MUKADIMAH
PELAKSANAAN dasar pengundian pada umur 18 tahun (Undi18) bakal membenarkan penambahan kira-kira 5.8 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbesar di negara ini secara tidak langsung memikul tanggungjawab penting dalam mendidik kesedaran mengundi dalam kalangan mahasiswa di kesemua 35 cawangannya.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM, PROFESOR DR. MOHD. SAZILI SAHIBI berkongsi perancangan pihaknya untuk memastikan 172,000 mahasiswa IPT itu keluar mengundi nanti.
UTUSAN: Apa perancangan UiTM?
MOHD. SAZILI: Kebetulan UiTM mempunyai pelajar yang ramai, 172,000 orang. Sudah pasti jumlah ini juga menggambarkan terdapat 172,000 pengundi yang akan mengundi pada PRU15 sebab daftar pengundi secara automatik kepada semua warganegara berusia 18 tahun ke atas.
Jadi, sebagai IPTA yang mahu melahirkan generasi mempunyai tanggungjawab tinggi kepada negara, kita akan pastikan mahasiswa menjadi pemilih bertanggungjawab kepada negara, kena turun mengundi bagi membentuk kepimpinan negara.
Bagaimana mahu memupuk kesedaran mengundi dalam kalangan mahasiswa?
UiTM mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya dapat meningkatkan penyertaan pengundi yang tinggi dalam kalangan warga UiTM supaya tanggungjawab itu tersemat dalam jiwa mereka.
Apa yang mahasiswa patut tahu implikasi proses pengundian ini kepada mereka?
Kita akan lihat bagaimana pelajar dapat menyedari proses mengundi amat penting kepada mereka. Setiap orang muda ada cita-cita dan wawasan.
Jadi, untuk memastikan cita-cita mereka jadi kenyataan, mereka perlu memilih pemimpin yang boleh memberikan kestabilan, peluang dan idealisme yang boleh membina dan menjayakan impian mereka.
Sebenarnya kalau kita lihat soal pengundian ini, ia berkait rapat dengan kehidupan. Katalah mereka mahukan kehidupan di negara ini maju ke hadapan dan kedudukan stabil, mereka perlu turun mengundi dan menyatakan pendirian mereka.
Isu atau parti jadi sandaran sokongan mahasiswa?
Saya lihat mahasiswa ada pandangan dan kematangan tersendiri tentang politik. Jadi, sebahagiannya berminat dengan ideologi tertentu yang dirasakan sesuai dengan aspirasi mereka.
Namun dari sudut lain, ada mahasiswa melihat kepada isu yang berlaku, diperjuangkan dan cara ia dibawa oleh parti politik atau pemimpin untuk menentukan tahap sokongan mereka.
Jadi, saya boleh nyatakan kadang-kadang sokongan mereka terhadap parti politik adalah berlandaskan isu, selain sokongan berdasarkan semangat kepartian.
Apa yang menyebabkan kecenderungan mereka sedemikian?
Isu merupakan peranan penting perlu diperhalusi sebab generasi hari ini mempunyai akses maklumat begitu luas dan boleh melihat sesuatu yang dibangkit, dibincang dan diperjuang untuk diselesaikan. Jadi, tidak boleh pukul rata terhadap parti atau sokongan mahasiswa terhadap mana-mana parti. Wujud banyak kepelbagaian seperti pemikiran, kepercayaan dan tanggapan. HEP UiTM melatih mahasiswa supaya memberi penekanan untuk mengakses maklumat yang benar.
Dalam politik hari ini, maklumat disampaikan dalam pelbagai bentuk dan kaedah. Dalam erti kata lain, propaganda. Jadi, propaganda politik ini perlu diperhalusi oleh mahasiswa supaya mereka boleh lahirkan pandangan objektif dan beri kebaikan kepada diri dan masyarakat.
Mahasiswa sudah ada pilihan atau masih atas pagar?
Peranan mahasiswa penting kerana mereka boleh menjadi ejen untuk menstabilkan kedudukan negara ini. Saya mengandaikan mahasiswa dalam kedudukan neutral.
Sumber maklumat hari ini begitu banyak yang boleh menjadikan keadaan pemikiran itu seimbang, negatif atau positif, maknanya neutral.
Sokongan mereka nanti melihat sejauh mana isu diperjuang dan benar-benar menyelesaikan masalah terbanyak. Saya berpandangan mereka dalam keadaan berfikiran terbuka dan melihat kematangan politik dibina dalam masyarakat.
Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) sudah dipinda untuk benarkan mahasiswa berpolitik. Komen?
Mahasiswa berpolitik boleh dipandang dari sudut positif. Maknanya mereka peka kepada perkembangan politik dan ada hasrat untuk terlibat dalam pembentukan negara.
Kuasa politik adalah salah satu elemen dalam menentukan hala tuju dan dasar. Mahasiswa sebenarnya bersedia terlibat dengan politik negara sebab mereka mempunyai sumber maklumat yang luas berdasarkan teknologi pada masa kini.
Pemansuhan Seksyen 15A (a) dalam AUKU membuktikan universiti bersedia dengan keadaan tersebut dan untuk melahirkan pemimpin mahasiswa yang boleh berpolitik secara matang.
Bagaimana UiTM mendidik mahasiswa untuk bijak menilai dan menerima kenyataan populis ahli politik?
Di UiTM contohnya, kita mahu lahirkan jurutera yang peka dengan pembangunan masyarakat dan negara serta mempunyai jati diri yang boleh mempertahankan diri mereka daripada anasir dan pemikiran yang merugikan negara, bangsa dan agama.Namun demikian, kita juga perlu secara terbuka mengakui kemampuan untuk melihat subjek di universiti kadang-kadang diukur terlalu secara kuantitatif, amat sukar, perlu juga kualitatif. Kesannya mungkin dalam jangka masa panjang.
Boleh jelaskan lebih lanjut?
Agak malang pada hari ini kita lihat generasi digital tidak faham beberapa perkara tadi. Tapi dengan teknologi sedemikian boleh digunakan untuk menerapkan elemen jati diri dan nilai positif manusia dalam kehidupan.
Sebagai contoh, kokurikulum Kesatria di UiTM yang begitu lama usianya dan dilalui pelbagai generasi alumni mengandungi banyak elemen disiplin.
Lihat, Kesatria melahirkan graduan UiTM dengan nilai jati diri tinggi. Ada dalam kalangan mereka pada hari ini berusia 50 tahun tetapi tidak pernah lupa dengan UiTM dan perjuangan survival bangsa Melayu dan bumiputera.
Jadi, di situ nampak mereka mempunyai kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab dan berperanan dengan baik. Di samping itu, subjek itu juga merupakan satu refleksi berkaitan patriotisme.
Ada pihak mengkritik Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kurang outstanding dalam menjelaskan pendirian berhadapan isu-isu semasa berkaitan universiti. Komen?
MPP khususnya di UiTM memainkan peranan terbaik. Mereka menjalankan tanggungjawab seperti mana mereka patut lakukan.
Sepanjang pandemik saya lihat interaksi antara MPP dengan pengurusan UiTM khususnya di bahagian HEP adalah rapat, sentiasa berkongsi permasalahan supaya pengurusan universiti dapat membantu mahasiswa meneruskan pengajian. – UTUSAN











