Sedekah melalui platform digital - Utusan Malaysia

Sedekah melalui platform digital

PERKEMBANGAN teknologi memberikan keselesaan kepada orang ramai untuk melakukan transaksi digital. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMASA Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, orang ramai tidak menghadapi masalah untuk membeli-belah kerana terdapat pelbagai platform beli-belah digital disediakan seperti Lazada dan Shopee yang masing-masing telah wujud sejak 2012 dan 2015.

Antara kelebihan platform terbabit adalah kita dapat menyemak status pembelian secara terus termasuk mengetahui di mana barangan berada sama ada sedang dibungkus atau telah berada di pusat kargo.

Terdapat juga status komen pembeli lain bagi mengetahui sama ada penjual boleh dipercayai atau tidak.

Oleh itu, sudah sampai masanya sumbangan wang kepada pihak yang memerlukan menggunakan kaedah sama.

Maksudnya, sumbangan dibuat tanpa tunai sepenuhnya dengan mengadaptasi platform digital yang sangat sinonim dengan arus teknologi kewangan terkini.

Untuk memastikan perkara ini menjadi kenyataan, kolaborasi pelbagai pihak perlu dibuat termasuk badan-badan amal dan entiti bukan berasaskan keuntungan yang terlibat secara langsung menyampaikan bantuan dan sumbangan kepada pihak memerlukan.

Dalam konteks Islam, sumbangan dikenali sebagai infak yang bermaksud menghabiskan atau membiayai.

Pendek kata, infak ditakrifkan sebagai tindakan mengetepikan sebahagian harta untuk kepentingan diperintahkan dalam ajaran Islam dan hasil sumbangan boleh diedarkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa had.

Bayaran tanpa sentuhan atau digital untuk aktiviti amal akan menjadi lebih penting kerana hampir semua badan amal dapat melaksanakan pembayaran tanpa sentuhan.

Aktiviti amal dalam talian memudahkan kedua-dua belah pihak baik yang ingin memberi sumbangan mahupun yang menerimanya.

Budaya prihatin ini dapat diteruskan tanpa perlu berhubungan secara langsung dan dapat menghindari bahaya wabak Covid-19.

Covid-19 menyaksikan perubahan sektor amal secara drastik. Platform sumbangan atau penyampaian perkhidmatan turut dipindahkan ke laman web dan platform persidangan video, sumbangan dana dalam talian dan secara maya, penglibatan penderma menjadi hampir sepenuhnya digital.

Justeru, budaya ini bukan sahaja dapat memudahkan semua urusan, bahkan dapat mengurangkan kos pentadbiran.

Sebilangan besar praktis dan budaya amal ini harus diteruskan walaupun sekatan jarak sosial makin berkurang.

Badan amal di seluruh dunia telah mengalami transformasi digital yang luas dan memberangsangkan dan amat penting untuk mengekalkan momentum digital dan menyesuaikan diri dengan norma baharu.

Sumbangan tanpa tunai dapat mewujudkan tadbir urus yang lebih telus, meningkatkan akauntabiliti, mengurangi risiko kehilangan dana dan mengoptimumkan kempen sumbangan dengan lebih baik.

Kesimpulannya, usaha ini harus diteruskan oleh segenap lapisan masyarakat tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

ROHAIZA KAMIS, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya