Gencatan politik hingga PRU15 - Utusan Malaysia

Gencatan politik hingga PRU15

DIHARAPKAN inisiatif kerajaan berkaitan kesejahteraan rakyat dan pelaksanaan inisiatif pemulihan ekonomi tidak terganggu oleh polemik politik tidak relevan. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTIMANA semua maklum, pandemik Covid-19 yang mula dikesan pada awal 2020 menjadi punca utama kepada suramnya ekonomi negara. Ditambah ketidaktentuan ekosistem politik, ia seolah-olah menjadi ujian bertimpa-timpa kepada negara.

Melengkapkan kesuraman tersebut adalah banjir luar biasa teruk pada 17 dan 18 Disember lalu yang melumpuhkan hampir keseluruhan Selangor selaku penyumbang ekonomi terbesar negara.

Semua pihak ternanti-nanti, bilakah akan muncul fajar baharu pemulihan ekonomi negara? Berkat doa, usaha perancangan teliti oleh kerajaan, maka awal tahun ini dilihat sebagai jawapan kepada persoalan tersebut.

Ini boleh disaksikan daripada laporan-laporan mutakhir penanda aras utama ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik, pola positif pelaburan terus asing, perangkaan guna tenaga kerja semakin meningkat serta keseluruhan iklim perniagaan yang kian meyakinkan. Strategi serampang dua mata oleh kerajaan iaitu program vaksinasi yang agresif serentak pembukaan sektor ekonomi secara tersasar ternyata satu langkah tepat.

Berbanding sebelum itu di mana tumpuan lebih terarah kepada melawan Covid-19 dengan mengenepikan pertimbangan ekonomi menyebabkan ramai hilang sumber pendapatan.

Hasil pembukaan sektor ekonomi pada suku keempat 2021, nilai jualan sektor runcit dan borong untuk November lalu merekodkan RM118.1 bilion, peningkatan tujuh peratus berbanding November 2020. Ia juga lebih tinggi berbanding RM116.2 billion pada Oktober 2021.

Selain itu, nilai dagangan keseluruhan negara pada November 2021 bernilai RM205.5 bilion meningkat 34.9 peratus tahun ke tahun. Nilai eksport pula RM112.2 bilion, peningkatan ketara 32.4 peratus tahun ke tahun.

Unjuran KDNK 2022 oleh pasaran juga menunjukkan trend kenaikan meyakinkan. Sebagai contoh, Ketua Ekonomi StandardChart ASEAN, Edward Lee memberi unjuran kenaikan 6.2 peratus berbanding 3.5 peratus pada 2021. Asas kepada unjuran ini adalah kejayaan program vaksinasi, keutuhan permintaan luaran dan pemulihan permintaan dalam negeri.

Ketua Pegawai Pelaburan Perbankan Peribadi dan Pengurusan Kekayaan HSBC Asia Tenggara, James Cheo pula menjangkakan kenaikan 5.6 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran pada Jun 2021 iaitu 5.4 peratus.

Bank Dunia pula meletakkan kadar pertumbuhan 5.8 peratus, dipacu oleh permintaan dalam negeri yang sihat dan pertumbuhan sektor eksport.

Jabatan Statistik Malaysia dalam kenyataan terbaru melaporkan, jumlah pengangguran pada November 2021 adalah 694,400 orang, iaitu paling rendah semenjak April 2020. Pada Oktober 2021, jumlahnya adalah 705,000 orang.

ESG

Keyakinan pelaburan asing terutama dalam sektor berimpak tinggi seperti teknologi digital juga kembali meningkat. Selain pengumuman oleh Intel Corporation pelaburan bernilai RM30 billion di Pulau Pinang, Johor juga merekodkan perkembangan memberangsangkan. Pada Disember 2021, Wiwynn Corporation, sebuah syarikat penyedia infrastruktur teknologi maklumat dari Taiwan mengumumkan pelaburan bernilai RM200 juta untuk membina kilang infrastruktur teknologi berskala tinggi di Johor.

Sebelum itu, pada Julai 2021, GDS Holdings Ltd, firma utama pembangunan pusat data berkeupayaan tinggi dari China juga mengumumkan pembinaan kampus pusat data berskala tinggi di Nusajaya. Pusat data ini dijangka membolehkan GDS, sebuah syarikat yang tersenarai di NASDAQ dan pasaran saham Hong Kong untuk mengembangkan perniagaan mereka di Asia Tenggara.

Justeru, adalah mustahak agensi-agensi yang bertanggungjawab untuk terus bekerja keras menarik lebih banyak pelaburan asing terutama dalam bidang-bidang baharu seperti tenaga baharu, kenderaan elektrik dan teknologi digital. Salah satu sudut yang memerlukan penekanan adalah mewujudkan insentif pelaburan bertunjangkan agenda persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG).

ESG merupakan agenda keprihatinan utama masyarakat antarabangsa pada hari ini. Perdana Menteri sendiri dalam ucapan tahun baharu 2022 menyentuh isu ESG sebagai salah satu keutamaan dalam dasar ekonomi kerajaan akan datang.

Kepatuhan kepada amalan ESG akan membolehkan Malaysia menarik kemasukan lebih banyak pelaburan asing.

Sebelum ini, kegagalan pematuhan amalan ESG seperti penindasan terhadap pekerja asing dan penebangan hutan tidak terkawal menyebabkan beberapa syarikat besar Malaysia mengalami pengurangan pendapatan, kehilangan pasaran dan penurunan harga saham.

Kita difahamkan, Perdana Menteri sendiri memberikan perhatian khusus terhadap usaha merancakkan kegiatan ekonomi. Kebelakangan ini, beliau diberitakan mengadakan beberapa siri perjumpaan tertutup dengan wakil-wakil sektor perniagaan swasta termasuk dewan perniagaan dan persatuan majikan.

Dalam pertemuan tertutup ini, dilaporkan pihak industri menyuarakan pendapat dan harapan mereka ke arah menambah baik sistem penyampaian kerajaan dan mencipta iklim perniagaan yang lebih konstruktif.

Bagi meneruskan momentum pemulihan ini, kita harapkan gencatan senjata politik yang berkuat kuasa ketika ini diteruskan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang. Ini bukanlah bermaksud parti pembangkang perlu berdiam diri dalam semua proses membuat keputusan. Mereka masih boleh bersuara dan memainkan peranan semak dan imbang.

Kita cuma mahu melihat inisiatif kerajaan berkaitan kesejahteraan rakyat seperti perang terhadap ancaman Covid-19 dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif pemulihan ekonomi tidak terganggu oleh perdebatan tidak relevan.

PENULIS ialah akauntan bertauliah dan penganalisis ekonomi bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya