“Hei, ingat aku tok bomoh ke, boleh tahu hang hendak masuk kanan. Bagi signallah. Kereta mahal-mahal, signal tak reti guna!”
Saya yang duduk di sebelah kawan saya itu terkejut. Bukan kerana brek mengejut. Tetapi setahu saya dia ini lemah lembut orangnya. Tapi bila memandu, karakter bertukar. Mulutnya kuat membebel. Silap sikit kereta di depan, mulalah macam-macam ayat keluar. Kita dengar pun naik malu.
Tetapi sebenarnya, perangai ini sangat biasa dalam kalangan pemandu. Yang boleh tenang-tenang dan senyum saja semasa memandu dan bila kena hon ketika waktu puncak, memang punya kesabaran yang tinggilah.
Siapa yang tidak pernah melalui kesesakan jalan raya, merangkak-rangkak tapi bila sampai di satu lokasi tiba-tiba pemanduan jadi lancar? Tetapi yang pelik, tak ada pula kereta rosak atau kemalangan! Jadi apa puncanya? Agaknya yang paling depan bawa kereta macam siput?
Selalu juga kereta di depan dipandu seperti makan angin, kereta di belakang sudah berderet-deret. Bila kita potong, rupanya main telefon. Ingatkan pemandu wanita. Eh, lelaki pula.
Kenderaan di jalan raya pula semakin meningkat. Ada satu rumah sampai lima kereta. Pertambahan kenderaan inilah menjadikan jalan sesak. Iyalah, bukan semua mahu naik pengangkutan awam. Kalau nak naik pengangkutan awam, dari stesen berkenaan hendak pergi ke tempat kerja kena panggil Grabcar pula. Nak jalan kaki jauh. Jadi macam mana mahu galakkan naik pengangkutan awam?
Baru-baru ini saya terbaca, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak teragak-agak untuk menggantung atau membatalkan permit institut memandu yang didapati melahirkan ramai pemandu cuai yang terbabit dalam nahas atau melanggar peraturan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, tindakan itu boleh diambil selepas pelaksanaan sistem kod pendigitalan yang dapat mengesan dari mana sesuatu lesen dikeluarkan bermula tahun ini. Tetapi beberapa hari selepas itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan kenyataan itu hanyalah pendapat peribadi Ketua Pengarah JPJ. Tegasnya, ia bukan ketetapan dasar Kementerian Pengangkutan pada masa ini.
Iyalah, agak-agaklah. Dah sekolah memandu pula yang kena? Salah guru mengajarkah? Pernahkah kita menyalahkan dan menghukum pihak sekolah bila anak murid nakal dan tidak mendengar kata? Atau teruskah polis bertanya kepada seorang penjenayah itu bersekolah di mana sebelum ini, sudah besar merompak atau memukul orang pula? Dan jika pemandu itu memandu dalam keadaan mabuk, hendak salahkan pusat hiburan atau kedai yang menjual arak itu?
Yang nyata, JPJ yang mengeluarkan dan meluluskan lesen yang membolehkan mereka menjadi pengguna jalan raya bukannya sekolah memandu.
Tentunya sikap individu itu sendiri yang mengakibatkan kecuaian di jalan raya selain faktor lain seperti keadaan jalan raya yang tidak baik, cuaca, kenderaan tidak diselenggara atau pemandu sendiri tidak sihat.
Di mana-mana pun di negara ini, kita akan berdepan dengan pemandu laju, memandu terlalu perlahan di laluan paling kanan, memandu sambil menggunakan telefon bimbit, memotong tanpa memberi isyarat, langgar lampu isyarat dan macam-macam lagi.
Yang kena saman kerana melanggar peraturan lalu lintas pula akan menunggu masa tawaran diskaun, baru hendak bayar. Maknanya, pihak berkuasa pun seolah-olah ‘memberi muka’ kepada pesalah dalam bab membayar saman lalu lintas ini.
Dan dalam tempoh agak lama ini juga ramai yang tertangguh tidak dapat belajar dan mengambil ujian memandu. Sekolah memandu baru saja dapat bernafas sejak Perintah Kawalan Pergerakan yang terlalu lama. Mungkin disebabkan ini juga ada yang ketika ini berani memandu tanpa lesen sebab terlalu lama menunggu untuk mendapatkan lesen.
Sejak kebelakangan ini, sudah banyak kali juga ditularkan dalam media sosial pemanduan berbahaya yang mengakibatkan kematian dan kecederaan orang lain. Semua ini akibat sikap yang tidak bertanggungjawab terhadap nyawa orang lain.
Daripada kita hendak menyalahkan sekolah memandu, lebih baik batal terus lesen yang banyak melakukan kesalahan lalu lintas dan banyak terbabit kemalangan. Jangan setakat gantung lesen. Biar mereka semua naik pengangkutan awam atau tumpang kereta kawan. Jalan raya pun tak sesak sangat dengan kenderaan. Habis cerita.
PENULIS ialah Pengarang Berita Mingguan Malaysia.