk ini, ia hendaklah dipastikan mencapai tanda aras tinggi.
Bagi teras akhir, pemantapan kecemerlangan seni budaya dan warisan Cina, antaranya boleh dilakukan dengan mempelbagaikan persembahan seni budaya dan warisan Cina pada setiap sambutan TBC.
Untuk ini, ada keperluan untuk ikut diketengahkan seni lain selain tarian singa dan naga.
Daken adalah panduan dan rujukan untuk meningkat pemahaman bagi tujuan memperkasa penghayatan rakyat tentang kebudayaan negara.
Oleh itu, ia hendaklah bukan sahaja disokong kuat oleh semua etnik, tetapi didukung sepenuhnya pada setiap perayaan etnik bagi menjayakannya.
Ini kerana apabila rakyat berbudaya, negara akan ikut terserlah dari segi kecendekiaan selain kebudayaan.
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.











