MENGAMATI satu persatu nama pemimpin dan ketua bahagian UMNO di Johor, mereka bukan orang sembarangan.
Sebahagian besarnya dari Divisyen 1. Kalau di EPL, Liga Perdana. Di Malaysia, Liga Super.
Masih, sedang dan pernah memegang jawatan menteri dan timbalan menteri di Pusat. Dari bahagian Sembrong, ketuanya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Tenggara (Datuk Seri Dr. Adham Baba); Kota Tinggi (Datuk Halimah Sadique); Pasir Gudang (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin); Pontian (timbalan ketuanya, Datuk Seri Ahmad Maslan); Pulai (Datuk Nur Jazlan Mohamed); Muar (Datuk Razali Ibrahim); Ledang (Datuk Ir. Hamim Samuri); Parit Sulong (Datuk Seri Noraini Ahmad) dan Batu Pahat (Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi).
Ada saya tertinggalkah? Cuma kelibat Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak nampak pada majlis pelancaran jentera BN Zon Barat (bahagian Iskandar Puteri, Pulai, Tanjung Pian dan Pontian), Jumaat lalu.
Tidak sama Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November tahun lepas menyaksikan ada kalangan pemimpin kanan UMNO tidak sarung baju dan vest UMNO atau Barisan Nasional (BN) semasa turun meninjau pusat-pusat daerah mengundi, kali ini di Johor tentunya berbeza.
Orang UMNO di Johor pastinya tidak dapat terima seperti berlaku di Melaka. Walaupun komitmen dari segi bentuk wang ringgit dan tenaga disumbangkan ketua-ketua bahagian untuk jentera pilihan raya parti, namun perkara akhirnya dilihat, diamati adalah soal kejujuran dan kesetiaan kepada parti. Itu menjadi pokok utamanya.
Tidak gentar atau main sorok-sorok ‘demi menjaga hati’ parti luar. Tetapi, menyatakan terus terang yang empunya diri adalah pemimpin dan ahli parti.
LAHIRNYA UMNO
Apa lagi di Johor, negeri lahirnya UMNO. Di tangga Istana Besar Johor, pengasasnya, Datuk Onn Jaafar – Presiden UMNO pertama yang lahir di Bukit Gambir dalam Parlimen Pagoh. Sekali gus menuntut komitmen ketua-ketua dan pemimpin bahagian heavyweight tadi yang bukan sedikit tungkus lumusnya dalam memenangkan parti nanti.
Apatah lagi pula, katakanlah PRN Johor berlangsung Mac depan, barangkali 12 haribulan, dan tarikh berkenaan hanya selang beberapa hari lagi berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2021 (16-19 Mac 2022).
Apa mahu ditempelak, disorak-sorai nanti oleh perwakilan atau pembahas usul PAU andai kata ‘kelibat sama’ enggan sarung vest BN berulang. Kena berpijak di bumi nyata. Untuk mana-mana parti politik memenangi Johor semula bukan mudah. Keadaan dan situasi politik di Johor amat berliku sifatnya.
Jika wujud satu permasalahan, penyelesaiannya itu memerlukan formula yang berlainan dari negeri-negeri yang lain.
UMNO Johor sendiri pun sudah menempuh ranjau sepanjang jalan selepas kerajaan BN tumbang 9 Mei 2018. Susahnya bernafas bila tiada kuasa. Survivalnya hanya Tuhan sahaja maha mengetahui.
Sebaik sahaja BN tumbang tempoh hari, daripada 670 ketua kampung kalangan orang UMNO di Johor, hanya 10 peratus dikekalkan. Namun, keinginan hendak berkhidmat menyebabkan kalangan mereka menubuhkan Kesatuan Muafakat Kampung-Kampung Warisan Negeri Johor yang ahlinya menjangkau 500 orang.
Uniknya, walaupun tidak berkuasa, wakil-wakil rakyat UMNO ini nak memaki kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) tak terbuat. Dalam sidang DUN pun asyik mulakan soalan atau ucapan, dengan ucapkan tahniah (kepada kerajaan negeri). Di Johor, UMNO adalah satu gaya hidup bagi masyarakat Johor. Kewujudan UMNO sudah sebati dalam hidup orang Johor.
Biasanya apa sahaja kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung atau taman, pastinya UMNO turut serta termasuk menganjurkan program tersebut.
Contohnya, setiap Khamis malam Jumaat, dianjurkan majlis tahlil atau bacaan yasin di surau dan masjid. Ini termasuk aktiviti seperti program bersunat atau kembali ke sekolah pada setiap sesi baharu persekolahan dan sambutan Maulidul Rasul.
Begitu juga bantuan kepada mangsa ribut, mangsa banjir atau apa sahaja aktiviti melibatkan komuniti setempat. UMNO bergelumang dalam hidup orang Melayu sejak dahulu.
Parti ini menggerakkan masyarakat di kampung. UMNO hadir dalam setiap kehidupan orang Melayu di Johor. Apabila sesuatu bencana berlaku atau mana-mana program dilaksana, tanpa disuruh-suruh, ketua-ketua cawangan UMNO dengan kerjasama pemimpin masyarakat setempat akan terlibat.
Jika UMNO tidak terlibat, program itu akan serba tak kena, hambar dan seakan ‘kosong’ pengisiannya.
PENANGAN
Benar kata Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa ‘PRN Johor tak semudah disangka.’
Sesiapa pun harus menyedari bahawa sikap dan demografi pengundi Melayu di Johor sudah berubah. Dahulu boleh dikatakan, Johor ini adalah negeri selamat kepada parti yang setiap pilihan raya mendominasinya.
Tidak kira siapa pun calonnya dari UMNO/BN, kalau dia bertanding di Johor, calon tersebut pasti menang. Namun, masa sudah berubah. PRU14 membuktikan. Itu bukan kelebihan UMNO lagi.
Antara perubahannya adalah:
i) Johor kini mempunyai 38 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu pada 55 peratus ke atas. Di PRU14, UMNO hanya memenangi 18 kerusi majoriti DUN Melayu, dan bakinya tewas.
ii) Johor juga mempunyai sembilan kerusi DUN campuran, dan hanya satu dimenangi UMNO pada PRU14 dengan majoriti 2.3 peratus. Pada masa sama, BN mempunyai sembilan kerusi DUN majoriti Cina dan kalah kesemuanya.
Mana-mana parti politik pun harus akur dan akui, dengan satu kerusi majoriti tidak mampu menstabilkan kerajaan negeri. Terpaksa menunggu 17 bulan lagi sebelum mandat kerajaan berakhir 16 Julai 2023. Yang agak terlalu lama untuk menahan gelodak perasaan kebimbangan pelabur.
Dengan penangan dijangkakan daripada Undi18, berdepan PRN Johor yang getir ini, parti-parti bertanding seharusnya mempraktikkan satu model baharu dalam menentukan calon, pengagihan kerusi dan kawasan serta naratif pilihan raya yang sesuai.
Maka The Johor Model wajar diperkembangkan dan dipraktikkan. Dan jika diperkatakan dalam konteks doktrin perkongsian kuasa BN mengikut kesesuaian, The Johor Model ini harus memberikan nafas baharu kepada tatakelola politik negara.
Sehinggalah membolehkan calon MIC dan MCA bertanding di kawasan majoriti Melayu dan disokong orang Melayu, tanpa ragu dan sepenuhnya.
Johor bumi penuh sentimental buat UMNO. Tentunya, banyak mata akan tertumpu semasa kempen 12 hari, khususnya pada si pemakai vest UMNO/BN dalam kalangan pemimpin kanan dan tertingginya.