MUKADIMAH
MENUJU 2022, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menjangkakan rakyat negara ini bakal terus berdepan harga barang tidak stabil disebabkan beberapa faktor.
Selain orang tengah menguasai rantaian pemasaran serta bekalan, ketiadaan dasar serta road map (hala tuju) untuk menjadi sebuah negara berdikari dalam pengeluaran makanan merupakan antara punca utama mengapa pengguna akan terus terbeban dengan kenaikan kos makanan.
Bersama wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI dan jurufoto, IQBAL HAMDAN, Presiden CAP, MOHIDEEN ABDUL KADER memberi pandangan mengenai hala tuju patut dilaksanakan kerajaan dalam memastikan pengguna tidak terus menjadi mangsa ekoran sistem bekalan makanan yang tidak memihak kepada mereka.
UTUSAN: Kenaikan harga barangan makanan merupakan antara masalah yang saban kali berlaku sehingga menyebabkan pengguna terkesan. Apa puncanya?
MOHIDEEN: Kita menghadapi masalah kerana pandemik Covid-19 menyebabkan hubungan perdagangan terputus. Akibatnya, pembekalan berkurangan malah ringgit (RM) menurun dan menyebabkan barangan import mengalami peningkatan harga sehingga harga barangan di negara kita turut naik.
Selain itu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab membuat keuntungan besar. Ini juga satu masalah yang agensi kerajaan kena tangani segera. Barang-barang makanan tempatan pun kita hadapi masalah.
Jadi, kerajaan kena ambil tindakan terhadap orang tengah yang buat keuntungan besar atas angin ketika masalah ini berlaku. Mereka ini perlu dikenakan tindakan tegas seperti penarikan lesen sekiranya terbukti berlaku.
Ada punca lain menyebabkan kenaikan harga barangan terus berlarutan?
Bagi banyak barang seperti rempah, kenapa kita tidak boleh keluarkan sendiri tetapi sayur-sayuran kita import dari Thailand, Indonesia? Kenapa kita tidak dapat tanam sendiri?
Ini menunjukkan kerajaan tidak memberi tumpuan yang cukup dalam bidang pertanian. Kerajaan hanya fokus pada tanaman komersial seperti kelapa sawit dan getah semata-mata.
Pertanian makanan tidak diberikan fokus mendalam, tidak ada banyak peruntukan cukup untuk jadikan Malaysia negara berdikari (self sufficient) dalam menghasilkan makanan sendiri.
Bagi saya, ia berpunca atas dasar kita. Negara kita tidak ada satu rancangan atau pelan yang berstruktur tentang macam mana kita akan capai negara berdikari dalam tempoh 20 atau 30 tahun lagi.
Apa punca lain yang menyebabkan negara kita gagal menjadi negara berdikari dalam menghasilkan makanan sendiri?
Secara umum ada, namun pelaksanaannya tiada. Tiada road map (hala tuju) yang kerajaan kita pantau sama ada kira capai sasaran dalam pelan yang telah mereka buat.
Kita ambil contoh harga ayam melompat, puncanya disebabkan Malaysia import makanan ayam dari luar. Kenapa kita tidak keluarkan makanan ayam sendiri dan kita perlu import dari Thailand?
Apa bezanya kita dengan Thailand dari segi tanah, iklim dan sebagainya?
Kita negara berjiran, namun Thailand boleh keluarkan dan eksport makanan ayam, mengapa kita tidak keluarkan makanan ayam untuk kegunaan sendiri?
Tidak terlambat untuk Malaysia mulakan industri pertanian sehingga menjadi negara berdikari dalam pengeluaran bahan makanan sendiri?
Malaysia boleh buat kalau betul-betul kita mahu laksanakan. Kerajaan perlu tubuhkan satu jawatankuasa khas yang di dalamnya ada pakar pertanian, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna di mana kita boleh fikir cara untuk kita capai negara berdikari.
Di negara-negara maju, matlamat untuk menjadi sebuah negara berdikari serta mempunyai keselamatan makanan adalah satu agenda global. Kita perlu ada agenda sebegini.
Tetapi perlu diingatkan, tidak guna kalau kita ada agenda dan polisi, namun secara umum tanpa satu rancangan dengan hala tuju dan badan bebas yang boleh pantau pencapaian semua. Kita perlukan itu semua.
Antara negara yang ada pelan sedemikian adalah Jepun dan Korea Selatan. Sebelum ini Korea Selatan lagi mundur daripada Malaysia. Saya masih ingat semasa saya masih muda sekitar 1950-an, 1960-an, Korea Selatan sangat mundur dari segi ekonomi dan sukan.
Kita ada tanah, sumber asli, rakyat yang mahir, semua ada belajar di universiti, namun sekarang kenapa kita di belakang Korea Selatan?
Apa yang membuatkan kita terkebelakang dalam menangani masalah bekalan makanan?
Pemimpin kita sangat tertarik dengan industrialization (perindustrian) sehingga lupa betapa pentingnya makanan untuk kita. Makanan menjadi agenda kedua negara berbanding industri tetapi kita lupa betapa pentingnya kesinambungan makanan untuk rakyat.
Kita punya dasar, namun pelaksanaan, sasaran semua tidak ada. Satu badan bebas untuk memantau sasaran plan juga tiada, itu kelemahan kita.
Baru-baru ini, saya turut serta dalam perbincangan mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Seorang profesor membangkitkan perkara ini di mana dia menyatakan bahawa kita ada banyak proposal (cadangan) tetapi tidak ada pelaksanaan di mana kita hanya mengulang polisi. Tidak ada kemajuan dicapai, jadi sebab itu kita tidak boleh bertanding dengan negara-negara dunia ketiga yang lain, Malah Vietnam juga 10 tahun lagi akan menjadi Harimau Asia dari segi ekonomi dan bekalan makanan.

Adakah orang tengah turut menyumbang kepada permainan harga bahan makanan?
Ya, orang tengah turut menyumbang kepada permainan harga. Kita kena buang kartel ini. Kalau kita mahu jual ikan, mesti ikan daripada nelayan ke meja pengguna dan jangan ada orang tengah.
Memang agak sukar untuk menghapuskan orang tengah ini kerana orang tengah juga memainkan peranan dalam sistem kita, bukan senang untuk hapuskan begitu sahaja.
Jika dihapuskan orang tengah, siapa pula yang akan memainkan peranan mereka? Siapa yang mahu bertanggungjawab?
Kita ada agensi seperi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan sebagainya. Agensi-agensi seperti inilah yang patut mengambil peranan menggantikan orang tengah, namun mereka bertugas setakat pukul 8 pagi hingga 5 petang sahaja. Agensi-agensi berkaitan tidak ada hubungan dengan nelayan dan petani.
Jadi, sukar untuk hapuskan orang tengah sama sekali?
Tidak mustahil untuk kita hapuskan orang tengah. Kalau kita tidak dapat kurangkan orang tengah, kita kawal mereka supaya mereka tidak mengambil kesempatan dan membuat untung besar.
Kita boleh lakukan. Kalau manusia boleh sampai ke bulan, kenapa benda kecil kita tidak dapat lakukan? Terpulang kepada kerajaan dan pembuat dasar, kalau mereka fokus, mereka boleh laksanakan.
CAP sendiri sudah lama berjuang, Baru baru ini, kita timbulkan isu kenaikan harga sayur. Namun, bukan rakyat yang marah kita, tetapi ada pegawai agensi kerajaan yang marah apabila CAP suarakan isu ini. Selepas CAP bangkitkan hal ini, isu sama juga berlaku di Selangor, Kedah dan negeri lain. Inilah kegagalan sistem agensi kita, sistem sedia ada tidak berjalan dengan betul dan sempurna.
Apa yang perlu kerajaan lakukan untuk memastikan pengguna tidak terus terbeban?
Setiap isu kita kena cari punca, apa yang menyebabkan ia berlaku.
Memang ada makanan kita import dari luar negara. Kita perlu bincang dengan saintis dan pengeluar makanan di dalam negara bagaimana untuk atasi kekurangan ini.
Sebagai contoh, Korea Selatan sangat maju. Generasi muda di sana menceburi bidang pertanian dan menggunakan teknologi baharu. Malah, mereka turut mengambil berat isu alam sekitar.
Seperti negara ini, kita ada kolej pertanian, beribu graduan pertanian. Di mana mereka ini? Mereka ada pengetahuan dalam bidang pertanian, jadi mereka mesti boleh lakukan.
Bertindaklah segera kepada golongan yang mahu mengambil untung sahaja. Kuatkuasakan undang-undang dan tambah baik pemantauan, ini adalah langkah jangka pendek yang dapat diambil.
Kita mempunyai banyak tanah yang subur. Kerajaan mesti beri galakan kepada petani yang tahu pasal pertanian untuk meningkatkan produktiviti mereka.
Selain tindakan kerajaan, apa yang boleh dilakukan pengguna untuk mengurangkan impak kenaikan harga barangan?
CAP amat menggalakkan orang ramai untuk menanam makanan sendiri. CAP sendiri mempunyai program untuk mengajar penduduk bandar menanam sendiri makanan mereka. Sebenarnya 50 peratus keperluan makanan kita boleh tanam sendiri.
Kerajaan mula sambut perkara ini dan di setiap komuniti mesti ada dimulakan pertanian secara kebun bandar.
Rakyat juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan. CAP telah melaksanakan projek kebun bandar komuniti ini di pejabat CAP, di sekolah dan kita dapati minat rakyat untuk menanam sendiri makanan mereka mulai ada.
Menjelang 2022, apa harapan CAP mengenai isu harga dan bekalan makanan agar pengguna tidak menjadi mangsa permainan harga?
Kerajaan perlu bertindak dengan mewujudkan dasar yang konkrit, yang mempunyai pasukan pemantau bagi memastikan keselamatan makanan dapat dicapai. Malaysia perlu menjadi sebuah negara berdikari dalam pengeluaran makanan.
Selain itu, rakyat juga perlu memainkan peranan dengan menanam sendiri makanan mereka. Kita boleh bela ayam sendiri, tanam sayur-sayuran yang mudah ditanam sendiri.
Kita tidak boleh menjadi masyarakat yang mengharapkan 100 peratus bantuan dan solusi daripada kerajaan semata-mata. Jangan jadi masyarakat yang terlalu bergantung kepada kerajaan.
Kita akan hadapi isu berkaitan harga makanan ini sampai bila-bila sekiranya tiada langkah segera diambil kerajaan, singkirkan kartel dalam pengeluaran makanan dan siasat siapa yang menjadi dalang semua ini.











