PAGI Ahad lalu seorang sahabat bertanya kenapakah cadangan kerajaan meminda Akta 342 itu menimbulkan keresahan? Saya jawab ada beberapa sebab; antaranya ada pihak yang melihatnya sebagai sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa.
Pada 15 Disember lalu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan cadangan Kementerian Kesihatan membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) wajar diteliti semula.
Kata beliau, terdapat hukuman dalam pindaan Akta 342 itu yang ‘sangat tidak munasabah’, termasuk denda maksimum RM10,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya bagi individu melanggar prosedur operasi standard (SOP) seperti gagal memakai pelitup muka serta penjarakan fizikal.
Mohamad juga menyatakan bahawa RUU itu tidak menyertakan garis panduan untuk mengeluarkan kompaun. Tambahnya lagi: “Alasan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bahawa ia sedang diperhalusi dan akan dimuktamadkan selepas undang-undang itu diluluskan adalah tidak menepati objektif pindaan ini.”
Beliau melihat RUU yang hendak dibentangkan itu masih lagi bersifat piecemeal (sedikit demi sedikit), yang menunjukkan ketidaksediaan Kementerian Kesihatan menggubal pindaan terbabit.
Sebelum itu, Noor Hisham ada menyatakan (dalam sidang media khas mengenai RUU pindaan Akta 342 itu) bahawa ia mengandungi lima peruntukan baharu dan lima pindaan yang sebelum ini wujud dalam Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.
UNDANG-UNDANG LAMA
Noor Hisham turut menjelaskan bahawa Akta 342 adalah satu undang-undang lama dan pindaan yang dibuat terhadapnya sebelum ini hanya membabitkan senarai penyakit berjangkit. Untuk menangani Covid-19, banyak peraturan digunakan bagi menguatkuasakan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan pandemik itu dalam negara.
Peraturan tersebut dibuat di bawah Ordinan Darurat yang diluluskan oleh kerajaan sewaktu Parlimen tidak bersidang, tetapi dengan berakhirnya tempoh darurat, kesinambungan perlu dicari disebabkan Ordinan Darurat itu sudah tamat kuat kuasanya.
Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr. Norhayati Rusli, yang turut hadir dalam sidang media yang sama memperincikan kandungan RUU itu. Mengikutnya, cadangan lima peruntukan baharu dan lima pindaan itu membabitkan Bahagian I, Bahagian IV, Bahagian V dan Bahagian VI, Akta 342 yang sedia ada.
“RUU ini membabitkan perintah pengasingan atau pengawasan terhadap individu yang dijangkiti wabak dan mereka yang disyaki; perintah pemakaian atau penggunaan peranti pengesanan atau alatan yang seumpama dengannya; arahan Ketua Pengarah; penguatkuasaan peruntukan dalam Akta 342 dan kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan,” kata Norhayati lagi.
MINTA SOKONGAN AHLI PARLIMEN
Khamis lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, merayu semua ahli Parlimen memberi sokongan padu kepada kementeriannya dengan meluluskan RUU ini apabila dibentangkan di Dewan Rakyat, semalam.
Tambah beliau, pindaan Akta 342 ini penting kerana matlamatnya adalah membanteras “kesalahan berulang” selain mendepani ancaman gelombang Covid-19 varian Omicron. Beliau berjanji akan duduk bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan “untuk memperhalusi garis panduan dan peraturan” berhubung pindaan Akta 342 ini.
“Saya merayu kepada ahli Parlimen untuk bantu Kementerian Kesihatan meluluskan pindaan ini dan kita akan perhalusi garis panduan dan peraturan pada minggu depan. Mustahil bagi saya untuk memasukkan perincian dalam akta, takkan saya nak masukkan denda pelitup muka dan sebagainya dalam akta ini,” katanya.
Untuk membolehkan kerajaan membentangkan RUU ini di Dewan Rakyat, Yang Dipertuanya, Tan Sri Azhar Azizan Harun, mengumumkan bahawa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-14 2021 ditambah sehari lagi, iaitu semalam.
Penambahan hari bagi sidang Dewan Rakyat itu adalah di bawah persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Ketua Majlis, dan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Pengumuman penambahan hari itu menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan beberapa ahli Parlimen yang mempersoal kenapa penambahan hari itu tidak diberitahu lebih awal. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan pembentangan RUU itu ditangguh pada sesi mesyuarat akan datang.
PERLU ADA PERATURAN
Dalam sejarah perundangan negara, kita biasa melihat akta baharu diluluskan oleh Parlimen, tetapi tarikh penguatkuasaannya kemudian ditangguhkan beberapa tahun, disebabkan peraturan di bawah akta itu yang lebih terperinci belum dapat disediakan.
Lazimnya, suatu akta itu pendek sahaja manakala kandungannya bersifat umum. Oleh itu, ia perlu disokong oleh peraturan atau kaedah yang lebih terperinci. Juga pernah berlaku peraturan dan kaedah itu sendiri sukar difahami, dan ini memerlukan garis panduan disediakan untuk lebih jelas dan mudah dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.
Walaupun suatu akta baharu itu (atau pindaan satu akta lama) dapat kita wujudkan dalam sehari dua, tetapi sekiranya penggubalan peraturan atau kaedah di bawahnya (dan garis panduan, jika perlu juga) akan mengambil masa yang lama, tidak ada salahnya tindakan mewujudkan akta baharu itu ditunda dulu.
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.











