Mengejar semula yang keciciran - Utusan Malaysia

Mengejar semula yang keciciran

Kanak-kanak dari masyarakat Orang Asli suku kaum Kensiu berkongsi menggunakan telefon pintar di Kampung Lubuk Legong, Baling, Kedah. pada awal tahun ini. - MINGGUAN/Shahir Noordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS beberapa bulan pandemik Covid-19 melanda dunia, badan dunia seperti OECD UNICEF dan UNESCO mengeluarkan laporan awal berkaitan impak Covid kepada pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia. OECD mengeluarkan laporan bertajuk The Impact of Covid-19 On Education pada Jun 2020.
Laporan ini menjelaskan wujudnya apa yang disebut sebagai keciciran pendidikan besar-besaran kepada negara-negara di dunia kerana penutupan sekolah.
OECD meramalkan lebih satu bilion anak-anak akan terkesan pendidikan mereka khususnya dalam kalangan negara yang tidak mempunyai persediaan infra Internet dan peranti yang baik manakala dalam kalangan negara kaya yang mempunyai infra jaringan Internet dan pemilikan peranti yang baik impak didapati lebih rendah.
UNESCO juga mengeluarkan laporan awal mereka pada Ogos 2020 yang bertajuk Education During Covid-19 and Beyond yang menyatakan kesan pandemik kepada lebih 1.6 bilion murid di seluruh dunia.
Apa yang lebih membimbangkan, 99 peratus murid yang terkesan teruk pendidikan mereka dalam kalangan murid dari negara berpendapatan rendah dan sederhana.
UNICEF pula mengeluarkan satu laporan bertajuk Averting a Lost Covid Generation sempena hari kanak-kanak sedunia pada November 2020.
Dilaporkan sehingga November 2020, impak langsung pendidikan kepada lebih 572 juta kanak-kanak yang paling teruk terkesan adalah di 30 negara yang sistem pendidikan mereka ditutup sepenuhnya sejak pandemik Covid-19 melanda dunia sepanjang 2020.
Di dalam semua kajian agensi dunia ini, dua istilah keciciran digunakan.
Pertama, keciciran pembelajaran (learning lost) yang merujuk kepada murid-murid yang masih bersekolah tetapi berada di dalam keadaan sukar, tidak fokus, tidak stabil untuk menguasai pembelajaran akibat sesi persekolahan juga dibuka dan ditutup bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik. Antara kesannya, murid hilang motivasi untuk meneruskan pembelajaran dan tahap penguasaan akademik mereka merosot.
Istilah kedua, keciciran pendidikan (lost generation) yang merujuk kepada murid-murid yang langsung tidak dapat meneruskan persekolahan dalam satu jangka masa panjang sehingga meningkatkan kadar buta huruf atau terus berhenti sekolah.
Keciciran pendidikan juga dibimbangi akan lebih terkesan kepada negara yang menutup hari persekolahan terlalu lama dan pada masa sama tidak mempunyai kaedah pembelajaran jarak jauh dari rumah secara berkesan. Kesannya, murid-murid ini berkemungkinan buta huruf jika tiada intervensi pemulihan semula untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.
Bagaimana keciciran pembelajaran berlaku? Kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 18 hingga 21 April 2020 mengesahkan murid-murid di negara ini belum bersedia melakukan pembelajaran secara dalam talian (PdPR).
Pertama, data kajian KPM menunjukkan hampir 1.85 juta murid tidak mempunyai peranti untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian manakala dalam kalangan murid yang mempunyai peranti, 90 peratus daripada mereka meminjam atau berkongsi dengan ahli keluarga lain. Hanya 10 peratus murid yang benar-benar memiliki peranti peribadi untuk tujuan pembelajaran secara PdPR.
Bagaimanapun, apabila KPM masih meneruskan kaedah PdPR sebagai kaedah utama didapati ramai murid khususnya di pedalaman dan murid-murid miskin tidak mampu hadir ke kelas secara dalam talian. Kehadiran mereka sangat rendah dan ada yang terus tidak hadir untuk satu jangka masa yang lama.
Satu kajian berkaitan kesediaan dan cabaran guru melaksanakan PdPR telah dijalankan terhadap 1,742 guru oleh Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan berlaku keciciran pembelajaran apabila 80 peratus guru mengakui kesukaran untuk menyampaikan pengajaran dan pembelajaran secara PdPR khususnya di dalam memastikan murid-murid kekal fokus dan bermotivasi kepada sesi pembelajaran.
Kenyataan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin di Parlimen pada 20 September lalu mengesahkan keberkesanan PdPR tidak mencapai tahap yang baik dan melancarkan KPM PerkasaKu sebagai intervensi sementara untuk memulihkan masalah keciciran pembelajaran khususnya di tahap satu sekolah rendah. Apabila keciciran pembelajaran berterusan dalam satu jangka masa lama, kesan akhirnya akan berlakulah lost generation.
Mohd. Radzi sebelum ini pada 11 Oktober tahun lalu melaporkan di Dewan Rakyat kadar keciciran pendidikan di negara ini meningkat berbanding 2019.
Bagi sekolah rendah kadarnya meningkat dari 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.13 pada 2020 manakala bagi kadar keciciran sekolah menengah pula telah meningkat daripada 1.14 peratus pada 2019 kepada 1.26 peratus bagi 2020.
Minggu lalu, KPM memaklumkan seramai 21,316 murid berhenti sekolah. Angka murid yang mengambil keputusan berhenti sekolah sebelum menamatkan tahun persekolahan sangat membimbangkan kita.
Kajian oleh Bank Dunia pada 29 Oktober lalu menunjukkan lebih 70 peratus kanak-kanak berhadapan risiko berhenti sekolah ketika pandemik berlaku dalam kalangan negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Apabila ibu bapa tidak lagi mampu membiayai persekolahan termasuk menyediakan pengangkutan dan bahan pembelajaran, ada yang memberhentikan persekolahan anak-anak mereka.
Pelan Pemulihan Pendidikan Negara diperlukan segera untuk mengenal pasti kumpulan keluarga miskin yang perlu diberikan bantuan dan sokongan untuk mengelakkan anak-anak mereka berhenti sekolah.
Pelan ini perlu memokuskan bantuan kewangan persekolahan, sokongan kesihatan mental, rancangan makanan tambahan yang lebih menyeluruh kepada golongan B40 dan M40.
Ini akan memberikan peluang untuk anak-anak kembali menguasai pembelajaran yang keciciran sepanjang pandemik melanda negara sejak 22 bulan lalu.

DR. Anuar Ahmad ialah Pensyarah di Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya