fbpx

23 Januari 2022, 6:53 am

  TERKINI

JPA perlu ada perasaan belas kasihan

ADAKAN sesi penerangan dan motivasi kepada penjawat awam yang enggan disuntik vaksin supaya mereka insaf. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 8 November lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman mengesahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih belum mengambil tindakan kepada kakitangan kerajaan yang tidak mengambil vaksin walaupun tempoh terakhir berbuat demikian pada 1 November lalu telah tamat.

Mohd. Khairul berkata, JPA menyerahkan kepada ketua jabatan untuk mengambil tindakan susulan.

Menerusi Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021, mana-mana pegawai yang gagal mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Diharap JPA janganlah memberi notis pemberhentian kerja kerana pegawai-pegawai ini ada yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dan mempunyai tanggungjawab memberi nafkah kepada keluarga.

Mereka juga mempunyai pelbagai komitmen seperti pinjaman rumah, kereta dan peribadi dengan institusi kewangan.

Terdapat juga dalam kalangan mereka menanggung anak-anak yang masih bersekolah.

Kalau diberhentikan kerja, kemungkinan juga segala keistimewaan dan ganjaran seperti gratuiti dan pencen akan secara sendirinya hilang mengikut prosedur dan peraturan tatatertib dalam perkhidmatan awam.

Oleh itu, berilah mereka peluang untuk bersara awal dengan sekurang-kurangnya mendapat ganjaran saraan separuh daripada gaji yang sedang diterima.

Mereka juga boleh dipindahkan tempat kerja atau diturunkan pangkat dan juga tidak dinaikkan gaji seperti mana lazimnya diberikan setiap tahun.

Adakan sesi penerangan dan motivasi dari semasa ke semasa ataupun kursus khas bagi golongan ini sampai mereka insaf dan sedar betapa pentingnya untuk mengambil vaksin bagi menghindar jangkitan Covid-19.

Dicadangkan penjawat awam termasuk guru dan pensyarah yang enggan disuntik vaksin dikenakan saringan tertentu setiap kali datang bertugas serta perlu memakai pakaian khas yang dianggap selamat untuk bersemuka dengan orang ramai.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN