WALAUPUN ada orang mengatakan ia bukan benda baharu, tetapi saya melihat inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melalui pengenalan konsep Keluarga Malaysia adalah satu jalan membina masyarakat yang bersatu-padu dan maju ke hadapan. Memang ia bukan benda baharu kerana kita sudah dengar mungkin dalam konsep yang berbeza sebelum ini. Ada konsep integrasi perpaduan, konsep bangsa Malaysia, selepasnya konsep 1Malaysia, dan sekarang kita ada pula konsep Keluarga Malaysia.
Ini tidak menjadi masalah kerana setiap perdana menteri kita mempunyai kerangka yang berbeza dalam minda masing-masing. Jadi, bagi saya ia sesuatu yang bagus tetapi kita menunggu bagaimana ia difahami oleh jentera kerajaan yang akan melaksanakannya.
Keluarga Malaysia merupakan satu kerangka yang cukup bagus dan saya rasa rakyat sedang menunggu-nunggu pengisiannya. Jentera pentadbiran awam perlu faham apa yang Ismail Sabri mahukan, apa sifatnya, apa nilainya dan bagaimana mahu memperkukuhkannya.
Saya melihat ada keseriusan Ismail Sabri dalam memperkasakan hubungan etnik yang sering kita bangkitkan yang tidak begitu baik selama 40 hingga 50 tahun sudah di mana kita telah berada pada tahap sederhana, begitu-begitu sahaja dalam tempoh sebelum ini.
Sebab itulah kita mahukan perpaduan yang lebih tinggi serta persahabatan lebih kuat antara agama, antara budaya dan antara etnik berbeza sehingga pada akhirnya kita akan menjadi sebuah negara maju yang boleh bersatu-padu untuk bersaing dengan negara lain.
Komitmen Ismail Sabri untuk memperkasakan hubungan etnik ini jelas terpancar dalam pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 pada 28 November lalu yang saya sendiri turut terlibat.
Dua pelan yang dilaksanakan melalui Kementerian Perpaduan Negara diterajui menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique bakal memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop lebih luas serta inklusif berteraskan Rukun Negara.
Saya juga terlibat dalam usaha meningkatkan proses perpaduan, kesepaduan dan penyatupaduan dalam kalangan rakyat di mana kita sudah ada konsep-konsep hebat-hebat yang memerlukan pentakrifan oleh pelaksananya bagi memastikan matlamat tercapai. Semua konsep ini perlu dioperasikan supaya senang untuk kita mengukur berjaya atau tidak berjaya, pelan yang dirancang kerana kita sudah ada ukuran disediakan bagi memantau kemajuan dasar yang diperkenalkan.
Peranan penting seorang pemimpin utama negara juga ialah untuk mengembalikan kestabilan politik di dalam negara. Jadi, peranan penting ini memerlukan Ismail Sabri mahu tidak mahu perlu memperkukuhkan kedudukan beliau sebagai seorang perdana menteri.
Kita mengamalkan sistem Westminster dan dalam sistem ini, seorang perdana menteri semestinya juga merupakan ketua parti. Bila seorang perdana menteri adalah seorang ketua parti, baharulah beliau boleh bergerak dengan lebih berkesan.
TULANG BELAKANG
Dalam keadaan sekarang, kita melihat Ismail Sabri bukan seorang ketua parti ataupun ketua kepada mana-mana gabungan dalam peringkat politik nasional itu tadi. Jadi, ini secara tidak langsung merupakan suatu hambatan terhadap keberkesanan kepimpinan beliau.
Dalam keadaan UMNO tercari-cari siapa yang akan mengembalikan keagungan dan kebetulan pada zaman Ismail Sabri, UMNO menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Maka saya rasa ini merupakan suatu petunjuk yang baik terhadap diri beliau. Mungkin beliau adalah pemimpin yang dicari-cari untuk mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO dan menyatupadukan semua golongan di dalam UMNO kerana kalau mengikut pengundi di Melaka, memang UMNO yang menjadi pilihan utama.
Jadi, ini satu daripada tanggungjawab besar Ismail Sabri selaku seorang perdana menteri, iaitu bagaimana beliau mahu mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO kerana mahu tidak mahu, politik orang Melayu Semenanjung itu adalah tulang belakang politik negara. Struktur politik yang tertulis adalah kestabilan politik Malaysia bergantung kepada kestabilan politik orang Melayu dan ini tanggungjawab besar yang Ismail Sabri perlu laksanakan, bukan sahaja untuk UMNO tetapi juga orang Melayu dan negara.
Saya yakin dengan pelancaran konsep Keluarga Malaysia, perkara-perkara yang menjadi masalah kepada negara akan ditangani secara bertahap oleh Ismail Sabri dan kerajaan beliau yang bagi saya menunjukkan keinginan untuk melakukan tadbir urus lebih inklusif. Untuk menjadi lebih inklusif, telinga perlu sentiasa kena pasang dan kena mendengar dengan lebih kuat. Kalau panas apa yang didengari pun tidak mengapalah, dengar sahaja dahulu kerana itu yang diperlukan untuk kita membina Malaysia menjadi sebuah negara yang kukuh.
Kita perlu hidup bersama, sama ada kita orang Melayu, orang Dayak, orang Kadazan, orang Dusun, orang Cina atau orang India kerana kita hanya ada satu negara, iaitu Malaysia. Untuk memeliharanya, kita perlu mendengar dan memahami antara satu sama lain. Kita mungkin tidak bersetuju setiap masa tetapi itu bukan alasan untuk kita bertikai. Ada masanya kita akur dengan pandangan pihak lain tapi ada masanya pula pihak lain yang akur dengan pandangan kita, dan inilah konsep menang-menang yang kita mahukan.
Lebih bagus lagi kerana dalam melaksanakan konsep Keluarga Malaysia ini, Ismail Sabri adalah seorang perdana menteri yang tidak ada baggage atau rekod tidak baik.
Bila tidak ada baggage, maknanya beliau juga tidak ada ramai musuh.
Jadi, bila Ismail Sabri tidak ada ramai musuh maka lebih mudahlah untuk beliau bergerak ke kiri, ke kanan dan ke mana-mana sahaja untuk mencari kerjasama bagi membantunya mengemudi negara ke suatu tahap lebih baik di peringkat rantau dan antarabangsa. – UTUSAN
PROFESOR Datuk Dr. Jayum Jawan ialah penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Jabu di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).











