Platform penstriman terlalu bebas, ganas - Utusan Malaysia

Platform penstriman terlalu bebas, ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKEMBANGAN pesat media sosial mendedahkan kita kepada pelbagai pengaruh hiburan yang kadangkala boleh menyesatkan jika kita tidak berhati-hati. Kalau dahulunya, pencapaian kepada rancangan hiburan ketika di rumah hanyalah melalui radio dan televisyen, namun kini sudah berada di hujung jari. Tekan sahaja telefon bimbit, kita bukan setakat bebas menonton rancangan hiburan tempatan, malah pelbagai rancangan terbitan luar negara.

Kini kita mempunyai pilihan lain yang lebih mudah dicapai iaitu platform penstriman dalam talian. Tidak lama dahulu, satu siri terbitan bebas berjudul Squid Game menjadi satu sensasi global. Kita mendengar rungutan ramai ibu bapa di seluruh dunia tentang kesan negatif siri ini kepada anak-anak mereka.

Namun, ia masih mendapat tontonan yang besar termasuk dalam kalangan murid sekolah di negara kita. Siri ini boleh ditonton melalui Netflix, salah sebuah peneraju industri televisyen dalam talian yang ternama. Di negara kita, Netflix yang boleh diakses sejak 2016 sangat popular dalam kalangan peminat hiburan.

Platform penstriman dalam talian membuka pintu kepada penyiaran kandungan-kandungan yang tidak sesuai untuk tontonan umum tanpa ditapis. Terdapat kandungan siaran platform seperti ini yang memaparkan babak-babak yang bertentangan dengan nilai moral kita, bebas ditonton oleh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak.

Sedangkan selama ini, rancangan-rancangan terbitan dalam dan luar negara mesti melalui proses penapisan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi memastikan ia sesuai disiarkan kepada umum.

TRAUMA

Sehinggakan adakalanya LPF dikecam oleh sesetengah pihak kerana menyekat penyiaran filem-filem yang mempunyai ideologi serta nilai tidak sesuai untuk tontonan masyarakat tempatan.

Apakah kewajarannya untuk kita membiarkan platform penstriman bebas menyiarkan apa sahaja untuk tatapan umum tanpa dipantau oleh LPF? Hal sebegini jika tidak ditangani dengan tuntas oleh semua pihak terlibat, kelak mengundang pelbagai masalah dalam masyarakat. Ia bukan sahaja boleh merosakkan budaya kita malah nilai, pemikiran, pertimbangan serta jati diri anak bangsa.

Babak-babak ganas dan ngeri yang dipaparkan dalam sesetengah cerita juga boleh membawa kepada trauma dan kesan buruk secara psikologi kepada kanak-kanak.

Adalah menjadi hak bagi kanak-kanak untuk dilindungi daripada perkara-perkara yang boleh memudaratkan mereka, baik dari segi akhlak mahupun mental. Kita tidak mahu melihat kanak-kanak menjadi mangsa kepada keadaan ini.

Pihak berwajib mesti melaksanakan peraturan yang lebih ketat kepada industri ini demi kesejahteraan rakyat. Jangan sampai kita menggadaikan kesihatan mental, hak dan masa depan kanak-kanak hanya kerana nilai komersial industri hiburan. Jangan sampai sudah terhantuk, baru tengadah.

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN