KEMENANGAN Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Kelantan sebanyak 37 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), di Terengganu 22 daripada 32 kerusi DUN dan di Kedah, 15 daripada 36 kerusi DUN merupakan satu kejayaan besar.
Dorongan kemenangan Pas ini disebabkan pertambahan undi rakyat yang marah ke atas kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan perpecahan dalam kalangan ahli UMNO.
Walaupun Pas bertanding sendirian, sebagai gabungan dalam Gagasan Sejahtera yang berjaya memperoleh 18 kerusi Parlimen menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan hari ini selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Gagasan Sejahtera yang diwujudkan pada 2016 adalah blok kuasa ketiga melibatkan Pas, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa).
Faktor kemenangan Pas ini bukannya datang daripada kekuatan pertambahan ahlinya. Tetapi disebabkan pada masa itu, majoriti Melayu di ketiga-tiga negeri ini melihat keupayaan Pas sebagai pemerintah yang lebih berintegriti dan adil.
Walaupun begitu dengan perubahan masa, kini UMNO di Kelantan telah pun berubah dengan penggantian barisan kepimpinan muda mewarnai kebangkitan parti itu. Beberapa calon baharu bakal digantikan di beberapa kawasan Parlimen seperti Tanah Merah dan Jeli.
Pelantikan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebenarnya mengorak satu langkah penstrukturan semula peremajaan UMNO negeri.
Begitu juga di Kedah, UMNO negeri itu mengalami banyak perubahan sejak kumpulan pro-Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz keluar dari UMNO.
Ini menyebabkan UMNO Kedah lebih tenang dan damai berbanding sebelum ini. Pemulihan UMNO Kedah lebih cepat daripada dijangkakan apabila ramai pelapis muda mula menggantikan tempat kumpulan pro-Dr. Mahathir dan Mukhriz.
Berlainan di Terengganu, kekalahan UMNO di negeri itu telah menyebabkan kumpulan pro-Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berundur dan digantikan dengan kumpulan Datuk Seri Ahmad Said. Pengalaman dan pengaruh Ahmad kelihatan begitu kukuh di Terengganu selatan dan kawasan Parlimen Kuala Terengganu.
Kekalahan UMNO Terengganu adalah kerana ramai ahli UMNO Terengganu selatan berpaling memangkah Pas dalam PRU14 dan menyebabkan banyak kawasan jatuh ke tangan Pas.
Jika dilihat politik semasa, agak tipis untuk Pas mempertahankan ketiga-tiga negeri tersebut jika berlawan UMNO tanpa ada dukungan gabungan parti politik.
Ini disebabkan pada masa kini agak sukar untuk Muafakat Nasional (MN) kembali hidup dengan perubahan kepimpinan politik Pas di peringkat Pusat.
Kekuatan Pas juga disumbangkan oleh pengundi-pengundi luar yang antidasar dibuat oleh Najib semasa PRU14 walaupun ketiadaan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kini jika tanpa UMNO, Pas perlu bergantung kepada kekuatan gabungan Perikatan Nasional (PN) untuk memperkasakan jentera parti. Ini menyebabkan Pas perlu menyusun semula jentera untuk membantu gabungan PN dalam PRU15 nanti.
Malahan, ketokohan dan kaliber kepimpinan PN hanya bergantung kepada beberapa pemimpin tertentu dan sebahagiannya tidak berasal dari Pantai Timur mahupun Kedah.
Budaya kenegerian amat penting dalam pemilihan calon yang boleh menang terutama ketokohan kepimpinan sama ada di peringkat Pusat mahupun negeri.
50-50
Besar kemungkinan Pas lebih selesa dengan PN daripada MN. Ini menyebabkan UMNO akan menentang Pas semati-matinya untuk kelangsungan hidup. Maka tentangan UMNO pasti akan lebih keras dalam PRU15 kecuali berlaku magik dalam politik UMNO-Pas.
Mahu tidak mahu jika terjadi pertandingan lima penjuru, UMNO dan Pas akan berlawan kalah mati dalam mentadbir ketiga-tiga negeri. Sudah tentu, kelebihan yang ada pada Pas juga dimiliki UMNO kerana kedua-dua parti adalah sebahagian kerajaan PN dan kerajaan Keluarga Malaysia.
UMNO pada masa ini agak sukar bergabung dengan PH selagi wujud beberapa tokoh tertentu dalam pakatan itu. Tetapi strategi UMNO adalah berbeza dalam PRU15 walaupun terpaksa menentang sendirian dengan Pas di ketiga-tiga negeri.
Rangka all out bermakna UMNO akan menggunakan apa jua cara untuk mempertahankan kelangsungan hidup di negeri-negeri majoriti Melayu.
Buat masa ini, rangka kerja sudah bermula sejak 2020 lagi dalam kalangan pengundi putih. Cuma isunya, berjaya atau tidak generasi muda untuk kembali menyokong UMNO.
Jika dilihat dalam PRN Melaka, golongan berumur 40 tahun ke bawah kurang menyokong UMNO. Justeru, UMNO mula menggantikan barisan calonnya dengan wajah anak-anak muda.
Kekuatan Pas dan UMNO masing-masing 50-50 di ketiga-tiga negeri sebelum PRU15. Perubahan sokongan pasti akan berlaku menjelang tiga hari sebelum pengundian PRU15.
Untuk menyatakan UMNO mampu menumbangkan Pas di ketiga-tiga negeri majoriti Melayu sebenarnya ada peluang tetapi perubahan mood pengundi sentiasa berlaku mengikut perubahan politik semasa.
Untuk membenarkan Pas mampu mentadbir semula ketiga-tiga negeri ini juga adalah benar jika dilihat dari aspek akar umbi yang menyokong Pas tidak pernah berubah.
Tetapi segala-galanya akan ditentukan oleh pengundi perantauan dan juga mood persepsi yang berlaku semasa tempoh berkempen.
Pilihan Pas yang terbaik adalah hanya memilih satu gabungan parti. Ini disebabkan gerak kerja dan guna tenaga adalah lebih baik. UMNO akan bertentang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Begitu juga MCA akan bertentang Gerakan. Kedua-dua parti iaitu Bersatu dan Gerakan adalah dalam PN. Ini bermakna BN tidak akan menerima PN semasa berlakunya pertandingan kalah mati dalam PRU15.
Jadi, kaedah terbaik Pas adalah memilih paling ringan mudarat politik berbanding bertaut kepada kedua-dua gabungan parti yang dilihat kurang mesra dalam PRU15 nanti.
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











