Tak kisah Muafakat Nasional terkubur? - Utusan Malaysia

Tak kisah Muafakat Nasional terkubur?

DATUK HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PAS dilihat berada dalam dilema sama ada terus kekal bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) atau kembali memilih UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Malah, kekalahan besar PN termasuk Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini memberi tamparan hebat sehingga ramai berpandangan bahasa strategi Pas memilih bersama PN merupakan satu kesilapan besar.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB di Kompleks Pas Kangar, Perlis baru-baru ini, Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN menjawab pelbagai persoalan berhubung situasi tersebut.

Hashim juga menyentuh mengenai kepentingan mempertahankan penyatuan ummah melibatkan Pas, UMNO dan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

UTUSAN: Ramai melihat strategi Pas memilih PN berbanding MN dalam PRN Melaka baru-baru ini sebagai gagal, pandangan Datuk?
HASHIM: Kita tidak gagal, kita tidak boleh hukum Pas sebagai gagal dalam usaha meletakkan perpaduan ummah itu sebagaimana matlamat akhir kita. Jadi, sekarang kita sudah berjaya separuh jalan dengan mengajak Bersatu bersama dan tinggal lagi, belum UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerimanya.

Bagaimanapun, kita berjaya mencapai sebahagian daripada matlamat kita ke arah perpaduan ummah. Jadi, walaupun PRN Melaka melihat Pas kalah semua kerusi, PN menang dua tapi kita juga melihat ia sebagai satu kejayaan apabila menumpaskan Pakatan Harapan (PH). Usaha ke arah penyatuan ummah ini tidak akan terhenti, apa jua halangan kita cuba berusaha atasinya sehingga tercapai perpaduan yang dituntut oleh Allah SWT.

Selepas tewas dalam PRN Melaka, apa pendirian Pas selepas ini? Bersama PN atau MN dalam menghadapi PRU15?
Insya- Allah pada 11 Disember ini, Majlis Syura akan bincang mengenai situasi ini dan menyatakan pendirian Pas. Kita tunggu, lihat bagaimana.

Akar umbi Pas dilihat lebih cenderung memilih MN daripada PN, pandangan Datuk?
Itu memang kita akui, namun kita sampai sekarang tidak pernah berhenti mengukuhkan MN, usaha ke arah itu terus berjalan di semua peringkat. Kita letak matlamat perpaduan, untuk mencapai sekurangnya-kurangnya tiga parti bersama dan nanti pilihan raya satu lawan satu, tetapi kita sudah berjaya di Melaka baru-baru ini, separuh jalan dan kini usaha menarik UMNO bersama dalam penyatuan ini. Penyatuan ini bukan kita yang tetapkan, tetapi Allah SWT yang tuntut. Sebab itu asas kita kukuh.

Ramai melihat formula MN membabitkan UMNO dan Pas adalah lebih berpeluang cerah di dalam pilihan raya. Mengapa Pas pilih jalan sukar untuk terus mempertahankan PN?
Kalau berlaku MN bersama PN yang diperjuangkan sekarang dapat bersatu dan bertanding satu lawan satu, kita akan berjaya menang banyak kerusi. Gabungan MN dan PN lebih berkelebihan sebenarnya.

Datuk melihat masa depan MN, adakah masih lagi boleh dipertahankan?
Saya begitu optimis masa depan MN cerah dan boleh dilaksanakan kerana yang menandatangani MN ini UMNO dan Pas sendiri yang terdiri daripada orang Melayu Islam. Agak mudah mengajak dua kumpulan ini bersatu berdasarkan penyatuan Islam ini.

MN ditubuhkan dengan pengorbanan dan linangan air mata selepas sekian lama dua parti terbesar orang Melayu Islam ini bertelagah, tidak sayangkah jika gabungan itu terkubur?
Itulah, saya selalu bangkitkan ketika mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO, sayang. Pada masa menandatangani piagam MN, saya hadir. Saya lihat sendiri linangan air mata pemimpin dan penyokong. Takkan nak biar begitu sahaja (terkubur), sayangilah hubungan ini. Bukan senang hendak satukan Pas dan UMNO selepas puluhan tahun bertelagah dan kita perlu pertahankan MN ini.

Peringkat akar umbi sama ada UMNO dan Pas, sayangkan MN. Di peringkat akar umbi juga sudah berpakat baik, kenapa hendak tinggalkan apa kita capai?

UMNO jelas menolak Bersatu dan Pas sedar mengenai situasi tersebut, bagaimana usaha Pas untuk terus memujuk UMNO?
Kita tidak berhenti memujuk dan akan terus berunding dan kita harap UMNO berlapang dada bukan kerana Pas tetapi suruhan Allah SWT supaya bersatu padu. Untuk ke arah itu, salah satunya kita perlu sentiasa bertemu, berbincang.

Ramai melihat Pas sekarang lebih pro terhadap Bersatu berbanding UMNO. Benarkah?
Zahirnya begitu, kerana Bersatu lebih mudah menerima ajakan penyatuan. Seruan kita diterima oleh Bersatu, ia lebih mudah. Kita harap UMNO mempunyai perasaan sama. Ada orang kata, Pas kerjasama dengan UMNO lebih untung daripada Bersatu, namun kita tidak melihat ke arah itu. Kita mahu ketiga-tiga parti ini, mesti bersatu.

Adakah Datuk melihat PH lebih berpeluang cerah dalam PRU15 jika menyaksikan pertembungan tiga penjuru?
Peluang PH akan lebih cerah kalau kita tidak bersatu. Kalau tidak mahu melihat PH kembali memerintah negara, kita perlu bersatu. Kalau tiga parti ini bersatu, harapan menang majoriti dua pertiga kerusi Parlimen dalam PRU15 lebih cerah.

Sebelum ini, Ketua Pemuda Pas memaklumkan bukan setakat dua kolam, 10 kolam juga Pas sedia main demi penyatuan ummah. Adakah bermaksud Pas boleh menerima parti-parti Melayu lain termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) demi penyatuan ummah?
Pintu terbuka bukan sahaja parti Melayu Islam, Amanah sekali pun kalau tolak DAP. Jangan bawa DAP bersama, kita terbuka
terima demi penyatuan ummah.

Dalam pemilihan Pas baru-baru ini, dikatakan pemimpin-pemimpin Pas yang cenderung MN seperti Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz semuanya tewas. Pandangan Datuk?
Dalam Pas tidak berpecah, kita menyokong memperkukuhkan MN dan mempertahankan PN. Dalam pemilihan, kalah menang adalah perkara biasa. Mereka juga dilantik semula dalam jawatankuasa Pas Pusat.

Adakah Pas akan bertanding dalam PRN Sarawak ?
Ya, kita mungkin bertanding, harapan untuk menang itu tidak mudahlah. Meskipun di Sarawak penerimaan terhadap Pas kurang berbanding di Semenanjung, namun kita ambil peluang mendekati rakyat dan memperluaskan pengaruh Pas di Sarawak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×