COPENHAGEN: Koleksi syiling milik seorang hartawan mentega Denmark yang mencecah hampir 60 juta pound (RM356 juta) akhirnya dilelong 100 tahun selepas beliau meninggal dunia.
Lars Emil Bruun, yang dilahirkan pada tahun 1852 menegaskan dalam wasiatnya bahawa koleksi 20,000 keping yang dikumpulkan sepanjang hayatnya mesti dijaga selama 100 tahun sebelum boleh dijual.
Selepas lebih satu abad, rumah lelongan syiling yang berpangkalan di New York, Stack’s Bowers akan menjual koleksi itu pada musim luruh ini.
Beberapa jualan yang digelar sebagai koleksi syiling dunia paling berharga pernah berada di pasaran itu dirancang untuk diadakan pada tahun-tahun akan datang.
Pada tahun 1800-an, perusahaan tenusu Bruun menjadikan beliau kaya raya hingga membolehkannya mengumpul syiling, pingat, token dan wang kertas dari Denmark, Norway dan Sweden.
Sejak kematiannya, koleksi itu disimpan di bekas kediaman Diraja Denmark di Frederiksborg Castle, sebelum dihantar ke Bank Negara Denmark.
Naib Presiden Numismatik di Stack’s Bowers Galleries, Vicken Yegparian menggelar koleksi itu khazanah terbaik yang pernah ada.
“Apabila saya mula-mula mendengar tentang koleksi itu, saya berasa tidak percaya. Kami mempunyai koleksi yang berada di luar pasaran selama lebih 100 tahun,” katanya.
Muzium Negara Denmark turut membeli tujuh syiling Raja Denmark dan Norway yang jarang ditemui dari abad ke 15 dan 17 berharga lebih 877,000 pound (RM5.2 juta).
Penyelidik kanan dan pakar duit syiling Muzium Negara, Helle Horsnaes berkata koleksi unik itu digambarkan dalam kesusasteraan sebagai satu-satunya spesimen yang pernah wujud.
“Fakta bahawa koleksi ini disembunyikan selama seratus tahun menjadikannya legenda. Ia seperti cerita dongeng,” katanya.-AGENSI










