PRN Johor: UMNO solo, no Pas, Bersatu - Utusan Malaysia

PRN Johor: UMNO solo, no Pas, Bersatu

ADAKAH dalam PRN Johor kali ini Muhyiddin Yassin akan menikmati majoriti sama setelah ‘mengkhianati’ PH melalui Langkah Sheraton?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CATATAN ringkas saya untuk mukadimah ‘sepak mula’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini terarah kepada satu isu besar ini, iaitu perlu atau tidak UMNO bergerak solo dalam PRN kali keempat sejak pilihan raya umum (PRU) 2018 ini? Jom kita renung-renungkan gelagat dua seteru UMNO ini iaitu Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

PAS DAN LABA LEBIH

Pas tiada based di Johor. Sukar tembus

Tidak dinafikan dalam setiap PRU, Pas mendapat kerusi di Johor. Bermula PRU 2004, Pas raih satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) 2008 (2), 2013 (4) dan sehinggalah 2018 (1). Pada PRU14, Pas kalah teruk di Johor apabila 45 calonnya hilang deposit dalam saingan kerusi Parlimen dan DUN.

Satu-satunya kerusi diraih calon Pas, Najib Lep di DUN Bukit Pasir dalam Parlimen Pagoh itu pun dikatakan kerana menerima undi penyokong Pakatan Harapan (PH) setelah calon Bersatu yang waktu itu dalam PH hilang kelayakan sebab teknikal. Najib menang majoriti 1,883 undi dengan meraih 9,835 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari UMNO, Noriah Mahat (7,952 undi).

Agama bukan milik Pas seorang

Di Johor, syiar Islam berkembang pesat kerana UMNO Johor sejak sekian lama memainkan peranan soal ini. Kebanyakan aktivis UMNO di Johor berlatarbelakangkan sekolah agama. Di peringkat UMNO bahagian, ramai kalangan agamawan termasuk pengerusi agama.

Pernah ramai ketua Pemuda UMNO dalam kalangan ustaz. Bahkan ramai pegawai tadbir Johor dalam kalangan agamawan. Jadi, Pas tidak boleh mendakwa ia parti agama kerana orang UMNO di Johor cenderung Islamnya.

Islam-UMNO Johor berpisah tiada

Majlis-majlis keagamaan di Johor antaranya ceramah, kuliah dan maahad tahfiz banyak dianjurkan oleh UMNO. Sekolah agama diperkasa.

Cikgu-cikgu sekolah agama diberi perhatian. Imam dan bilal rasa terbela dalam pentadbiran UMNO. Dengan ini Pas agak sukar menggunakan pengaruh atas platform agama kerana UMNO lebih dahulu memenangi hati rakyat Johor atas keagamaan.

‘Makan keliling’

Di PRN Sabah 26 September 2020, Pas yang waktu itu baharu berpaling tadah dari Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk amat baik sekali bersama UMNO dalam pilihan raya kecil (PRK) (menang 7-0) pasca-PRU14, amat mengharapkan diberi kerusi sekurang-kurangnya lima calonnya diletakkan.

Malangnya, tidak dilayan Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu. Setelah kecewa, cuba beralih mendapatkan sokongan UMNO Sabah, tetapi siapa sanggup terima bila ‘makan keliling’ begitu.

Diberi betis mahu paha

Masuk pula gelanggang Melaka 20 November 2021. Walaupun UMNO rela hati peruntuk antara enam hingga lapan kerusi DUN kepada Pas jika bersama UMNO menghadapi PH, Pas masih mahu Bersatu ikut bersama.

Natijahnya, Pas berputih mata di semua lapan kerusi ditandingi. Sudahlah misi menumpang nama Abah tidak menjadi, lebih teruk lagi, undi yang lari dari BN didakwa pergi kepada Bersatu.

Pas sudah ‘berpijak di bumi nyata’

Menjelang PRN Sarawak 18 Disember 2021, awalnya Pas mahu bertanding tidak kurang 11 kerusi, tetapi akur cuma satu kerusi di Beting Maro. Keyakinan menggunung tinggi, bersandarkan undi diraih calonnya pada 2016 lebih 3,000 undi.

Tetapi faktanya, pemimpin Pas hanya turun sekali dua bila tiba musim pilihan raya berbanding Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sekian lama sudah menyediakan asas dan tapak syiar Islam di Beting Maro.

Ego. Tidak mahu belajar daripada kekalahan berentet-rentet tiga PRN

Kalau ikut analisis post-mortem siri PRN oleh pemimpin moderat Pas (bukan kalangan pemimpin ulama mereka) yang sudah terbiasa rakyat dengar alasannya:

“Pas bukan kalah, tapi belum menang. Pas dah biasa kalah selalu, menang sesekali. Kalah atau menang bukan keutamaan.”

HIDUP MATI BERSATU

Bertandingkah Muhyiddin?

PH menang 36 kerusi DUN termasuk Gambir dimenangi Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semasa PRU14, Bersatu masih bersama PH. Gambir setakat 2018 memiliki 60 peratus pengundi Melayu. Muhyiddin menang kerusi berkenaan dengan kelebihan 3,088 undi. Bagaimanapun, jika jumlah undi diperoleh UMNO dan Pas digabungkan, majoriti Muhyiddin berkurang kepada 1,282 undi.

Adakah dalam PRN Johor kali ini Muhyiddin yang meraih sokongan besar daripada pengikut PH akan menikmati majoriti sama setelah ‘mengkhianati’ PH melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020?

‘Hidup, mati Bersatu’

Pada PRU14, Bersatu bertanding di 17 kerusi DUN di Johor, menang lapan. Kemudian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sertai Bersatu untuk memberi sokongan kepada kerajaan PH. Marah sungguh akar umbi UMNO Johor. Kini, panglima Bersatu kenalah menang di Gambir, sebelum masuk gelanggang mega PRU.

Tunggu dan lihat.

Survival Bersatu semasa PRN Johor pastinya diikuti penuh debar oleh ‘gurkha-gurkha’ dalam UMNO yang ‘bertopengkan UMNO, tetapi berkiblatkan’ Bersatu.

Butang mana lagi mahu ditekan?

Pada 12 November 2021 semasa rancak kempen PRN Melaka, Muhyiddin mengingatkan seteru politiknya dari UMNO Johor bahawa beliau sendiri boleh ‘tekan butang’ untuk menentukan jatuh bangun kerajaan Datuk Hasni Mohammad: “Jangan cabar saya. Sekarang saya boleh tekan semua butang, semua jatuh. Kamu nak itu berlaku? Saya tak takut.”

Tetapi kenapa ketika Bersatu sendiri tidak mahukan PRN Johor berlaku malah amat bencikan UMNO, Muhyiddin sendiri tidak mahu tekan butang di peringkat Pusat (tarik sokongan ke atas kerajaan campuran BN-PN), sekali gus membawa pembubaran Parlimen ke arah PRU15?

Apa kata PH?

Bukan sahaja Bersatu, tetapi dalam kalangan parti PH juga bencikan PRN Johor termasuk DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Jika diteruskan juga (sudah pun bubar DUN Johor), kata Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram pada 15 Januari lalu, Amanah akan tarik sokongan terhadap kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Mengapa sepi tanpa berita?

RUMUSAN

Semasa PRN Melaka tempoh hari, ada kalangan pemimpin kanan UMNO dan BN enggan menyarung baju dan ves BN/UMNO semasa berkempen atau turun meninjau pusat daerah mengundi.

Kali ini di PRN Johor, adakah senario serupa berulang? Akar umbi UMNO kena perhatikan betul-betul gelagat mereka kali ini. Baru kita akan kenal siapakah musang berbulu ayam di dalam UMNO sebenarnya.

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.