PERIBAHASA Melayu sering perdengarkan tiga perkataan ini – ‘musuh dalam selimut’ dan `duri dalam daging’.
Ini membawa pengertian sama – musuh yang muncul daripada orang dalam kita sendiri. Baca sejarah kisah pembelotan Si Kitol. Catatan ketua panglima Portugis, Alfonso di Alburqueque sendiri menyebut, setelah Kota Melaka dikalahkan 1511, Ferringghi merampas 3,000 pucuk meriam. Katanya, itu baru separuh daripada meriam milik Melaka.
Maknanya kota itu sudah ada 6,000 pucuk meriam ketika itu dan ini adalah cerita 510 tahun dahulu. Kerajaan yang begini hebat di Nusantara hanya boleh ditewaskan oleh gabungan tentera-tentera Portugis, kerajaan-kerajaan kecil di Sumatera dan Jawa, askar-askar upahan dari Goa, Jawa dan Siam.
Ini ditambah dengan pembelot dan pengkhianat daripada para pedagang asing dan kalangan orang Melayu sendiri. Melaka jatuh bukan kerana orang Melayu kuno atau malas. Dari dahulu lagi Melaka sudah memiliki meriam-meriam besar, pemuras, istinggar dan lain-lain senjata api. Melayu juga sudah mengenal apa itu baju besi dan sudah mahir menempa baju besi untuk kegunaan ketenteraan. Mereka yang memilih untuk berlawan dengan keris, tombak dan lembing pula bukan calang-calang orang.
Ada cerita lama orang-orang tua Melayu menyebut kebanyakan kapal yang menyerang Kota Melaka sebenarnya bukan milik Portugis. Tetapi Melayu, kapal angkatan laut Melaka juga. Satu laporan Portugis pula menyebut mereka ada ternampak sebuah angkatan laut yang dikenalpasti milik orang Melayu sedang disediakan untuk menyerang dari satu tempat di perairan Melaka.
Jika diibaratkan UMNO itu pentadbiran Melaka di zaman kegemilangannya, naratif sebelum dan selepas kejatuhan lebih kurang sama. Terdapat mereka yang ‘lari ‘ dari tanggungjawab kepimpinan hendak jadi hero harus disisihkan dari parti. Semasa UMNO kalah 9 Mei 2018, dia lari dari tanggungjawab, malahan bersekongkol dengan musuh.
Hari ini, selepas mengecap kemenangan besar dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada 20 November tahun lalu dengan musuh-musuh UMNO turut kecundang dalam PRN Sarawak 18 Disember 2021, UMNO harus berwaspada dan bijak mengendalikan ‘ribut dalam cawan’ yang membadai.
Mentaliti iri hati dan hasad sesama pemimpinnya hanya akan menyekat cita-cita parti untuk kembali menjadi kerajaan.
Sewajarnya tidak perlu bagi pemimpin tertentu UMNO untuk tunduk kepada mana-mana desakan pihak atau pemimpin luar parti itu. UMNO tidak boleh mengkhianati harapan ahli-ahli yang telah lama setia dan memberikan dukungan tidak berbelah bahagi. Ingat! kuasa majoriti senyap ahli inilah yang akan meruntuhkan UMNO kalau mereka merasakan sumbangan mereka memenangkan parti dalam tujuh PRN pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PRN Sabah September 2020, disusuli Melaka tidak dihargai.
HORMAT
Kepimpinan UMNO wajib dihormati. Walak adalah semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh, lagi padu serta tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya. Walak dan kesetiaan yang diberikan kepada institusi yang sedang disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah atas sebab tanggungjawab yang dipikul dan amanah oleh ahli-ahli parti.
Maka, pastinya walak dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun, kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden.
Menghadapi musuh-musuh UMNO, apa lagi musuh dalam selimut ibarat kisah Trojan Horse semasa tentera Sparta dan Athens membuat muslihat berundur dengan meninggalkan Kuda Trojan sebagai ‘hadiah’ kerana gagal menakluki Kota Troy.
Gunakanlah pentas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dalam waktu terdekat nanti sebagai medan membuktikan keberanian dan ketegasan terhadap musuh-musuh dalam selimut UMNO. Belajar daripada kebijaksanaan dan hikmah Presiden Jokowi dalam membentuk parti dan kerajaannya merangkumi politik keterbukaan – yang akhirnya bukan sahaja menaikkan nama partinya, lebih besar lagi memacu ekonomi negara dan kepentingan rakyat sebagai agenda utama dalam memimpin sesebuah negara.
Bukankah sekarang waktu terbaik untuk PRU15? Feel good factor untuk Barisan Nasional/UMNO dan waktu terlemah buat Pakatan Harapan (PH) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)/Pas?
Setelah Muafakat Nasional (MN) terus diperlecehkan oleh Pas dengan terus bermain `dua kolam’ padahal kepimpinan Pas sendiri terus berlagak dan sering curang, maka UMNO seharusnya jangan lagi berfikir panjang. Noktahkan sahaja dengan MN, bergerak secara solo.
Belajar dari kebangkitan Gabungan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun. Bagaimana LDP perkuatkan parti untuk menang semula. Dari zero, mereka menguasai semula sebuah kerajaan dan makin bertambah kukuh.
Ini bukan lagi masa untuk berdiplomasi atau berbincang. Masa tersebut sudah tamat dan UMNO telah relanya berbuat demikian. Ini adalah masa untuk bertindak. Bertindak atas kepentingan rakyat yang semakin terhimpit dengan pelbagai masalah seperti Covid-19 dan bahana banjir.
UMNO perlu kuasai kerajaan dalam erti kata sebenar. Bukan sipi-sipi bergantung kepada orang lain yang boleh `mengatur-atur’. PRU15 jawapannya.
Kepada kepemimpinan tulen dalam UMNO, jangan sesekali mengkhianati UMNO dalam waktu-waktu sukar begini, tetapi paling sesuai untuk parti melalui satu proses demokrasi memimpin kembali negara.
Sewajibnya kepimpinan UMNO bersatu hati dan bergerak sederap dalam memukul gendang perang. Ini masa berperang. Tidak ada lagi jalan tengah yang akhirnya membuatkan rakyat mempersoal kewibawaan UMNO sebagai parti pendahulu.
“Parti UMNO, Parti Keramat”
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.