Lindungi pusaka orang Melayu - Utusan Malaysia

Lindungi pusaka orang Melayu

TERDAPAT tanah rizab Melayu yang lokasinya strategik dan berpotensi untuk dibangunkan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH rizab Melayu (TRM) atau lebih dikenali sebagai tanah simpanan Melayu merupakan pusaka milik orang Melayu yang perlu dilindungi, dipelihara, dimanfaatkan dan dibangunkan selaras dengan aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Malaysia.

Bagaimanapun, didapati tanah di bawah kategori TRM masih ketinggalan dalam aliran pembangunan kerana beberapa isu dan halangan yang menjadi isu nasional.

Terdapat TRM yang lokasinya strategik dan berpotensi untuk dibangunkan seiring dengan tanah bukan berstatus TRM seperti yang lain.

Namun, bagi merangka pembangunan mampan, kita memerlukan bank data yang komprehensif dan telus dari pihak berwajib khususnya data terkini daripada pihak berkuasa negeri.

Kelemahan bank data yang terhad dan tidak komprehensif ini menyebabkan pelbagai pihak yang berkepentingan terhadap TRM menghadapi masalah di dalam merangka pembangunan secara holistik.

Bank data TRM yang baik perlulah menerapkan beberapa perkara penting iaitu dari segi garis panduan dan prosedur penyelidikan, pengumpulan dan penyaluran data yang jelas.

Ia perlu mengenal pasti kualiti data TRM, serta komunikasi dua hala yang baik di dalam menyalurkan dan membekalkan data melalui sistem integrasi pendigitalan bagi melancarkan proses serta memperkukuh bank data TRM.

Kerjasama antara pemain industri hartanah bumiputera, ahli akademik, pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat dengan tadbir urus tanah, wakil dari institusi kewangan, serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergerak aktif dalam memperjuangkan isu TRM bagi memperkasa bank data dengan maklumat-maklumat terkini perlu ditingkatkan.

Koordinasi yang baik di dalam pengurusan data dan melakukan penyelidikan secara kerjasama dapat memberikan hasil yang bernilai terhadap bank data sedia ada dan secara tidak langsung memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu melalui strategi pembangunan yang berkesan.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu diperkasakan bagi memastikan pembangunan negara yang lebih inklusif dan bermakna dapat dicapai, selaras dengan pembentukan masyarakat sejahtera yang telah dirangka di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memfokuskan terhadap tiga dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kejuruteraan sosial.

Dengan kewujudan R&D yang komprehensif dan memperkukuhkan sistem bank data TRM, tidak dinafikan lagi bahawa ia mampu menyokong aspirasi Malaysia untuk membangunkan TRM secara holistik.

Inisiatif kerajaan terhadap TRM dapat dilihat dengan memperuntukkan sejumlah RM750 juta dalam Bajet 2021 untuk meningkatkan nilai pegangan bumiputera dalam sektor hartanah.

Kerjasama yang jitu dalam memperkasakan TRM demi masa depan amat diperlukan dan diharap kerajaan dan pihak berkuasa negeri dapat bersama-sama memikirkan secara fokus bersama pakar bagaimana membentuk pembangunan mampan TRM di masa akan datang.

PROFESOR Dr. Abdul Hadi Nawawi dan Siti Hasniza Rosman dari Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×