Menanti jiwa besar ahli Parlimen

Menanti jiwa besar ahli Parlimen

RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dibentangkan untuk diluluskan di Parlimen menjelang 24 Mac ini. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESYUARAT Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-14 2022 selama 16 hari dari 28 Februari hingga 24 Mac ini penting sekali kerana ia akan merealisasikan kandungan utama Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai pada 13 September 2021 antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).

Salah satu butiran utama MoU ini adalah Transformasi Pentadbiran yang ketiga-tiga komponennya dikehendaki dilaksanakan tidak lewat dari 24 Mac ini. Terpenting daripadanya adalah membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti mengikut prosedur ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan/atau mana-mana undang-undang berkaitan.

Sesungguhnya tindakan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat diakui ramai sebagai perbuatan tidak beretika yang melanggar mandat diberikan oleh rakyat kepada mereka dan perbuatan ini kerap kali mendatangkan implikasi besar.

Masihkah kita ingat bagaimana kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tumbang pada 5 Februari 2009 ekoran insiden lompat-melompat parti yang bermula daripada tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) melompat ke PR tetapi kemudiannya melompat kembali ke BN bersama-sama tiga ADUN dari PR?

Masih saya ingat lagi kenyataan keras Pengerusi DAP, Karpal Singh pada 6 Februari 2009 bahawa:

“Melompat parti adalah sesuatu yang jijik (abhorrent), tidak boleh diterima (unacceptable) dan tidak boleh dipertahankan (indefensible).”

“Segala usaha hendaklah dibuat oleh wakil rakyat untuk meminda bukan sahaja Perlembagaan Persekutuan, tetapi semua perlembagaan negeri bagi memasukkan undang-undang antilompat parti.”

“Undang-undang antilompat parti hendaklah dijadikan satu kesalahan jenayah. Mana-mana wakil rakyat yang melompat parti hendaklah dihumban ke dalam penjara.”

Begitulah juga kenyataan keras Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 13 Oktober 2014 sewaktu menyatakan sokongan terhadap tindakan Pas menggantung keahlian dua ADUN Selangor yang berbunyi: “Pelompat parti adalah orang yang tidak siuman.”

Begitu pun, setelah PH memerintah, kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad berkali-kali melalui kenyataan beliau, Menteri Undang-Undang atau timbalannya waktu itu berkeras menolak dibentangkan RUU Anti Lompat Parti disebabkan pihak yang menerima manfaat daripada perbuatan tersebut adalah mereka sendiri. Alasan lazim yang diberikan oleh mereka adalah Mahkamah Agung memutuskan dalam kes Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan & Lain lwn. Nordin bin Salleh & Lain pada 3 April 1992 bahawa enakmen sama di bawah Perkara XXXIA Undang-Undang Tubuh Kelantan yang diluluskan oleh DUN Kelantan pada 25 April 1991 adalah tidak berpelembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

SEKATAN

Memang benar Mahkamah Agung waktu itu menyebut demikian, iaitu dengan menyatakan bahawa hak untuk meninggalkan sesebuah parti politik dan untuk menyertai sesebuah parti politik lain adalah satu bahagian yang mustahak dalam hak asasi berpersatuan atau sekurang-kurangnya menyerupai sifat asas yang sama dengan kebebasan berpersatuan. Malah, keputusan sama pernah dibuat oleh Mahkamah Agung pada 19 Mac 1993 yang menyatakan tindakan DUN Sabah meminda Artikel 18(2)(d) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi melucutkan keahlian mana-mana ADUN yang melompat parti atau yang dipecat oleh parti asalnya pada 20 Mei 1986 adalah tidak berpelembagaan atas sebab sama.

Karpal Singh juga mengakui pada 3 November 2012 bahawa Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang bagi menghukum pelompat parti pada 1 November 2012 adalah tidak berpelembagaan.

Begitu pun, perlu diingati walaupun Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada rakyat untuk meninggalkan sesebuah parti politik dan untuk menyertai sesebuah parti politik lain, Perkara 10(2)(c) jelas menyatakan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, ketenteraman awam atau prinsip moral ke atas hak ini.

Apa yang menjadi masalah dalam kes enakmen diluluskan oleh DUN Sabah, DUN Kelantan dan DUN Pulau Pinang adalah melakukan sesuatu yang bukan berada dalam bidang kuasa mereka kerana kuasa itu diberikan kepada Parlimen.

Saya yakin, dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerja keras Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, RUU Anti Lompat Parti berserta pindaan ke atas peruntukan tidak wajar dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 48 yang menjadikan seseorang ahli Parlimen yang meletakkan jawatan hilang kelayakan bagi tempoh lima tahun yang dikuatkuasakan pada 11 Mei 1990 akan menjadi kenyataan dalam tempoh ditetapkan.

Apatah lagi bila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah memberi komitmen untuk memperkenalkan Enakmen Anti Lompat Parti bagi menangani isu lompat parti dalam kalangan ADUN Melaka selepas BN berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021, manakala Pengerusi BN Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad juga menyatakan Enakmen Anti Lompat Parti akan menjadi agenda utama dibentangkan di DUN Johor jika BN memenangi PRN Johor pada 12 Mac ini.

Sesungguhnya RUU Anti Lompat Parti ini sepatutnya sudah lama diperkenalkan bagi menjamin kestabilan politik, seterusnya membolehkan usaha membangunkan negara dapat dilaksanakan dengan lebih pesat. Tetapi hanya pemimpin yang benar-benar berjiwa besar sanggup melakukannya dan kita berharap menjelang 24 Mac ini, semua ahli Parlimen kita akan menunjukkan jiwa besar mereka. – UTUSAN

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya