Bantuan pasca banjir tidak terlalu lewat - Utusan Malaysia

Bantuan pasca banjir tidak terlalu lewat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPERTIMANA diketahui, negara kita telah mengalami dua gelombang banjir, iaitu Gelombang Pertama dari 12 hingga 19 Disember 2021 dan Gelombang Kedua dari 27 Disember 2021 hingga 4 Januari 2022.

Meneliti segala perkembangan yang berlaku, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoalkan komitmen kerajaan memberi dan mengagih bantuan kepada mangsa banjir baru-baru ini.

Pertamanya, bila banjir melanda baru-baru ini, kerajaan telah mengeluarkan sejumlah wang daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi menggerakkan usaha menyelamat.

Sebanyak RM100,000 dari wang itu diagihkan kepada setiap agensi tindak balas, agihan RM20,000 bagi setiap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan pengagihan RM50,000 bagi setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Antara langkah lain yang diumumkan untuk membantu mangsa banjir adalah Baucar Diskaun Pembelian Alat Elektrik & Rebat Bil Elektrik Bulan 12/2021 dan GLIC/GLC Disaster Recovery Network (GDRN) dengan sumbangan sebanyak RM139.2 juta bagi membantu menyediakan keperluan asas kepada ketua isi rumah (KIR) yang terkesan.

Ini termasuk Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) Untuk Isi Rumah dan Pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Selain daripada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga mengumumkan pemberian beberapa bantuan lain seperti Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 kepada setiap KIR.

Bagi kerosakan rumah yang serius, kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000.

Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baharu.

Ada juga suara yang menyatakan bahawa pembayaran BWI lambat dibuat kepada mangsa banjir sedangkan fakta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menunjukkan sebaliknya.

Sehingga pukul 10 malam kelmarin, hanya 651 orang, atau 2.1%, daripada 31,176 KIR yang terlibat di dalam Gelombang Pertama Banjir yang berdaftar dengan Pusat Perpindahan Banjir (PPS) belum menerima BWI, iaitu 351 di Pahang dan 300 di Selangor.

Sehingga tempoh sama, hanya 197, atau 3.3%, daripada 5,937 KIR yang terlibat di dalam Gelombang Kedua Banjir yang berdaftar dengan PPS belum menerima BWI, iaitu 137 di Pahang dan 60 di Melaka.

Apa yang menimbulkan sedikit masalah ialah bila mangsa banjir tidak berdaftar dengan PPS dan memerlukan verifikasi maklumat di mana ini tidak boleh dibuat oleh ICU sendiri kerana ia bergantung kepada maklumat yang disahkan oleh pegawai daerah sebagai Pengarah JPBD.

Apatah lagi bila terdapat beberapa kejadian di dua negeri yang mempunyai mangsa banjir teramai, iaitu Selangor dan Pahang, dalam mana terdapat pertindanan nama penerima sehingga sebuah isi rumah menerima lebih daripada sekali BWI yang memerlukan semakan lebih teliti dibuat bagi mengelakkan ketirisan dana berlaku.

Bilangan KIR yang terlibat di dalam kedua-dua gelombang banjir yang tidak berdaftar dengan PPS dan sudah menerima BWI adalah 71,820 manakala 29,398 KIR belum menerima BWI, iaitu 17,487 di Selangor, 9,604 di Pahang, 2,068 di Melaka dan 239 di Kelantan.

Sepertimana disebutkan oleh Perdana Menteri, jika diikutkan beliau memang tidak mahu pemberian ini lewat, tetapi apabila melibatkan duit kerajaan yang ada audit dan sebagainya, menyebabkan ada butiran yang diperlukan, jadi bantuan akan sedikit lewat tapi tidak akan terlalu lewat seperti sebelum ini.

Malah, di peringkat kerajaan Selangor sekalipun, Exco Kebajikan Masyarakat, Pekerja dan Kerajaan Prihatin, V. Ganabatirau, mengakui bahawa pihaknya mendapat puluhan ribu permohonan daripada mangsa banjir, jadi proses untuk meluluskan permohonan ini mengambil sedikit masa.

Bilangan 108,085, atau 78.1%, daripada 138,331 KIR yang terlibat di dalam kedua-dua gelombang banjir, sama ada yang berdaftar dengan PPS ataupun tidak, yang sudah menerima BWI dalam tempoh yang singkat adalah satu pencapaian yang amat baik di pihak kerajaan.

Tahniah pegawai dan kakitangan di semua peringkat sama ada Persekutuan, negeri atau daerah yang telah banyak berkorban masa dan tenaga mereka untuk memastikan semua mangsa banjir mendapat pembelaan sewajarnya, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan ICU.

DR. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya