Agenda ESG tarik pelabur asing

Agenda ESG tarik pelabur asing

ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) melalui ucapan dan kenyataannya kerap kali menekankan kepentingan ESG sebagai salah satu komponen utama dalam menarik minat FDI serta strategi peningkatan eksport. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA dengan Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1992, Protokol Kyoto 1997 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2015, kesedaran tentang kelestarian dan perlindungan bumi kini menjadi agenda arus perdana global di bawah kerangka Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Kerangka SDG merupakan penambaikan yang melengkapkan inisiatif-inisiatif sebelum ini yang boleh dilaksanakan oleh syarikat komersial, institusi pelaburan dan pemegang taruh lain bagi mewujudkan bumi yang lebih mampan.

Sebelum pandemik Covid-19 berlaku, agenda ESG lebih terarah kepada dimensi pemeliharaan alam sekitar seperti tenaga boleh diperbaharui, perubahan iklim dan sasaran karbon sifar bersih. Malaysia sendiri mengalami kesan buruk perubahan iklim apabila tragedi banjir luar biasa melanda Lembah Klang pada penghujung Disember lalu menyebabkan kemusnahan harta benda serta kerugian ekonomi RM6.1 bilion.

Benua Eropah juga tidak terkecuali apabila megafloods menimpa negara-negara seperti Jerman, Belanda dan Belgium menyaksikan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa ratusan penduduk.

Sebelum itu beberapa syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia berhadapan sekatan import oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) kerana gagal memenuhi kod piawaian penebangan hutan. Ini terutama bagi operasi ladang-ladang mereka yang terletak di luar negara seperti Indonesia dan Papua New Guinea yang didakwa menyebabkan pencemaran serta kemusnahan habitat semula jadi haiwan termasuk harimau dan orang utan.

Pandemik Covid-19 mendedahkan kepincangan dalam aspek sosial yang turut merangkumi isu-isu perlindungan, hak dan keselamatan tenaga buruh, jaminan pekerjaan serta keterangkuman jantina. Sebagai contoh, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuka mata banyak pihak tentang kadar gaji pekerja barisan hadapan seperti pekerja pembersihan di hospital yang rendah dan tidak setimpal dengan risiko mereka hadapi setiap hari.

Selain itu, sejumlah enam syarikat pengeluar sarung tangan getah Malaysia dikenakan tindakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS atas kesalahan penggunaan buruh paksa serta penindasan pekerja. Isu hak pekerja ini menjadi perhatian kerana ketika para pengeluar menikmati keuntungan luar biasa hasil peningkatan permintaan dan harga sarung tangan getah, para pekerja dikerah bekerja lebih masa tanpa rehat mencukupi. Tindakan sekatan eksport oleh CBP ini menyebabkan kerugian langsung dan tidak langsung bernilai berbilion ringgit.

Melihat kepada kerugian pendapatan dan kehilangan peluang pasaran sebegini, amatlah mustahak bagi pemain industri dan pemegang taruh di Malaysia memberikan perhatian lebih serius terhadap agenda ESG. ESG kini bukan lagi tanggungjawab eksklusif agensi seperti Jabatan Alam Sekitar atau Jabatan Meteorologi. Sebaliknya, ia adalah agenda utama masa depan negara dan tanggungjawab menjayakannya harus dipukul secara kolektif oleh semua pihak termasuk agensi-agensi kawal selia kebajikan kaum pekerja dan penggalakan pelaburan seperti Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

PENGURUSAN RISIKO

Untuk sektor pasaran modal dan perbankan, statistik Suruhanjaya Sekuriti merekodkan sejumlah RM8.3 bilion nilai urus niaga melalui Kerangka Sukuk SRI (Sustainable, Responsible Investment) yang mula diperkenalkan pada 2014. Bank Negara pula mengeluarkan beberapa siri garis panduan amalan ESG untuk diguna pakai oleh institusi perbankan dan kewangan dalam strategi perniagaan, pengurusan risiko dan pemberian pinjaman.

Namun jika kita teliti, masih banyak ruang perlu diperbaiki. Agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam menarik pelaburan asing perlu lebih agresif dalam meletakkan Malaysia dalam kedudukan yang tepat sebagai pilihan utama dana pelaburan berasaskan ESG. Laporan oleh Bloomberg Intelligence pada Julai 2021 meletakan unjuran peningkatan pengurusan aset ESG 2025 kepada AS$50 trilion (RM210 trilion), iaitu 30 peratus daripada keseluruhan nilai pengurusan aset global. Untuk perbandingan, pada 2020, ia berada pada kadar AS$35 trillion. Dengan kempen penggalakan yang berkesan, sebahagian dana dan aset ESG ini berpotensi dilaburkan di Malaysia.

Dalam hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sendiri melalui ucapan dan kenyataan beliau kerap kali menekankan kepentingan ESG sebagai salah satu komponen utama dalam menarik minat pelaburan terus asing (FDI) serta strategi peningkatan eksport. Sebagai contoh, pada November 2021 dalam ucapan di majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020, beliau menegaskan, sekiranya negara berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa khususnya AS dan EU, produk-produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian dan amalan ESG yang ditetapkan.

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri sebenarnya dijajarkan dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi, kemapanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial demi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif, seiring dengan agenda ESG. RMK12 mempunyai sasaran ESG yang besar iaitu menjadi negara pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, lebih awal daripada negara-negara jiran seperti Singapura dan Indonesia.

Untuk mewujudkan kesedaran ESG dalam kalangan kanak-kanak pula, Ismail Sabri mengumumkan pewujudan mata pelajaran perubahan iklim dan menangani bencana sebagai subjek utama di pelbagai peringkat pendidikan, sekolah, kolej dan universiti.

Mulai sekarang, semua sesi libat urus dan kempen promosi menarik pelaburan perlu berpaksikan komitmen negara dalam inisiatif ESG. Ini akan membolehkan Malaysia terus relevan sebagai lokasi pelaburan asing utama di rantau Asia Tenggara, sekali gus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. – UTUSAN

PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya