Salahkah apabila alam plagiat? - Utusan Malaysia

Salahkah apabila alam plagiat?

SEORANG remaja perempuan bekerja di lombong emas di wilayah Yukon, Kanada pada 1898 (kiri) dan Enzo Ferrari pada 1920 (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBENARNYA terdapat dua isu yang mahu disentuh. Pertama, ketika ini rakyat sibuk membincangkan isu perubahan iklim yang menyaksikan kawasan yang jarang dilanda banjir seperti Shah Alam dan Klang, Selangor mula mengalami bencana itu.

Isu kedua, adalah mengenai perbuatan seorang penyair tempatan yang didakwa memplagiat karya ternama untuk disiarkan dalam salah satu majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada November lalu.

Mungkin ada yang bertanya apa kaitan antara banjir dan plagiat? Ada kaitannya jika kita menyentuh perihal aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, 18, yang sudah pun memberi amaran bahawa perubahan iklim akan menyebabkan fenomena cuaca luar biasa yang tidak dijangka.

Ketika berucap dengan penuh kemarahan pada Sidang Kemuncak Tindakan Iklim 2019 di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York beliau menyifatkan pemimpin-pemimpin dunia yang memandang remeh perubahan iklim sebagai angkuh.

“Keseluruhan ekosistem runtuh. Kita berada di permulaan kepupusan besar-besaran dan apa yang anda boleh bercakap hanya tentang wang dan cerita dongeng pertumbuhan ekonomi yang berkekalan. Beraninya awak,” katanya.

Sebenarnya, terdapat sekeping gambar yang disimpan dalam arkib Universiti Washington, Amerika Syarikat (AS) yang dirakam jurugambar Eric A. Hegg memaparkan seorang remaja perempuan sedang bekerja di lombong emas di Dominion Creek, wilayah Yukon, Kanada pada 1898.

Wajah remaja itu sangat serupa dengan paras Thunberg yang hanya dilahirkan 105 tahun selepas tarikh itu pada 2003.

GRETA THUNBERG

Kebetulan itu mengingatkan kita kepada satu lagi gambar dirakam pada 1920 yang memaparkan pengasas syarikat pengeluar kereta dari Itali, Ferrari iaitu Enzo Ferrari sedang memandu sebuah kereta lumba.

Wajahnya sangat serupa dengan pemain bola sepak Jerman, Mesut Ozil, 33, yang dilahirkan pada 1988, dua bulan selepas Ferrari meninggal dunia pada usia 90 tahun.

MESUT OZIL

Jika kita sekarang sedang menghadapi kesan buruk fenomena perubahan iklim yang dahsyat, maka apa yang mahu disentuh adalah satu lagi fenomena lain yang juga luar biasa apabila alam memplagiat wajah orang lain dan meletakkan pada rupa muka individu berlainan.

Saintis sehingga kini masih belum dapat mencari jawapan punca fenomena terbabit tetapi satu kesimpulan yang boleh dibuat ialah asid deoksiribo­nukleik (DNA) yang menjadi penentu dominan rupa muka seseorang mempunyai had dan akan berlaku kitar semula wajah.

Adakah kita mempunyai hak cipta terhadap wajah dan siapakah yang harus dipersalahkan kerana memplagiat paras serupa dengan kita?

HADIAH NOBEL
Dalam pada itu, plagiat juga mempunyai kebaikan seperti yang ditemui tiga ahli sains yang memenangi Hadiah Nobel Perubatan 2009.

Penemuan oleh Elizabeth Blackburn, Carol Greider dan Jack Szostak mendapati wujud pelindung yang dikenali sebagai telomer pada kromosom yang terdapat dalam sel-sel tubuh manusia.

Kromosom yang di dalamnya terdapat DNA akan sentiasa melalui proses salinan semula dan seseorang itu boleh sentiasa muda jika salinan atau plagiat itu dibuat sempurna 100 peratus.

Malangnya, itu tidak berlaku dan menurut tiga ahli sains terbabit, ia disebabkan pelbagai punca terutamanya stres.

Ini menyebabkan setiap kali salinan sel dibuat, telomer menjadi semakin pendek yang menyebabkan seseorang itu semakin tua dan mudah diserang pelbagai jenis penyakit.

Menurut satu kajian lain oleh penyelidik dari AS, Gregg Braden, jika tiada sebarang usaha dilakukan bagi menghentikan pemendekan telomer, jangka hayat seseorang itu hanya mampu mencapai maksimum 120 tahun. Sebab itu, jarang kita melihat manusia melebihi usia tersebut.

Menurut Braden, rata-rata individu yang disoalnya enggan hidup pada usia terlalu tua kerana umur berkenaan sering dikaitkan dengan pelbagai jenis penyakit.

Bagaimanapun, beliau berpendapat tubuh manusia boleh kekal sihat sehingga usia 200 tahun jika dapat mengurangkan stres seperti dibuktikan bekas tentera China yang meninggal dunia pada 1933, Li Ching-Yuen dari Sichuan.

Majalah Time keluaran 15 Mei 1933 menyiarkan semula temu bual dengan Ching-Yuen yang mendedahkan rahsia dia dapat hidup lama dengan menyebut:

“Pastikan jantung sentiasa tenang, duduk seperti kura-kura, berjalan dengan penuh tenaga seperti burung merpati dan tidur seperti anjing.”

Menurut kajian oleh Institut HeartMath di AS, untuk mewujudkan jantung yang tenang dan mengurangkan stres, seseorang itu hendaklah sentiasa mengamalkan sifat unconditional love (kasih sayang tanpa syarat), compassion (belas kasihan), care (mengambil berat), appreciate/gratitude (bertindak bagi menunjukkan penghargaan/perasaan bersyukur) dan forgiveness (memaafkan).

Tindakan tersebut akan mengaktifkan enzim (bahan kimia) telomerase yang boleh membantu memanjangkan telomer dan menjadikan sel-sel tubuh kita sentiasa muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×