SEBENARNYA saya tidak begitu berminat mengulas isu yang melingkari Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Lagi pun sudah terlalu banyak ‘moralis’ di media sosial dan pihak berkepentingan memberikan hujah mereka. Sudah berlebihan dibahas dan diperkatakan seolah-olah ini satu tragedi negara paling besar.
Oleh hal demikian, saya sekadar mengulang catat beberapa peristiwa yang pernah menimpa SPRM suatu waktu dulu. Ketika itu tidak banyak ‘moralis’ bercakap mengenai SPRM seperti sekarang. Barangkali tidak ada memberikan faedah kepada yang berkepentingan.
Apabila menyebut SPRM, ingatan saya segera terjungkir balik terhadap beberapa tragedi yang berlaku ke atas SPRM. Pernah dijadikan kambing hitam untuk dikorbankan, tidak kurang juga ditunggang oleh yang berkuasa. Tetapi tujuannya mereka sahaja yang tahu.
Suruhanjaya ini diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong. Molek sangatlah kedudukan itu. Tetapi itu bukanlah alasan tidak boleh dipergunakan oleh sesuatu pihak untuk tujuan tertentu.
Realitinya, inilah yang membuatkan SPRM sentiasa berada dalam keadaan tersepit. Keadaan yang menghalang mereka bertindak mengikut jalur undang-undang.
Memang benar sekali air pasang, sekali pantai berubah. Begitulah juga hakikatnya dengan SPRM. Sekali arus utama politik berubah, mereka pun diubah. Lihat sahaja selepas gelombang politik paling besar pada 2018, SPRM banyak mengheret orang-orang besar parti ke mahkamah.
Rakyat tentu hairan kenapa sebelum itu SPRM tidak berbuat apa-apa dengan orang besar parti? Bukankah SPRM itu sebuah suruhanjaya bebas? Hakikatnya SPRM menjadi diam dan kaku.
Dilarang walaupun untuk terbatuk ketika skandal kewangan di negara kita meletus dan menggegarkan dunia.
SPRM sebenarnya sangat menggiurkan. Umpama seorang wanita cantik yang di tangannya ada kunci kuasa. Lalu banyaklah yang cuba menguasainya sekali gus mempergunakan untuk tujuan tertentu.
Maka tidak hairanlah kalau jawatan Ketua Pesuruhjaya selalu menjadi percaturan. Bertukar Ketua Pesuruhjaya, ikut berubahlah hala tuju mengikut arus kuasa politik semasa.
Saya masih ingat dengan jelas tentang satu tragedi berlaku kepada SPRM beberapa tahun lalu. Ketika itu beberapa pegawai kanan terlibat dalam siasatan kes berprofil tinggi syarikat SRC International ditahan polis. Kesan daripada penahanan ini, siasatan terhadap kes itu pun terbantut seketika.
Tidak cukup itu, ditambah pula tindakan onar menukar dua pengarah kanan yang mengendalikan kes tersebut ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Bayangkan mereka yang arif dalam siasatan kes rasuah ditukar ke peti sejuk di JPM yang tidak ada kena mengena dengan bidang kepakaran mereka.
Pertukaran Bahri Mohamad Zin yang ketika itu Pengarah Operasi Khas SPRM menunjukkan walaupun SPRM diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong, tidak bermakna suruhanjaya itu terselamat daripada dipergunakan untuk kepentingan politik. Ada semacam usaha untuk menghalang SPRM menjalankan tugas diamanahkan kepadanya.
Peristiwa-peristiwa begini tentulah tidak boleh kita petik maksud hanya dengan membaca yang tersurat di media arus perdana.
Ada media perdana seperti SPRM juga, ditunggang demi kelangsungan kuasa. Maka baca dan fikirlah yang tersirat daripada yang tersurat itu.
MERADANG
Lebih menarik apabila Bahri meradang dan bersumpah untuk mencari dalang hingga ke lubang cacing yang terlibat dalam percaturan itu.
Bagaimanapun, ketegasan Bahri tidak mendapat sokongan daripada media. Tidak ada pula syarikat media yang bangkit berkempen antirasuah. Kempen itu hanya dilancarkan selepas kerajaan baharu berusia 22 bulan runtuh.
Sepatutnya kempen itu dilancarkan ketika SPRM teruk dipercaturkan beberapa tahun sebelum itu. SPRM tersepit dan media tidak berjuang bersama-sama membanteras salah guna kuasa.
Bagaimanapun, masih ada pemberani dalam SPRM. Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Shukri Abdull misalnya lantang mendesak JPM ‘memulangkan’ pengarah kanannya.
Beliau yang tanpa goyah mengaku bertanggungjawab memberikan arahan kepada kedua-dua pengarah kanan itu menjalankan siasatan berkenaan.
Ketika itu timbul banyak persoalan, sekiranya pertukaran Bahri amat perlu dilakukan, kenapa tidak menunggu beliau menyelesaikan siasatannya? Tidak ada jawapan, baik daripada JPM atau pun menteri bertanggungjawab.
Sekali air pasang, sekali pantai berubah. Sekali pertukaran politik arus utama, sekali jugalah SPRM menjadi alat politiknya.
Pemimpin politik pula yang diberi tugas menerajui SPRM. Sangat pelik, seorang pemimpin politik memimpin sebuah pasukan profesional membanteras rasuah.
Maka SPRM pun mendedahkan rakaman perbualan melibatkan tertuduh dalam kes SRC International yang sedang dalam perbicaraan pada satu sidang media.
Banyak dalam kalangan pengamal undang-undang geleng kepala. Inilah bahana Malaysia baharu. Sebaik sahaja selesai sidang media, rakaman perbualan itu tersebar ke seluruh negara.
Kenapa didedahkan kepada wakil media, bukan kepada mahkamah? Persoalan itu juga tidak ada jawapan menyakinkan. Cuma yang jelas ‘perbicaraan di media’ sama sekali tidak adil kepada tertuduh.
Tetapi apa yang hendak dikata, semuanya menjadi normal baharu pada era Malaysia baharu. Sekarang Malaysia baharu sudah tiada.
Bagaimana dengan isu Azam? Ulasan saya sedikit sahaja – memang isu Azam ini pelik. Tetapi semua itu sudah dijelaskan kepada umum.
Bagaimanapun, reaksi berlebihan daripada pihak tertentu adalah satu perancangan politik. Isu ini ada nilainya di pasaran politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15. Lihatlah siapa yang memberi reaksi berlebih-lebih?
Isu begini memang sangat memancing perhatian rakyat, apa lagi diperagakan dengan penuh emosi. Ada pihak menonjolkan diri sebagai penegak integriti dengan kambing hitamkan SPRM.
Sebaiknya kita tidak menjadi ikan mati yang dibawa arus yang sengaja dicipta. Jadilah ikan hidup yang menongkah arus dan memanfaatkan kebebasan berfikir. Dengan berfikir kita akan terhidu agenda sebenar di sebalik isu Azam.
PENULIS ialah Editor Kuseman.com.









